Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Generasi Muda & Politik Featured

Oct 19, 2017 Hit: 46 Written by 

Liputan Akhbar Wall Street’s Journal berjudul “Is Malaysia a Kleptocracy?’ pada Jun lalu sekali lagi telah menempatkan Malaysia di tengah-tengah perhatian masyarakat antarabangsa. Gelombang kejutan ekoran skandal membabitkan syarikat pelaburan 1MDB masih lagi meninggalkan kesan yang amat mendalam bekasnya pada benak sanubari rakyat Malaysia pada ketika ini. Wujud sentimen yang tinggi oleh rakyat terhadap situasi politik dan amalan demokrasi yang dilihat semakin pudar.

Seperti yang diindikasikan oleh Survei Malaysia 2017: Mood Rakyat oleh Institut Darul Ehsan (IDE), 69% daripada 4486 responden yang ditemuramah memberikan persepsi bahawa skandal 1MDB telah menjejaskan reputasi kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak yang pastinya memberi kesan pula terhadap prestasi pentadbiran kerajaan persekutuan.

Secara keseluruhannya, hanya 19% responden menyatakan bahawa mereka ‘berpuas hati’ terhadap situasi politik dan amalan demokrasi di Malaysia. Walaubagaimanapun, satu trend yang konsisten ialah merudumnya minat, kesedaran dan partisipasi politik di kalangan sebahagian besar generasi muda Malaysia. Belia dilihat semakin menjauh daripada segala yang berbaur politik kepartaian dan sebaliknya lebih mementingkan halhal terkait survival ekonomi peribadi.

Hasil survei Merdeka Centre dan Watan bagi mengukur Perspesi Belia terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa yang dibentangkan pada September 2017 mendapati bahawa 70% responden tidak berminat dengan politik sementara 66% berpendapat bahawa politikus tidak boleh dipercayai.

Yang jelas nyata, wujud kecenderungan yang tinggi dikalangan anak muda (40%) untuk tidak mendaftar sebagai pengundi. Wujud kepercayaan yang menebal dikalangan belia bahawa undi mereka tidak berharga dan bakal membawa sebarang kesan terhadap keputusan pilihanraya atau kesan terhadap masa depan politik negara. Hakikatnya, majoriti daripada 3.77 juta orang pengundi layak yang masih belum berdaftar sehingga Mac 2017 terdiri daripada generasi muda yang berumur 21 tahun.

Survei Malaysia 2017 oleh IDE turut mengindikasikan bahawa tidak lama menjelang detik Pilihanraya Umum ke-14, sebanyak 50% kelompok pengundi muda berdaftar berumur 21-30 tahun masih belum membuat keputusan dan pendirian untuk memilih sesuatu parti.

Hasil dapatan kajian-kajian mengenai sikap, kesedaran dan pendirian belia terhadap politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan tren yang konsisten – bahawa segmen belia terbanyak makin hilang minat terhadap politik dan isu-isu politik.

Kajian Indeks Belia Malaysia oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (2015) mendapati bahawa domain sosialisi politik (perbincangan isu politik, mengikuti perkembangan politik dan penyertaaan dalam aktiviti politik) berada di kedudukan tercorot berbanding 11 domain lain yang diukur. Dengan skor 45.82, minat politik di kalangan belia Malaysia berada di tahap ‘tidak memuaskan’.

Semakin jelas bahawa sebahagian besar generasi muda semakin hilang kepercayaan dan wujud keputusasaan terhadap iklim semasa politik tanahair serta harapan ke arah perubahan politik yang lebih menjanjikan manfaat buat mereka.

“Tidak ada parti yang berhak menerima undi saya” merupakan antara respon yang konsisten yang diberikan oleh generasi muda, mengingatkan kita tentang slogan keramat rakyat Argentina yang membentuk blok suara ketiga sewaktu piliharanraya Presiden 2003 – “nuestras sueños no caben en sus urnas”- our dreams do not fit in their ballot boxes! Rumusan utama yang dapat dibuat hasil analisa survei dan kajian berkaitan belia ialah fakta bahawa domain utama yang menjadi keprihatinan oleh majoriti belia ialah perihal kesejahteraan ekonomi.

Read 46 times
Rate this item
(0 votes)