Displaying items by tag: majlis belia malaysia (MBM)

25hb Ogos 2019 (Ahad): Alhamdulillah, sempena Konvensyen Inspirasi Wanita, Penolong Setiausaha Kewangan ABIM, Puan Maria Kamel telah diundang untuk mengisi Bengkel #DERMAGA - Diriku Permata Berharga - Pendidikan kesihatan reproduktif versi remaja. Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) ini berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. sesi ringkas bengkel #DERMAGA - Diriku Permata Berharga - Pendidikan kesihatan reproduktif versi remaja.

Persoalan masih berkisar dari usia berapa sesuai mendidik anak-anak tentang pendidikan reproduktif, maksud pendidikan seks-pendidikan seksualiti-pendidikan reproduktif, tentang STD-STI, tentang abstinen dan kembali semula kepada taboo masyarakat yang masih belum bersedia menerima isu ini sebagai satu pendidikan kepada anak-anak.

DERMAGA serta Tunas Dermaga adalah pakej pendidikan pencegahan (abstinen) bagi membekalkan remaja dan kanak-kanak dengan kaedah mengelakkan diri setelah mengenal pasti tingkah laku berisiko atas sebab diri atau orang lain yang boleh mengundang risiko keselamatan atau maruah diri.

Modul kedua-dua program tersebut meliputi pendidikan kesihatan reproduktif yang dirangka untuk turut meliputi keperluan pendidikan dan pencegahan - 'informal social control' melalui perkongsian dan pesan yang lebih dekat dan sesuai dengan golongan remaja.  Untuk makluman lanjut mengenai Dermaga serta Tunas Dermaga boleh dibuat dengan menghubungi 03-4108 4500 serta emelkan kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Redup mata itu sudah ku renung sejak di Petaling Jaya beberapa tahun lalu. Seingatku tahun 2004 ketika turun malam tautan mesra pengenalan Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS), kuterlihat susuk tubuh Abu menghadiri dengan penuh minat. Aku tak ingat apa yang ku sebutkan pada malam itu tapi yang penting aku ajak mereka berbakti di Negeri Sembilan melalui PPINS dan aku amat ingat dengan renungan anak muda ini. Beliau kemudiannya menerima akad perjuangan ini.

Beliau berminat mengasah bakat beliau dalam kepimpinan dan siyasah sehingga bergandingan dengan saudara Faisal Abdul Aziz memimpin pergerakan pelajar Islam berpengaruh di Malaysia iaitu PKPIM. Ketika di UIA Kuantan sekali sekala beliau menjemput ku berkunjung ke sana menyampaikan latihan dan ceramah. Kusedari sejak itu beliau mempunyai satu masalah yang sama seperti yang kualami, namun biarlah ia menjadi kenangan manis dan rahsia antara ku dan dia. Bakat Abu terserlah sehingga beliau sering kukagumi dengan pidato yang sentiasa bertenaga beliau dan sering tampil bergaya serta kasual.

Dengan gabungan kekuatan pidato, rupa dan penampilan yang kemas menjadikan beliau memiliki pakej impian sebagai pemimpin masa kini. Belia seperti kata-kata Dato' Saifuddin Abdullah merupakan pemimpin masa kini dan masa hadapan. ABIM merupakan gerakan Islam yang paling sedikit pengikut berbanding gerakan Islam yang lain yang ada di Malaysia namun ia amat sinonim melahirkan pemimpin-pemimpin masyarakat yang bertebaran di serata sektor alam.

Aku percaya pada bilangan yang sedikit untuk membuat perubahan sebagaimana keyakinan Dr. Mahmud Rushdan, pimpinan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran Islami (IIIT) yang kutemui di Irbid, Jordan. Dengan membina hanya beberapa karakter anak muda sudah cukup menggegar pentas-pentas penting masyarakat. Abu antara yang diizinkan oleh Allah tergolong dalam bilangan kecil anak muda yang pernah menerima sedikit sentuhan daripadaku.

Beberapa ketika ketika memimpin Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBBNS), aku membawa dan mendedahkan Abu dalam dunia pergerakan belia. Aku masih jelas ketika itu membawa Abu dan Azli (Setiausaha ABIM Rembau) bersama ketika merasmikan Mesyuarat Agung 4B Kawasan Jempol dan Abu sempat memohon izin berbicara dengan petah lagaknya bagaikan sebahagian perwakilan yang sah sedangkan beliau hanyalah pemerhati.

Namun kepetahannya itu dikagumi dan ketika umur itu beliau sudah berani berbicara dengan penuh keyakinan yang mana aku sendiri tidak seberani itu untuk dilakukan di usia yang sama. Sebab itu anak muda dikagumi dengan semangat dan kepemudaannya!. Sheikh Abdullah al-Haddad, Sohib an-Naso'ih ad-Diniyyah wal Wasoya al-Imaniyyah turut menyebut bahawa Allah seolah-olah mengkagumi anak muda yang tidak rosak minda dan akhlaknya.

Ketika Abu muncul semula dalam radar perjuanganku, aku menarik beliau untuk bermula di akar umbi dengan menyertai kepimpinan ABIM di Rembau di mana aku bertindak selaku Naib Yang Dipertua di belakang Yang Dipertua al-Fadhil Ustaz Norazamir Alias(Timbalan Mufti Negeri Sembilan). Kehadiran beliau serba sedikit menajamkan jentera serangan ABIM Rembau yang dibarisi ramai pemain-pemain veteren berpengalaman. Beliau memang berasal dari Rembau.

Selepas memimpin ABIM Pusat selaku Exco, kemuncak karier alumni asuhan SMKA Pedas ini apabila dilantik menjadi Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) dan banyak menyerlahkan potensi beliau ke pentas antarabangsa sehingga sejauh Australia dan Myanmar.Beliau amat bertuah kerana Exco MBM yang berumur di bawah 30 tahun sering dihantar mewakili negara dalam persidangan belia seantero dunia, dan Abu baru sahaja menginjak ke usia 28 tahun.

Kelekaan dan keheninganku membelek buku di kedai buku Popular Nilai jam 8.55 malam dipecahkan dengan kejutan daripada zaujah dengan berita kematian beliau dilanggar lori di Gambang depan Universiti Malaysia Pahang (UMP). 10 Jun yang lalu, ku berada betul betul di perhentian bas yang meragut nyawa Abu ketika turun bas untuk menghadiri ‘talk’ untuk pelajar baru Pusat Asasi UIA di Gambang. Sebagai sebahagian kelemahan manusia, aku tidak menyangka 67 hari selepas itu bakal berlaku di situ satu peristiwa menyayat hati yang melibatkan juniorku di UIA. Sungguh ia sebuah kehilangan untuk umat yang sukar digilap semula.

Aku yakin obor perjuangan Nabi ini akan diteruskan dan berterusan didokong oleh panji-panji anak muda. Akan lahir lebih ramai anak muda seperti Nu’man Muqarrin yang bersemangat menyebut kepada Khalifah Umar al-Khattab selepas dipanggil mengadap, “Jika untuk mengumpulkan cukai, aku menolak. Namun jika untuk jihad fisabilillah, saya bersedia!”. Legasi mu kami teruskan! Al-Fatihah buat adinda Abu Qassim, penyejuk mata ayahbonda. Sadrina, kamu harus bangga bersuamikan pejuang!

Catatan: Jufitri Joha Naib Presiden (Pembangunan Belia Dan Intelektual ABIM).

Kuantan: EXCO Majlis Belia Malaysia Abu Qassim Nor Azmi, 28, maut selepas dilanggar lori kontena, di perhentian bas berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP), kira-kira 3 kilometer dari Plaza Tol Gambang dekat Kuantan kira-kira jam 7.30 malam tadi. Difahamkan ketika kejadian, mangsa tiba dari Kuala Lumpur menuju Gambang dengan menaiki bas sebelum berhenti di perhentian bas berkenaan.

Sumber polis berkata, mangsa yang bertugas sebagai pegawai statistik di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Cyberjaya kemudian mahu menaiki kereta jenis Naza Forte yang dipandu isterinya yang menunggu di kawasan sama. "Ketika mahu menukar pemandu, datang sebuah lori kontena dari arah belakang merempuh mangsa sebelum diseret kira-kira 5 meter dari tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang berasal dari Taman Tuanku Gadut, Negeri Sembilan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Pemandu lori berkenaan melarikan diri sebaik kejadian terbabit namun pihak polis sudah mengenalpastinya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gambang," katanya.

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd