Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Pupuk Semangat Perpaduan Semenjak Kecil. Featured

Sep 17, 2019 Hit: 74 Written by 
Pupuk Semangat Perpaduan Semenjak Kecil.

Detik 16 September adalah titik permulaan penting dalam sejarah negara ini. Daripada hanya Semenanjung Tanah Melayu dan masyarakat Melayu, Cina serta India teras asasnya, Malaysia telah muncul sebagai sebuah gagasan yang inklusif dengan meraikan penduduk Sabah dan Sarawak daripada pelbagai latarbelakang membentuk sebuah negara baru yang kita warisi bernama Malaysia.

Tarikh yang bersejarah ini mengingatkan kepada peristiyharan yang dilafazkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama negara kita, yang mengharapkan Malaysia”-

“…kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini”.

Sambutan Hari Malaysia adalah detik terbaik untuk kita sebagai rakyatnya memperbaharui tekad dan meningkatkan usaha untuk sama-sama memimpin negara untuk terus maju ke hadapan dan mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain pada masa akan datang.

Di usia Malaysia yang menjangkaui lima dekad, rakyat terbukti mampu hidup saling kenal mengenali, saling memahami antara satu sama lain, dan sama berganding bahu mencorakkan sejarah gemilang yang memartabatkan nama Malaysia sebagai contoh teladan keharmonian hidup masyarakat majmuk.

Kenyataan ini perlu dihayati serta disemaikan seawal usia kanak-kanak. Keluarga mempunyai peranan yang sangat penting untuk membina perspektif positif terhadap persekitaran kanak-kanak agar mereka menghargai kemajmukan yang menjadi latar utama negara kita.

Perpektif ini perlu disusuli dengan rasa hormat serta menghargai kepelbagaian antara bangsa serta agama. Ibu bapa serta setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting dengan memupuk interaksi sosial ini agar ia berjalan secara positif.

Apa yang lebih penting adalah setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai inisiatif untuk meneroka dan lebih terbuka untuk bersosial dengan orang yang berbeza dengan latarnya.

Bermula daripada titik ini, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia akan menjadi lebih teguh mulai akar umbi.

Mohamad Raimi Ab Rahim Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 74 times
Rate this item
(0 votes)
DMC Firewall is a Joomla Security extension!