Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Masa Depan Islam & Demokrasi Featured

Nov 30, 2016 Hit: 135 Written by 
Masa Depan Islam & Demokrasi

Salah satu perkembangan terpenting dalam sejarah perkembangan demokrasi abad-21 ialah fenomena Arab Spring yang tercetus pada tahun 2011. Tatkala dunia berdepan sindrom kereputan dan kemerosotan amalan demokrasi, Arab Awakening telah mencetuskan harapan dalam kalangan penganalisis bahawa gelombang keempat demokratisasi bakal berlaku.

Berbeza dengan tiga badai gelombang sebelumnya yang bermula sejurus Revolusi America dan Peranchis (Samuel Huntington, 1991), gelombang keempat melibatkan negara-negara majoriti Muslim di Timur Tengah dan Afrika Utara. Bagi sekelompok pengkaji, perkembangan ini merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana buat sekian lama, Islam umumnya dan negara Arab khususnya ditanggap sebagai tidak serasi dengan nilai-nilai demokratik seperti kebebasan, keadilan dan hak asasi.

Maka satu-satunya jalan yang tinggal dan selayaknya untuk umat Islam ialah untuk terus berada di bawah cengkaman pemerintah otoriter. Dalam konteks inilah siri kebangkitan rakyat menentang rejim tentera dan penguasa elit-otoriter yang selama ini berwenangan menindas dengan kuku besi dilihat memberikan sinar baharu terhadap prospek berlangsungnya demokrasi di negara Islam. Namun terjadilah apa yang telah terjadi. Arab uprising telah dibantutkan dan gagal membawa gelombang demokratisasi yang dijangkakan kecuali di tempat ia bermula – Tunisia.

 

Kembalinya rejim militer di Mesir hanya setahun selepas Presiden yang pertama dipilih menerusi pilihanraya yang bebas dan adil seolah membenarkan andaian bahawa negara Arab sememangnya tidak bersedia dan layak untuk menikmati demokrasi. Gerakan Islam yang disinonimkan dengan gerakan ‘politikal Islam’ telah menjadi sasaran utama yang dipersalahkan. Politikal Islam, atau Islamisme dalam konstruk ini merujuk kepada wacana kelompok Muslim yang dilabel sebagai fundamentalis-radikalis yang memperjuangkan Negara Islam, hukum syariah dan juga cara hidup Islam yang mereka percaya hanya dapat diterapkan melalui jalan kekuasaan.

Di Mesir, gerakan Ikhwan al Muslimun telah dilanyak sehabisnya pasca-Arab Spring. Operasi pembersihan saki-baki rangkaian gerakan Islam yang disinonimkan dengan ‘gerakan politikal Islam’ di dunia Arab berlangsung dengan begitu rancak hasil biaya besar dari Timur dan Barat. Di benua Indo-Pak, pimpinan-pimpinan utama Jamaat-e Islami di Bangladesh telah dan masih dihantar ke tali gantung di bawah rejim Sheikh Hasina.

Telahan Olivier Roy yang terkandung dalam buku The Failure of Political Islam (1994) semacam telah mencapai kesempurnaan pasca-Arab Spring. Benarkah politikal Islam telah gagal? Bagaimanakah perkembangan demokrasi selepas Arab Spring? Dalam analisa akhir terhadap perkembangan demokrasi pasca Arab Spring di tujuh buah negara Islam and Democracy after the Arab Spring (2016) Esposito, Sonn dan Voll menyimpulkan bahawa perkembangan politik merentas dunia Islam menunjukkan kemahuan yang tinggi terhadap tatakelola yang lebih demoktarik.

Hasrat, keinginan dan ikhtiar untuk menghirup udara kebebasan, keadilan, hak asasi, kedaulatan hukum dan akauntabiliti bukanlah baru bermula sewaktu Arab Spring, bahkan terus berkesinambungan dari gerakan Islah sejak lebih satu abad yang lalu. Justeru dalam rumusan terakhirnya, penulis menyimpulkan:

“The basic question is not if Islam is compatible with democracy. Most Muslim have already answered that question affirmatively. The question now is what forms a democratic state can take in a Muslim-majority society. The variety of vision and program from North and West Africa to Southeast Asia shows that Muslim are actively engaged in this task”

Justeru timbul satu wacana baharu Islam (al-khitāb al-Islamī al-jadīd) dalam pencarian model yang paling cocok dengan semangat demokrasi sekaligus realistik terhadap kehendak zaman. Pemimpin Parti Ennahda Tunisia, Sheikh Rached Ghannouchi telah mengetengahkan terma Muslim Demokrat ketika menyampaikan ucaptama sempena dengan konvensyen An Nahdah pada Mei 2016.

Deklarasi terhadap anjakan dan orientasi baharu parti pimpinan beliau kemudiannya diperkukuhkan melalui rencana From Political Islam to Muslim Democracy dalam Foreign Affairs edisi September/Oktober 2016. “Justeru parti ini tidak lagi menerima label Islamisme- satu konsep yang telah dicemarkan beberapa tahun kebelakangan ini oleh ekstremis radikal- sebagai citra pendekatannya.”

Sebagai seorang idealog dan aktor utama gerakan politikal Islam, kenyataan Ghannouchi ini memberikan impak yang besar dalam menentukan arah baharu pergerakan dan pendekatan gerakan Islam sedunia. Berbanding wacana post-Islamisme yang lebih bersifat teorikal, Muslim Demokrat merupakan satu gerakan evolusi pembaharuan politik yang semakin meraih momentum. Sejak tahun 2014, Forum Sedunia Muslim Demokrat (WFMD) yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim, B.J. Habibie, Surin Pitsuwan, Abdullah Gul, Tariq Ramadan dan pemimpin masyarakat madani telah menggariskan halatuju platform Muslim Demokrat bagi melaksanakan reformasi menyeluruh, menegakkan keadilan sosial, membanteras korupsi dan tatakelola yang baik.

Di Malaysia, perkembangan baharu ini telah disambut dan diwacanakan atas platform Generasi Kedua Politikal Islam (Maszlee, Zulkiflli, 2016). Sesungguhnya wacana ini diungkapkan tepat pada masanya, di saat dan ketika gerakan-gerakan Islam di Malaysia sedang dihadapkan dengan realiti politik semasa yang membingungkan umat. Telah tiba masanya khazanah kekayaan turath siyāsī dalam tradisi ilmuwan Islam dan rantau Alam Melayu ini digali, dikaji kembali dan ditampilkan dalam ijtihad- ijtihad baru berasaskan maqasid yang sesuai waqi‘ dan realiti politik kontemporari yang dinamik

Last modified on Monday, 05 December 2016 04:27
Read 135 times
Rate this item
(0 votes)