Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Krisis Global Dan Dunia Islam Featured

Dec 23, 2017 Hit: 38 Written by 
Krisis Global Dan Dunia Islam

Obsesi pimpinan dunia terhadap politik domestik dan afiliasi orde geopolitik global kini sedang bergerak dari wacana adikuasa Amerika Syarikat, ke arah kuasa baru, dengan China-Russia sebagai alternatif yang bakal mengeheret dunia ke kancah konflik yang lebih melukakan. Pertimbangan politik realisme telah menjadi dominan dalam percaturan global hari ini.

Sayugia, dunia semakin hilang keyakinan terhadap kredibiliti dan kemampuan PBB dan agensi antarabangsa yang bernaung di bawahnya, untuk menangani atau menyelesaikan krisis; pelarian dan migrasi, pemerkosaan alam sekitar, terrorisme, kemiskinan, kesenjangan ekonomi dan pelbagai kemelaratan yang sedang melanda dunia.

Impak gerak kerja bagi menjayakan sasaran dunia menjelang 2030 - Sustainable Development Goals (SDGs) seperti no poverty dan zero hunger, hanya tampak cantik di atas lembaran kertas progress report, berbanding impak langsung yang dijelmakan di lapangan. Hakikat real politiknya, misi murni menggapai keamanan dunia terus menerus dipungkiri dan disabotaj oleh veto kuasa-kuasa besar, yang kemaruk mengejar new populism.

Hal ini dapat dilihat seperti rentetan pengunduran Amerika Syarikat, dari perjanjian alam sekitar Accord de Paris, dan buntunya penyelesaian krisis Syria yang masih berpanjangan, di Majlis Keselamatan PBB.

DUNIA ISLAM

Sementelahan, dunia Islam terus-menerus ditandai dengan konflik berpanjangan dan ketandusan kepimpinan kolektif, untuk menangani permasalahan ummah. Tahun ini, genaplah 48 Tahun Sidang Kemuncak Negara Islam (OIC) yang ditubuhkan, rentetan dengan peristiwa kebakaran Masjid al Aqsa pada tahun 1969.

Malangnya, pertubuhan tersebut hanyalah watak sampingan yang kelihatan tidak relevan, baik dalam proses diplomasi mahupun advokasi ke arah membebaskan Al Quds dan Palestin, daripada cengkaman dan kezaliman rejim Zionis Israel.

Krisis pembantaian etnik Rohingya di Arakan, Burma juga merupakan batu uji yang penting bagi kesatuan negara Islam, khususnya negara majoriti Muslim yang berada dalam kesatuan ASEAN. Langkah-langkah lebih drastik dan tegas harus dilaksanakan.

Tidak memadai kita berpuas hati dengan sekadar berhimpun dan menghantar bantuan kemanusiaan secara musim-musiman. Kita tidak boleh lagi bersikap talam dua muka; mengkritik dan menghentam pada siang hari, dan bermain bola sepak pada malam harinya. Sukan bukan sekadar wahana perpaduan.

Sukan juga berperanan sebagai wadah pernyataan sikap. Amalan boikot merupakan salah-satu intrumen protes dan diplomasi yang bagi sebuah negara yang terhormat dan bermaruah!

Sementelah, pasca lawatan Trump di Arab Saudi pada Mei lalu, negara-negara Teluk telah mengambil pendirian drastik, untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Qatar.

Negara tersebut didakwa mendanai dan melindungi pemimpin pengganas dan menyebarkan berita palsu, menerusi rangkaian penyiaran Al Jazeera. Krisis terbaru negara Teluk yang memperlihatkan peranan utama Arab Saudi melalui Menteri Luarnya, Adel Al Jubeir, merupakan perkembangan baru, yang sekadar mengeruhkan lagi kemelut yang sedia ada melanda dunia Islam.

Pasca Arab Spring, sebilangan penguasa Arab terus-menerus menzalimi, memenjara dan memburu saki-baki tokoh gerakan Islam dan pembebasan, yang dijustifikasikan dengan “kesalahan” menyokong kumpulan militan, dan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Dengan mengambil kira perkembangan; amatlah penting untuk gerakan Islam bernuansa ummatik seperti ABIM, akan menilai secara komprehensif persekitaran dan cabaran kontemporari pada peringkat global dalam menentukan hala tuju organisasi, merancang strategi dan menyusun awlawiyyat harakah.

Dalam perkembangan dunia yang serba tangkas dan semarak api kebencian yang menjulang tinggi, ABIM harus tampil secara rasional, moderat, praktikal dan berhikmah, agar tidak terperangkap dengan gejala isti’jal yang membinasakan, mahupun sikap ghuluw yang boleh membakar tali persaudaraan.

Sebagai gerakan yang memperjuangkan kemaslahatan umat, ABIM akan terus bercitra ummatik dan berperanan secara aktif, membela kelompok tertindas, dan menyebarkan rahmat Islam di ceruk mana sekalipun mereka berada, tanpa mengenal sempadan nation state dan birthism yang telah membataskan ukhuwwah insaniyyah dan menyemai kebencian. Dalam hal ini, ABIM akan terus memperkukuh rangkaian gerakan antarabangsa sebagai the third force; dalam menjayakan advokasi, diplomasi dan misi kemanusiaan.

Read 38 times
Rate this item
(0 votes)