|
||||
| ABIM Bersama Rakyat Bantah kekejaman Israel |
|
Terlebih dahulu Amidi (dalam gambar bersama Mohd Azmi Abdul Hamid (TERAS)) diberi penghormatan untuk memberi ucapan sempena dengan demonstrasi aman yang dihadiri kira-kira 30,000 orang sejurus setelah solat Jumaat. Amidi dalam ucapannya menegaskan pengorbanan yang dibuat oleh para aktivis yang memperjuangkan hak asasi rakyat Palestine, telah membakar semangat umat Islam dari seluruh dunia untuk turut sama menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis itu. Terdahulu, Kesatuan NGO-NGO Dunia Islam (UNIW) telah mengadakan perhimpunan aman untuk memberi sokongan kepada kerajaan Turki untuk berhadapan dengan kekejaman yang diutarakan oleh Tel Aviv. Dalam perhimpunan yang dihadiri badan gabungan UNIW di Malaysia iaitu WADAH, ABIM, PKPIM, GPM dan beberapa badan gabungan lain, Presiden ABIM, Muhamad Razak Idris, menggesa umat Islam bersatu menentang kezaliman yang dilakukan oleh Israel."Penjajahan mereka perlu dihentikan kerana ia memberikan justifikasi kepada Israel untuk menzalimi umat Islam di Palestine!" Tegas beliau dalam sidang media ringkas yang diadakan di hadapan kedutaan Turki. Dalam pada itu, jurucakap UNIW di Malaysia, Mohd Nur Anwar Hashim menjelaskan buat kali pertama dalam sejarah konflik Palestine-Israel, satu suruhanjaya bebas telah dibentuk oleh PBB untuk menyiasat serangan ke atas Flotilla Kebebasan ke Gaza."Pembentukan suruhanjaya ini adalah satu kemajuan memandangkan ia membuka ruang untuk keterlusan dan kebebasan sepanjang siasatan. Ini merupakan satu petanda positif jika dibandingkan siasatan yang dijalankan oleh pihak Tel Aviv sendiri," jelas Mohd Nur Anwar yang juga adalah Presiden GPM. |




Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan bersama beberapa pemimpin NGO utama telah menghantar memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat (4 Jun 2010) yang lalu. Penyerahan memorandum itu dibuat susulan daripada serangan Israel ke atas Flotilla Kebebasan ke Gaza yang turut membabitkan beberapa aktivis kemanusiaan dari Malaysia.












