Siaran Media (155)

Pertahankan Kepentingan Sektor Pertanian Negara

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)

19 September 2019 / 19 Muharram 1441 H

PINDAAN AKTA PERLINDUNGAN VARIETI BARU TUMBUHAN 2004: ABIM GESA PERUNDINGAN SECARA MELUAS UNTUK LINDUNGI PETANI DAN JAGA KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada usaha untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 dijangka akan dibentangkan oleh pihak kerajaan. Pindaan ini dilaporkan sebagai persediaan untuk negara ini menyertai Konvensyen International Union For The Protection of New Varieties of Plants (UPOV) 1991 dengan menyelaras undang-undang berkenaan menepati kehendak konvensyen tersebut.

ABIM menilai penyertaan Malaysia dalam konvensyen UPOV adalah tidak jauh beza dengan penyertaan Malaysia ke dalam mana-mana triti atau perjanjian perdagangan antarabangsa. Justeru, penyertaan Malaysia dalam perkara seperti ini sudah tentu akan melibatkan persoalan kepentingan dan kedaulatan negara.

Maka, ia harus melibatkan rundingan dengan semua pihak secara meluas. ABIM bimbang dengan penyertaan Malaysia akan membuka kepada monopoli biji benih oleh syarikat atau badan asing apabila kita terikat dengan peraturan luar yang ditetapkan UPOV.

Selain itu, ABIM juga khuatir terhadap masa depan petani tempatan termasuk golongan petani kecil apabila Malaysia menyertai UPOV. Mengambil contoh laporan Human Rights Impact Assessment (HRIA) UPOV ’91, batasan yang dikenakan UPOV terhadap penggunaan, pertukaran dan penjualan varieti tumbuhan dan biji benih akan menyukarkan petani tempatan mendapat akses kepada biji benih yang lebih baik dari sektor pertanian berdaftar dan seterusnya mengakibatkan petani boleh hilang punca pendapatan.

Dalam kajian kes di beberapa negara, peraturan UPOV ini mengakibatkan petani terpaksa membayar kos lebih empat kali ganda untuk mendapatkan biji benih kerana petani tidak lagi dibenarkan menggunakan cara konvensional bagi mendapatkan biji benih yang lebih berkualiti.

Menurut Seksyen 31 (1) (e ) Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004, pengecualian diberikan kepada petani dengan jelas kepada “apa-apa pertukaran bahan pembiakan dalam amaun yang munasabah di kalangan petani-petani kecil”.

Namun, sekiranya Malaysia ingin menyertai UPOV, maka dikhuatiri peruntukan ini akan dibuang untuk memastikan undang-undang Malaysia mengikuti piawaian dan peraturan yang ditetapkan UPOV.

Justeru, ABIM menggesa agar semua pihak diberikan hak untuk dirunding sebelum apa-apa keputusan yang ingin dibuat kerajaan sama ada menyertai UPOV atau meminda undang-undang Malaysia untuk selaras dengan kehendak UPOV.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Read 48 times
Rate this item
(0 votes)
Hayati Sejarah, Ketepikan Prasangka Perkauman

PERUTUSAN PRESIDEN ABIM SEMPENA HARI KEBANGSAAN KALI KE-62.

Detik 31 Ogos tiba sekali lagi. Tarikh ini menandakan sudah 62 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Sepanjang tempoh tersebut rakyat Malaysia telah menyaksikan banyak peristiwa yang menjadi sejarah penting kepada negara ini. .

Semangat Merdeka yang disegarkan saban tahun pada setiap detik 31 Ogos, perlu disemarakkan lagi dengan kefahaman sejarah tanah air dengan lebih mendalam.  Melaluinya kita pasti akan menghargai keunikan sosio-budaya Malaysia berasaskan konsep “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan”. 

Sempena ulang tahun kemerdekaan kali ke-62, rakyat Malaysia perlu sama-sama terus berjuang untuk memerdekakan negara ini daripada anasir perkauman sempit yang cuba dimanipulasikan untuk mencetuskan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia. .

Kita perlu juga bersama membebaskan diri daripada penjajahan minda dan jiwa, dengan mengangkat tinggi jatidiri negara bangsa serta martabat bahasa kebangsaan.  Kita perlu teguh bersama, untuk menyatakan tidak kepada perkauman yang hanya akan menyemai kebencian semata-mata. 

Fahaman rasis itu hanyalah momokan yang perlu diterpencilkan oleh suara majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan serta ingin sama-sama membangunkan semula negara ini. 

Generasi muda secara khususnya perlu menghayati sejarah serta mempertahankan perpaduan dan keharmonian negara daripada sebarang anasir pemecah belah. 

Dengan ketibaan tahun baru hijrah 1441H, umat Islam harus terus tampil untuk mempertahankan maruah umat Islam yang diinjak di Kashmir, Xinjiang, Rohingya, Gaza, dan Syria. 

Penindasan yang berlaku ini adalah pengkhianatan terhadap semangat kemanusiaan sejagat. Detik tahun hijrah 1441, umat Islam harus meningkatkan iltizam untuk memelihara keamanan sejagat dan meningkatkan kekuatan sosio-ekonomi untuk membela umat Islam serta masyarakat yang ditindas di seluruh dunia.

Selamat Hari Kebangsaan Kali Ke-62, dan Selamat Tahun Baru 1441H! 

Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM

Read 105 times
Rate this item
(0 votes)
Islam dan Masyarakat Majmuk:  Ke Arah Pembinaan Bangsa Malaysia

Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Kepeloporan ABIM dalam menyikap dan menuangkan gagasan Islam dalam masyarakat majmuk telah diungkapkan secara jelas dan tegas seawal 1978 lewat Muktamar ABIM ke-7:

“Keadilan yarg diperjuangkan oleh Islam ialah keadilan untuk seluruh Umat manusia kerana menurut al-Quran seluruh Umat manusia adalah satu keluarga. Hakikat sejarah telah menunjukkan bahawa Islam telah menghidupkan toleransi antara manusia, menjamin keadilan tanpa mengira bangsa dan agama serta menjamin kebebasan beragama. Berdasar kepada keyakinan inilah ABIM menyeru masyarakat Islam tanahair supaya kembali kepada ajaran Al Quran dan As Sunnah dan masyarakat bukan Islam supaya memahami bentuk masyarakat yang hendak ditegakkan oleh Islam.” – (Pengisytiharan 24 Syaaban 1398H bersempena Muktamar ABIM ke-7 pada 30 Julai 1978)

Pendirian ABIM ini telah diperkukuhkan melalui melalui Ucapan Dasar Sdr. Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu yang telah mengangkat tema Islam – “Penyelesaian kepada Masyarakat Majmuk” pada Muktamar Sanawi ke-8. Beliau menegaskan,

“Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, langkah utama haruslah ke arah penghakisan aliran perkauman sempit dan cauvinisma. Persefahaman yang dicapai di antara kaum dianggap sebagai satu quid pro quo, berdasarkan prinsip tolak-ansur di antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Walaupun sifatnya terbatas, akan tetapi kesepakatan yang dicapai seharusnya dilaksanakan dengan jujur tanpa mengorbankan prinsip-prinsip akhlak dan keadilan” (Ibrahim, Anwar, m/s 21).

Ternyata seruan yang dikumandangkan sejak empat dekad lalu masih relevan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Bahkan kita dapati hari ini -- di sebalik riang-riuh pelbagai bentuk slogan perpaduan, kita menyaksikan bahawa polarisasi perkauman antara masyarakat Malaysia semakin jauh dan menjarak. 

Di sebalik arus kesedaran Islam yang dirasakan semakin meningkat dalam kalangan Umat Melayu, timbul kekhuatiran bahawa Islam yang sepatutnya tampil sebagai agen pembebasan: membebaskan manusia dari diskriminasi dan ketidakadilan berlandaskan kasta, ras, kelas dan perkauman; cuba dicemarkan citranya oleh para pejuang ‘asabiyyah’ yang taksub.

Ini menyebabkan Islam disalahtafsirkan seolah-olah membenarkan peremehan, penghinaan dan bersikap diskriminatif lagi tidak adil terhadap bangsa atau penganut agama lain. 

Atas tanggungjawab melanjutkan dakwah berasaskan misi pembebasan dan ‘rahmatan lil ‘alamin’, kita harus menampilkan Islam dalam wajahnya yang tulen – ‘taqdim al-Islam bi surah al Asliyyah’ ­- dalam menyikapi fenomena kemajmukan yang tampak semakin berkecamuk. Justeru sekali lagi ingin kita tegaskan, bahawa keyakinan kita sejak dahulu, bahawa Islam memiliki formula menangani persoalan kemajmukan dan pluraliti.

Dalam Syarahan Perdananya di Kuala Lumpur yang bertajuk A Muslim Century: Myth or Reality? In Search of Modern Pillars of Wisdom, Ali Al’amin Mazrui menitipkan satu pengamatan yang tajam tentang keunikan umat Melayu di Kepulauan Melayu. Kelihatannya seolah-olah Allah s.w.t menguji orang Melayu untuk menguruskan kemajmukan budaya di dalam sejarah mereka. Dengan memetik firman Allah di dalam ayat 13 Surah al Hujurat berkaitan konsep kemajmukan, beliau mengacukan persoalan mendasar,

Read 82 times
Rate this item
(1 Vote)
ABIM Minta Tukar 'Malaysia Sports Challenge (MYSC)' Kepada Bulan Sukan Negara.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada pengumuman nama Hari Sukan Negara (HSN) yang ditukar kepada Malaysia Sports Challenge (MySC) oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim Chee Keong.

Tatkala kerajaan mendakwa mahu memartabatkan bahasa Melayu menerusi pelaksanaan pengajaran khat-Jawi sehingga satu negara kecoh dan berpolemik, adalah janggal dan ironi bila mana pihak kementerian sendiri menongkah arus sedia ada.

Sebagai bahasa kebangsaan yang dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, sudah tentu amat penting untuk semua pihak lebih peka dan sensitif akan penggunaan bahasa melayu khususnya terutama dalam program-program rasmi membabitkan kerajaan.

ABIM menegaskan bahawa isu yang absah dan menjadi perkara pokoknya ialah penggunaan bahasa Melayu merentas sektor yang semakin dipinggirkan. Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta serta masyarakat terbanyak?

ABIM menegaskan bahawa pihak kementerian perlu menukar semula nama program tersebut ke dalam bahasa kebangsaan. 'Cabaran Sukan Malaysia', 'Cabaran Malaysia Cergas', 'Bulan Sukan Malaysia', 'Bulan Sukan Negara' atau apa juga istilah bersesuaian boleh digunakan, asalkan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul.

Begitu juga halnya dengan lain-lain istilah yang telah menjadikan istilah bahasa Inggeris sebagai istilah rasmi seperti pengenalan Youth Power Club (YPC) dan Impact Malaysia serta berleluasanya kenyataan rasmi kerajaan menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan. Apatah lagi, kini Kerajaan mengumumkan akan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), di samping Program Dwibahasa (DLP) yang sedang dijalankan sekarang di sekolah.

Sesungguhnya, tindakan kerajaan ini bagai merentap jiwa rakyat serta pendukung bahasa yang cintakan bahasa dan negaranya. Tindakan segera perlu diambil, memandangkan hanya bangsa yang tidak mempunyai jati diri serta akar budaya sahaja, akan memperlekeh bahasanya sendiri.

ABIM juga menggesa agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan dan kuasa yang lebih luas dan berkesan dalam menangani isu perlecehan bahasa Melayu yang semakin membimbangkan kini. Malah, tiada kempen agresif mendaulatkan bahasa kebangsaan merentas sektor, ditambah pula penguasaan bahasa Melayu yang lemah pada peringkat sekolah vernakular dan sekolah persendirian.

Menjelang sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini, adalah penting untuk kita mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan.

Tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa lain, ABIM menegaskan bahawa mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama sesuatu program rasmi kerajaan untuk kononnya dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ merupakan gejala pemikiran terpasung serta minda yang terjajah.

*Muhammad Faisal bin Abdul Aziz,* *Setiausaha Agung ABIM*

Read 234 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Condemned The Abolition Of Jammu, Kashmir And Ladakh Special Status.

Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) condemned the abolition of Article 370 of the Indian constitution which ended autonomy for Jammu and Kashmir and Ladakh . ABIM president Mohamad Raimi Ab Rahim in a statement said the move was illegal and contravened UNSC resolutions and called on India to end its suspension of Internet and telephone facilities in the region and the UN and the Organisation of Islamic Cooperation to act swiftly to undertake diplomatic initiatives to find a resolution to the matter. Bernama.

Read 77 times
Rate this item
(0 votes)
Menghayati Perjuangan dan Pengorbanan Kekasih Allah Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.

Gambar:-Cahaya Tauhid Di Langit Urfa.

Oleh:-Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM.

Kita sering mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Khalil al Allah’ dan anaknya Nabi Ismail a.s saban tahun sewaktu musim Hari Raya ‘Eidul Adha. Sesunguhnya semangat pengorbanan Nabi Ibrahim meninggalkan kesan yang amat mendalam dan memberikan inspirasi keimanan yang kekal abadi dalam coretan sejarah umat Islam.

Selayaknya martabat baginda diangkat di sisi Allah SWT dan dianugerahkan gelaran rasul Ulul ‘Azmi lantaran kejayaan menempuh ujian-ujian berat keimanan sepanjang kehidupannya menyampaikan risalah nubuwwah. Sewajarnya umat Islam yang setiap hari menyebut nama baginda dalam solat menghayati bukan sahaja kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail dengan penuh keinsafan, bahkan mempelajari seluruh dimensi dan sejarah hidupnya yang sarat dengan perjuangan.

Sejauh manakah kita mengetahui babak-babak penting perjuangan baginda sebelum tiba di bumi tandus Makkah membawa bersama-samanya Siti Hajar dan Ismail? Di manakah beliau dilahirkan dan dibesarkan bersama ayahandanya Azar, lantas memulakan misinya membanteras kejahilan dan kekufuran kaumnya menyembah berhala-berhala yang tidak berdaya itu? Masih ingatkah kita kisah yang diceritakan oleh ustaz ketika sekolah rendah dahulu tentang perjuangan Nabi Ibrahim menentang Raja Namrud yang zalim itu? Apakah kesudahannya?

Barangkali masanya sudah tiba , selari dengan semangat pengobanan Eidul Adha yang masih membara ini untuk kita kembali menggali perjalanan hidup dan sejarah perjuangan baginda, yang antara lain dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam karya agungnya ‘al Bidayah wan Nihayah’. Bacalah kisah baginda dengan penuh penghayatan dan kutiplah segala hikmah yang ditemui di dalam episod-episod kehidupan baginda yang seluruh dan seutuhnya dipertaruhkan semata-mata demi Allah SWT, tidak untuk yang lain, hatta untuk anak yang tercinta!

Bagi yang ingin pergi lebih jauh dalam mengambil ‘ibrah (pengajaran) dari perjuangannya, jejakilah tinggalan-tinggalan sejarah yang masih berbekas hatta ke saat dan detik ini di pelbagai lokasi bersejarah dunia Islam. Benarlah pesan para ‘alim dan ahli hikmah bahawa dengan menziarahi dan melihat sendiri tinggalan sejarah itu, kesan spiritualnya jauh lebih mendalam dan kekal membekas. Ayuh belajarlah dari Nabi Ibrahim a.s erti pengorbanan, perjuangan, kesabaran, keberanian dan pengabdian setulusnya kepada Allah SWT.

Read 194 times
Rate this item
(0 votes)
Lima Gesaan BERSIH, ABIM, GBM, Dan Pakatan Harapan.

Sumber Gambar: Akhbar Sinar Harian.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah yang jelas dan tetap untuk membawa kestabilan politik dalam negara ini dengan meletakkan pakej peralihan yang jelas berdasarkan perjanjian Pakatan Harapan pra-PRU14.

Pergolakan PKR, salah satu parti komponen yang utama dalam gabungan PH, sedang merisaukan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.

Kebimbangan kami sebagai pertubuhan masyarakat sivil yang telah dan sedang mendesak reformasi institusi dan politik di negara ini adalah agenda pembaikan kerajaan PH akan terhenti, atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.

Sebagai kumpulan masyarakat sivil yang tidak partisan, kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan kebertanggungjawaban dalam penggal ke-14 parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk PRU15. Maka, kami ingin mencadangkan langkah-langkah konkrit berikut yang perlu diambil bagi mengembalikan kestabilan politik.

1. PELAN PERALIHAN KUASA UNTUK PERDANA MENTERI

Kami menggesa agar Tun Mahathir menetapkan satu tarikh antara setahun akan datang sehingga 9 Mei 2021, untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selari dengan perjanjian pra-PRU14 antara gabungan parti komponen PH. Walaupun tidak ada rangka masa yang dinyatakan dalam perjanjian itu, Tun dalam pelbagai majlis sering mengatakan tempoh peralihan akan mengambil masa 2 ke 3 tahun selepas PH membentuk kerajaan.

Bagi memastikan kelancaran peralihan, DSAI perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan. Dengan pelan peralihan yang jelas, ianya akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan PH.

2. HADKAN TEMPOH PM KEPADA DUA PENGGAL

Ini adalah janji manifesto yang masih belum dipenuhi dan kami menggesa Tun untuk mendesak pindaan undang-undang yang berkaitan bagi memenuhi janji ini sebelum beliau meletak jawatan sebagai PM.

Rasional untuk menetapkan had penggal adalah supaya Perdana Menteri akan datang tidak akan memegang kuasa terlalu lama, yang bukan sahaja ada risiko salah guna kuasa dan rasuah, malah akan menyebabkan kekecewaan serta timbul perasaan antagonis oleh pihak yang berminat untuk memegang jawatan perdana tersebut.

Melainkan penggal pertama yang tidak dimulakan dengan parlimen yang baru kurang daripada dua tahun, penggal PM perlu dimulakan daripada masa pelantikan dan bukannya pada permulaan penggal Parlimen yang baru bagi memastikan penggal maksimum yang dibenarkan dikekalkan kepada dua penggal.

3. PENGURANGAN KUASA PERDANA MENTERI

Manifesto PH telah menjanjikan pengurangan kuasa Eksekutif pada tangan Perdana Menteri. Penyalahgunaan kuasa oleh mantan Perdana Menteri sebelum ini menjadi fakta bahawa kuasa yang terlalu banyak tertumpu pada pejabat Perdana Menteri.

Melainkan undang-undang dipinda dan parlimen diperkasa semula, terutamanya proses pelantikan utama kerajaan, tidak ada jaminan PM selepas ini tidak akan menggunakan kuasa yang ada sekarang untuk berpaut kepada jawatannya dengan menaungi kesetiaan pemimpin dan pengundi, mengakibatkan wajah buruk kleptokrasi terjelma kembali.

Struktur kuasa yang lebih serata dengan mengehadkan penggal PM akan mewujudkan keamanan dan kestabilan yang lebih mudah di antara ahli politik yang bercita-cita tinggi dengan mewujudkan peluang untuk kemajuan dalam kerjaya politik.

4. SEGERAKAN REFORMASI INSTITUSI

Sejumlah janji manifesto yang dijanjikan yang perlu disegerakan pelaksanaannya tanpa bertangguh lagi adalah manifesto untuk mengukuhkan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara.

Pindaan perlembagaan diperlukan untuk penginstitusian institusi-institusi ini dengan bebas dan perkasa agar mereka dapat menjadi badan semak dan imbang yang berkesan kepada sistem kerajaan kita. Akta drakonian yang melanggar hak asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan wajib dimansuhkan segera serta undang-undang melawan perkauman dan bias gender juga perlu disemak semula untuk dipinda atau digubal di mana perlu.

5. UBAH SISTEM PILIHAN RAYA YANG LEBIH INKLUSIF

Sistem pilihan raya kita secara FPTP digandingkan dengan masyarakat majmuk menggalakkan mentaliti menang dapat semua kalah dapat arang dalam kalangan ahli politik kita telah menghasilkan perbahasan politik yang ekstrem dan memecahbelahkan.

Kami menggesa kerajaan dan semua pihak untuk memulakan dialog nasional bagi membincangkan untuk kita bergerak keluar daripada sistem FPTP dan menuju ke sistem kerusi Perwakilan Berkadaran berdasarkan Senarai-Parti(List-PR). Ini akan memastikan perwakilan yang lebih majmuk di dalam parlimen dan menghapuskan keperluan mereka untuk memainkan isu perkauman untuk menggerakkan pengundi.

Kerusi Senarai Perwakilan Berkadaran juga dapat mengatasi perbalahan intra-gabungan untuk peruntukan kawasan pilihan raya yang biasa terjadi dengan sistem FPTP dengan membenarkan parti-parti gabungan bertanding secara terbuka dan secara sihat antara satu sama lain melalui undi parti, berbanding sebelum ini dengan cara sabotaj dan perancangan sulit.

Senarai Perwakilan Berkadaran juga bukan sahaja dapat memberikan kuota kepada wanita dan kumpulan terpinggir, mandat kepada parti secara langsung juga dapat mengukuhkan parti politik dan menyukarkan untuk lompat parti. Ini adalah selari dengan aspirasi PH untuk membina negara yang lebih inklusif, progresif dan makmur.

Kami menggesa pimpinan kerajaan PH -Tun Dr Mahathir, Majlis Presiden PH dan Warisan untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini. Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti.

PH hanya mempunyai kurang empat tahun dari tempoh sepenggal untuk mengotakan janji reformasi dan kemakmuran kepada pertiwi ini. Pulihkan kestabilan politik dan pentadbiran sekarang untuk tempoh penggal yang berbaki.

Dikeluarkan bersama oleh: - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) - Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)

Read 92 times
Rate this item
(0 votes)
Polemik Khat: Tingkatkan Martabat Tulisan Jawi Dalam Sistem Pendidikan Negara

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk isu yang mendakwa pembelajaran Jawi diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSR (Semakan 2017) Tahun 4, antara kemahiran bahasa yang perlu dipelajari murid pada tahap II adalah daripada aspek bahasa, yang merujuk kepada keindahan, kehalusan dan kebahasaan dalam Bahasa Melayu.

Murid diperkenalkan dengan penulisan seni khat sebagai pendedahan asas melalui pembelajaran simpulan bahasa. 'Khat' merupakan suatu seni tulisan tangan yang menggunakan alat tulis khas. Seni penulisan khat juga boleh dianggap sebagai seni penulisan tangan yang indah, atau kaligrafi.

Murid hanya akan mempelajari untuk mengenalpasti dan menyebut huruf tunggal yang ditulis mengikut seni khat dalam simpulan bahasa seterusnya mempersembahkannya dalam bentuk tulisan. Seni penulisan khat adalah merupakan suatu disiplin ilmu yang berbeza dengan disiplin pembelajaran jawi.

Daripada aspek pengajaran, murid hanya perlu tekap, tiru dan tulis simpulan bahasa yang disediakan secara pendekatan didik hibur. Nilai kesabaran dan ketelitian juga dapat dipupuk melalui pembelajaran ini. Standard Kandungan ini juga dimaklumkan tidak diuji dalam Peperiksaan. ABIM berpandangan bahawa kemahiran penulisan jawi perlu diangkat sebagai kemahiran penting daripada legasi warisan bangsa sejak berzaman, memandangkam ia telah digunakan sejak 700 tahun yang lalu.

ABIM menegaskan bahawa keunikan Bahasa Melayu juga disebabkan penulisannya boleh ditulis dalam huruf rumi dan huruf jawi. Justeru keindahan bahasanya boleh dilakarkan sama ada melalui seni penulisan berangkai mahupun penulisan khat. Pada waktu ini, tulisan Jawi hanya diajarkan dalam Pendidikan Islam, justeru dilihat hanya eksklusif kepada orang beragama Islam dan penggunaannya juga seolah-olah terhad dalam ruang lingkup pendidikan Islam sahaja.

Justeru, ABIM bersetuju dengan langkah kecil usaha menerapkan nilai-nilai warisan Bahasa Melayu serta identiti nasional yang telah lama ditinggalkan sebelum ini. Selain itu, fungsi dan peranan sedia ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan warisan penulisan jawi perlu diperkasakan lagi dengan lebih agresif agar tulisan jawi menjadi lebih signifikan dalam kehidupan masyarakat pada semua peringkat.

Usaha ini memerlukan kesungguhan berterusan kerajaan khususnya, serta semua pihak secara amnya, kerana apa yang diterapkan bukannya untuk memaksa pelajar memeluk Islam, sebaliknya mempelajari akar bahasa kebangsaan serta jati diri tanah air yang kita semua cintai.

*Mohd Raimi Ab Rahim ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 109 times
Rate this item
(0 votes)
Penjualan, Promosi Bir Tanpa Alkohol Terbuka Perlu Dihentikan: ABIM

KUALA LUMPUR - Sebarang promosi serta penjualan arak atau bir tanpa alkohol secara terbuka perlu dihentikan, kerana dikhuatiri memberi impak negatif pada masyarakat, khususnya anak muda.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, penjualan minuman seumpama itu juga tidak sesuai dibuat secara terbuka, demi menjamin kemaslahatan seluruh masyarakat.

Katanya mana-mana syarikat pengeluar minuman berkenaan, seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam promosi produk mereka, walaupun Malaysia merupakan negara yang majmuk.

"Sepatutnya syarikat seperti Heineken perlu lebih sensitif dalam mempromosi produk mereka. Meskipun mereka telah nyatakan bahawa sasaran penjualan minuman itu adalah remaja bukan Islam, ianya masih tidak wajar kerana mengelirukan," katanya.

Mohamad Raimi mengulas demikian serta menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof hari ini, yang menegaskan pengeluaran produk sedemikian bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah ia satu tindakan tidak baik.

Mengulas lanjut beliau berharap agar pihak berwajib memperkasa usaha, agar larangan penjualan produk yang haram serta syubhah atau tidak jelas hukumnya antara halal dan haram, dapat dilaksanakan di kawasan komuniti yang majoriti penduduknya ialah umat Islam.

Mohamad Raimi berkata umat Islam di negara ini turut dinasihatkan agar sentiasa menjauhi sebarang produk, khususnya minuman yang haram serta syubhah.

Read 112 times
Rate this item
(0 votes)
Morsi: The Silent Is An Infringement On The Spirit Of Democracy

Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) express deep condolences to all Egyptians, leaders and members of FJP Party and family of Dr. Mohammed Morsi. According to reports from leading international media, Dr. Mohammad Morsi passed away in court after having collapsed during a trial process.

Although he governed Egypt for a short period of time following the peoples’ revolution to overthrow Hosni Mubarak in 2011, Dr. Morsi was a significant leader in giving his best commitment towards reform, truth and justice in Egypt.

On 24 of March 2014, ABIM had issued a strong statement condemning the death punishment meted out by the Egyptian court to 529 of Morsi’s supporters who was elected legitimately and democratically. At the same time, ABIM urge for a comprehensive investigation on the cause of his death, given the fact that he was treated badly and denied basic medical treatment during the time he served in prison.

After more than six years of being persecuted, the tragedy on Dr. Morsi is but a glimpse on the massive persecution by the al-Sisi tyrannical regime. Hundreds of thousands have been killed, exiled, and imprisoned. The silence of the international community over this matter is an infringement on the spirit of democracy.

Hence ABIM urge all Malaysian citizens to consistently criticise the atrocities committed by the Egyptian government. Furthermore, ABIM welcome all Muslims to conduct the janazah prayer in absentia and pray for Allah to grant His mercy and Jannah to him. Innalillahi wainna ilaihi rajiun - Indeed we belong to Allah and indeed to Him we will return.

Mohamad Raimi Ab Rahim, President, Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).

Read 112 times
Rate this item
(0 votes)
[Video] Peduli Uyghur: Refleksi Sejarah & Tanggungjawab Kita

Bersama hentikan normalisasi serta usaha meremehkan penderitaan umat Islam Uyghur! Mereka saudara kita, dan kini mereka dizalimi. Prihatin, peka dan caknalah, jika kita mempunyai sifat kemanusiaan!

 

 

Read 200 times
Rate this item
(0 votes)
Qazaf: ABIM Gesa Rakyat Tolak Amalan Politik Lucah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada sikap individu-individu tertentu yang menyebarkan video kontroversi yang belum dikenal pasti kebenarannya di alam maya.

ABIM dengan tegas menyeru semua pihak dan seluruh rakyat Malaysia agar tidak menyebarkan video berkenaan untuk menghindari terjebak dalam jenayah Qazaf, yang dikenakan ke atas mana-mana tuduhan zina ataupun liwat tanpa kesaksian empat orang yang adil.

Amaran keras terhadap perbuatan sedemikian telah ditegaskan dalam Islam yang mana hikmahnya untuk mendidik umat sentiasa saling membela maruah dan harga diri seseorang daripada sebarang fitnah ataupun jenayah Qazaf mempunyai sanksi yang sangat berat terhadap kesaksian penuduhnya.

Perbuatan menyebarkan sebarang video ataupun gambar perlu dielakkan samasekali untuk mengelakkan umat Islam terjerumus dalam amalan keji yang tidak lain tidak bukan hanya bertujuan untuk menjatuhkan air muka seseorang individu.

Dalam era kecanggihan dunia kini, peringatan mengenai jenayah Qazaf tetap relevan untuk melindungi maruah mana-mana individu daripada menjadi mangsa pihak tertentu yang cuba memanipulasi penggunaan pelbagai aplikasi teknologi terkini.

Justeru, ABIM menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak sama sekali amalan politik murahan yang keji seperti ini kerana tindakan seperti ini hanya akan merosakkan moral masyarakat kita. Malaysia Baharu harus berasaskan kepada praktik politik matang yang mementingkan realisasi gagasan idealisme untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

Muhammad Faisal Abdul Aziz Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 142 times
Rate this item
(0 votes)
Page 1 of 13

Siaran Media

Naib Presiden Helwa ABIM Jadi Panel Penasihat
11hb September 2019 (Rabu): Alhamdulillah, Puan Nor Azura Kamarudin Sohami, Naib Presiden ABIM ...
Modul Diriku Permata Berharga Isi Slot Sempena
25hb Ogos 2019 (Ahad): Alhamdulillah, sempena Konvensyen Inspirasi Wanita, Penolong Setiausaha ...
Consistency key to maintaining racial unity, says
KUALA LUMPUR: An Islamic NGO said race and religious relations can be improved if there is ...
Helwa ABIM Gesa Jaminan Keselamatan Kanak-Kanak
Bahagian Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan ...
Wanita & Naluri Kemanusiaan Di Lapangan Umat.
Ada ketika rasa tidak berdaya bila teringat saudara-saudara yang sedang diuji di luar sana. Kosong. ...
ABIM Kecam Mansuh Status Istimewa Kashmir
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India baru-baru ...
Aidil Adha: Tingkatkan Kefahaman Di Sebalik
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak ...
Tahniah! Maahad Al-Ummah Naib Juara Kejohanan
Alhamdulillah, anggota pasukan sofbol atau bola lisut SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, Perak telah ...

#Akhbar #TV

Naib Presiden Helwa ABIM Jadi Panel Penasihat
11hb September 2019 (Rabu): Alhamdulillah, Puan Nor Azura Kamarudin Sohami, Naib Presiden ABIM ...
Modul Diriku Permata Berharga Isi Slot Sempena
25hb Ogos 2019 (Ahad): Alhamdulillah, sempena Konvensyen Inspirasi Wanita, Penolong Setiausaha ...
Consistency key to maintaining racial unity, says
KUALA LUMPUR: An Islamic NGO said race and religious relations can be improved if there is ...
Helwa ABIM Gesa Jaminan Keselamatan Kanak-Kanak
Bahagian Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan ...
Wanita & Naluri Kemanusiaan Di Lapangan Umat.
Ada ketika rasa tidak berdaya bila teringat saudara-saudara yang sedang diuji di luar sana. Kosong. ...
ABIM Kecam Mansuh Status Istimewa Kashmir
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India baru-baru ...
Aidil Adha: Tingkatkan Kefahaman Di Sebalik
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak ...
Tahniah! Maahad Al-Ummah Naib Juara Kejohanan
Alhamdulillah, anggota pasukan sofbol atau bola lisut SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, Perak telah ...
DMC Firewall is a Joomla Security extension!