Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Perutusan Ramadhan 1438H Featured

May 29, 2017 Hit: 25 Written by 
Perutusan Ramadhan 1438H

مبارك عليكم الشهر، شهر رمضان الكريم جعله الله شهر يمن وايمان وطاعة وغفران للمسلمين أجمعين وكل عام وانتم بخير، تقبل الله منا ومنكم الطاعات، وجعلنا واياكم من عتقائه، ومن المقبولين.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin dan inayah-NYA, kita dapat menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, buat kesekian kalinya. Mudah-mudahan, ibadah kita dapat disempurnakan dengan meningkatkan nilai ketaqwaan serta memperbaiki akhlak dan sikap untuk menjadi insan yang lebih cemerlang.

Sesungguhnya, pengertian Ramadhan bukanlah berlegar sekitar menahan lapar dan dahaga. Sebaliknya, sebagai umat Islam, kita haruslah menyemat padu nilai Islam, iman dan ihsan agar kekal kuat dan utuh dalam jiwa, dalam menongkah sifat dan perkara negatif seperti rekayasa yang jahat, mengadu domba (fitnah) serta kata nista yang boleh menggugat keharmonian serta kestabilan dalam masyarakat.

Seharusnya, ibadah di bulan Ramadhan mampu mempertebal keimanan dan kesolehan kita. Justeru, tabiat berbelanja secara berlebihan di bulan puasa perlu dielakkan, kerana ia boleh menjurus kepada pemborosan dan pembaziran. Ibadah puasa sepanjang Ramadan tidak bererti jika kita tidak bertindak untuk menghulurkan tangan bagi membantu para asnaf yang memerlukan, seperti anak yatim, mualaf, fakir miskin, pelarian dan lain-lain.

Sejelasnya, ABIM telah mengatur pelbagai program ilmiah lagi bermanfaat sepanjang bulan Ramadhan ini – khususnya Infaq Ramadhan@ABIM dan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) untuk tahun ke-12; di mana info serta laporannya boleh diikuti di laman sesawang serta FB Page ABIM.

Semoga kita semua diberikan kekuatan jiwa dan keampunan dari ILLAHI; selain kesabaran dalam menempuhi segala bentuk tribulasi serta dugaan yang bakal kita depani. Akhir kalam, saya mewakili saf kepimpinan serta keluarga besar ABIM mengucapkan selamat menjalani ibadah di bulan mulia ini – bermula 1 Ramadhan 1438H; kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia dan seluruh dunia. Marhaban Ya Ramadhan, Selamat datang, bulan suci penuh keberkatan!

SDR. MOHAMAD RAIMI AB RAHIM,

PRESIDEN ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM). 1 RAMADHAN 1438H. .

Last modified on Monday, 29 May 2017 04:30
Read 25 times
Rate this item
(0 votes)