ABIM Pusat

Feminisme Talbiah : Sebuah Lontaran Featured

Apr 15, 2019
Hit: 697
Written by
Feminisme Talbiah : Sebuah Lontaran

Disediakan oleh Raja Nurul Balqis Raja Mohd Ariff

Wanita Dalam Karya.

Pernah dengar teori ginokritikan? Teori feminis yang digunapakai oleh segelintir pengkaji yang ingin mengkaji penulisan wanita dalam karya wanita. Teori ini diperkenalkan oleh Elain Showalter yang merupakan seorang feminis barat.

Mengapa teori ini digunapakai oleh pengkaji di Malaysia?

Hujahnya kerana kebanyakkan penulis wanita bersetuju bahawa peranan menyuarakan isi hati wanita dan hak wanita menerusi karya terletak pada pundak mereka. Hanya wanita yang mengetahui secara tepat isu yang melingkari sekeliling mereka dan mereka jugalah menggariskan panduan dalam usaha menangani isu tersebut.

Sejarah generasi pengkritik wanita dalam bidang sastera wujud pada tahun 1970an.

Salah satu kritikan yang paling berpengaruh dan memberi impak kebangkitan feminisme adalah melalui teori ginokritikan ini. Beliau membahagi sejarah perkembangan penulisan dan kritikan sastera yang dihasilkan wanita melalui 3 tahap yang terkait dengan istilah feminine, feminist, female dan beliau menggunakan 4 model utama bagi melihat keberkesanan ginokritikan yang diaplikasi dalam karya sastera iaitu;

1) Penulis wanita dan biologi wanita

2) Penulis wanita dan Bahasa Wanita

3) Penulis wanita dan Psikologi wanita

4) Penulis. wanita dan Budaya wanita.

Ginokritikan ini merupakan kritikan feminis yang multibidang, lebih menjurus kepada dalaman wanita itu sendiri dan tidak perlu merujuk kepada pengaruh luar. Hakikatnya, ciri-ciri ginokritikan ini merupakan cubaan untuk membebaskan diri dari ikatan sistem patriaki/ penandaan lelaki. Selain itu, ginokritikan juga lebih membicarakan takrif kewanitaan dan karya yang dihasilkan. Oleh itu, sesebuah karya yang ditulis oleh penulis wanita haruslah dikritik oleh wanita juga.

Hakikatnya, ginokritikan ini merupakan satu usaha untuk memartabatkan penulis wanita yang melahirkan karya feminis dan pengkritik yang bersifat feminis. Teori barat ini ternyata berlawanan dengan syariat Islam. Terdapat kelompongan dalam keempat-empat model yang diketengahkan.

Bagi mengisi kelompongan tersebut 6 elemen tentang kedudukan wanita dalam Islam oleh Yusuf Al-Qaradhawi boleh dicantumkan dan melahirkan satu konsep yang dinamakan Konsep Feminisme Talbiah.

Teori Feminism Talbiah.

Mengapa perlu di Islamisasikan teori ginokritikan ini? Sudah pasti teori ini masih boleh diguna pakai oleh pengkaji di Malaysia terutama apabila mengkaji teori feminism dalam konteks Malaysia. Kerana kelompongan yang ada pada teori tersebut, maka perlu ditambahbaik supaya ianya relevan dalam waqi’ Malaysia. 

Menurut Mufti wilayah persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri( 2010) konsep talbiah merupakan penyerahan mutlak kepada Allah swt. Konsep ini diterima oleh para sahabat daripada Rasulullah s.a.w dan diakui oleh ulama. Konsep talbiah ini bertujuan untuk membentuk peribadi wanita melayu Islam berpandukan Al-Quran, sunnah dan pandangan ulama. Perjuangan feminisme di Barat yang memperjuangkan hak wanita, status dan taraf yang sama dengan lelaki dengan menganggap bahawa mereka diletakkan di bawah kekuasaan lelaki sangat berlawanan dengan keadaan wanita di Malaysia.

Siti Hajar Che Man (2007) dalam buku beliau, esei-esei kritikan feminis dan sastera melayu menyatakan definisi feminisme di rantau Asia lebih fokus soal keprihatinan terhadap penindasan wanita, eksploitasi tindak balas dan kerjasama antara lelaki dan wanita untuk mengubah persepsi yang sedia ada. Agama memainkan peranan penting bagi menghalang segala bentuk radikalisme yang menjadi ciri gerakan di Barat.

Di Malaysia, perjuangan ini bertentangan dengan agama, nilai, adat, dan budaya kerana wanita di sini tidak ditindas sepenuhnya oleh lelaki. Aspek penindasan ini disangkal oleh Abd Rahim Abd Rashid( 2011) seperti yang tercatat dalam buku beliau: ketrampilan wanita Alaf Baru. Menurut beliau, kedudukan wanita di malaysia dari segi sosial, ekonomi, politik dan kerjaya jauh lebih baik dan selesa jika dibandingkan dengan negara Asia yang lain.

Pada awal penubuhan gerakan feminisme di Malaysia, penubuhnnya begitu kuat dipengaruhi barat, lebih bermotifkan reformasi sosial dan politik wanita. Ternyata masyarakat tidak boleh menerima tindakan dan tingkah laku wanita barat yang menyebabkan mereka terpesong dari landasan agama, budaya dan etika.

Tuntasnya, perjuangan feminisme di Malaysia lebih kepada mahu mengangkat status, imej dan moral.

Konsep femisime talbiah dibina utk menganalisis keperibadian wanita islam yang bertunjangkan Al- Quran, sunah dan pendapat ulama iaitu Yusuf Al Qaradhawi. Yusuf Al-Qaradhawi membincangkan tentang wanita dalam 6 pandangan, iaitu;

1)Wanita sebagai insan,

2)wanita sebagai perempuan,

3)wanita sebagai ibu,

4)wanita sebagai isteri,

5)wanita sebagai anak,

6) wanita sebagai anggota masyarakat.

Keenam-enam elemen ini merupakan pegangan utama ke arah melahirkan wanita yang menepati syariat Islam. Pencantuman ginokritikan dan pandangan yusuf Al Qaradhawi telah membentuk aspek luaran dan dalaman konsep Feminisme Talbiah. Aspek yang terkandung dlm konsep ini menepati nilai dan budaya Melayu yang murni dan universal Islam.

Aspek tersebut membina nilai rohaniah manusia yang terdiri dari nilai agama, sosial, nasionalisme, patriotisme, hormat ibu bapa, berdaya positif. Menerusi konsep Feminisme Talbiah, perwatakan wanita melayu Islam diterjemahkan dengan memberikan gambaran iltizamnya mereka dengan tauhid yang ikhlas kerana Allah swt. Maka, ini wajar dijadikan panduan buat pejuang feminisme di Malaysia agar mereka sentiasa berada dalam landasan yang benar mengikut syariat Islam dalam norma, nilai masyarakat melayu.

Read 697 times
Rate this item
(1 Vote)
Bahasa Jiwa Bangsa! Para Pejuang Bahasa Tegaskan Pendirian Kepada Presiden BERSATU

3 hb April 2019: Allhamdulillah, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz telah menyertai sesi muzakarah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Menteri Dalam Negeri, tentang isu-isu pancang kenegaraan. Pertemuan ini disertai oleh para pejuang bahasa kebangsaan serta tokoh budayawan.

Perbincangan seputar masa depan Agama Islam, bahasa kebangsaan serta institusi Melayu-Islam di Malaysia. Semoga negara ditadbirkan dengan berdasarkan pancang-pancang kenegaraan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. TS Muhyiddin menegaskan bahawa Kerajaan hari ini jelas dengan dasar Islam dan Melayu sebagai teras utama negara ini.

Beliau terkenal selaku pemimpin yang mengangkat martabat bahasa Melayu, malah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sewaktu beliau menjadi Menteri Pelajaran.

PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012, selepas diluluskan pada Julai 2002. 10 tahun berlalu, namun perjuangan membantah perlaksanaan PPSMI, Dual Language Program (DLP) mahupun apa jua usaha memperlekeh bahasa Melayu, takkan pernah padam. ABIM dan PKPIM akan tetap konsisten dalam perjuangan ini, apa juga halangan yang menanti.

Belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati. Perkasakanlah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris. Tapi bukan dengan menidakkan hak para pelajar untuk lebih faham matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. Bahasa Jiwa Bangsa!

Read 612 times
Rate this item
(0 votes)

Kisah Subra & ABIM Featured

Apr 12, 2019
Hit: 705
Written by
Kisah Subra & ABIM

Tersenyum kami sejak Subra datang ke ABIM. Saja nak kongsikan kisah Subra dan macam mana Subra boleh sampai ke ABIM. Subra duduk berdekatan dengan SAP (Sekretariat ABIM Pusat). Sedang belajar secara tidak sepenuh masa dalam jurusan General Management di salah sebuah kolej swasta di KL.

Sambil tersenyum Subra kongsikan, keputusan SPM nya tidak seberapa namun jiwa Subra kental menyambung pengajian di peringkat ijazah. Katanya, kerana dia 'skip' dari proses penyediaan belajar dan terus mengambil subjek degree, banyak kemahiran persediaan yang dia tidak mahir. Kisahnya, ini merupakan semester terakhirnya. Dan Subra perlu membuat pembentangan kerja kursusnya.

Malangnya Subra tidak mempunyai kemahiran tersebut. Tidak tidur beberapa malam kerisauan, akhirnya Subra tekad bertanyakan siapa boleh membantu. Lalu Subra berjalan dari satu pejabat ke satu pejabat, dari satu kedai ke satu kedai bagi memohon bantuan. Sehinggalah tiba di SAP, seperti biasa, staf SAP menyambut Subra sebagai tetamu lainnya. Dan di sinilah Subra akhirnya, untuk kali dan hari ke-2?

Bersungguh-sungguh melihat dia belajar cara menyediakan bahan pembentangan menggunakan 'power point'. Sesi 1 hari pertama Subra datang dibantu penuh oleh pakar IT ABIM Ainaa Azizan. Sesi 2 hari ini dibantu penuh pakar projek Mohd Nor Farhan berselang seli dengan Aina. Akui Subra, senang dibantu oleh keduanya.

Akuinya lagi. Dahulu dia bekerja tetapi sekarang tidak lagi, jadi dia harus menghabiskan segera pengajian dan mencari kerja baru. Untungnya, kongsi dia, pensyarahnya menawarkan dia bekerja bersama sejurus tamat pengajian. Murah rezeki Subra, lurus dan jujur nampaknya. Mudah-mudahan lulus dengan cemerlang, dan mudah perjalanan hidupnya kelak.

Oh ya! Saya pun tak sangka SAP mampu membantu sejauh ini atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan.

Didikan sesama staf SAP, dan saya 'bangga dalam rendah hati' dengan performance staf SAP yang mendokong bersama misi rahmatan lil 'Alamin dalam kehidupan seharian ❤. Alhamdulillah. .

Read 705 times
Rate this item
(0 votes)
Tamrin Qiyadiy Kebangsaan 2019 Dekatkan Pimpinan ABIM Dengan Masyarakat

Syukur alhamdulillah, telah berlangsung Tamrin Qiyadi (Latihan Kepimpinan) Kebangsaan ABIM (TQK) pada 22-24hb Mac 2019, yang dijalankan di Ipoh, Perak. Di platform ini, para pimpinan ABIM dilatih untuk mencintai budaya ilmu, berfikir kritis, ikhlas, menguatkan kerohanian, tidak cinta dunia dan jawatan dan berkhidmat untuk masyarakat. Turut dijalankan, Forum Perdana yang mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat. Selan itu, turut digerakkan program masakan bubur lambuk dan sumbangan barangan dapur kepada asnaf yang dianjur oleh ABIM dan kerjasama dengan pengurusan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Ipoh. Terima kasih kepada semua yang terlibat. 

Read 743 times
Rate this item
(0 votes)
New Zealand sangat sedih, kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand

KUALA LUMPUR - “New Zealand sangat sedih,” kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Hunter Nottage mengulas kes tembakan yang membunuh 50 umat Islam di Christchurch, Jumaat lepas. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada beberapa Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di sini, petang tadi. Menurutnya, beliau berterima kasih dengan kehadiran beberapa NGO dan rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepada negara tersebut. “Kita tahu ada rakyat Malaysia yang terkesan akibat serangan kejam ini. Kita tak pernah menjangka perkara sebegini berlaku dalam negara yang aman seperti New Zealand. “Pihak kami mengambil kira pandangan, kata-kata semangat dan sokongan ditunjukkan rakyat Malaysia,” katanya selepas selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil NGO tempatan. Dalam pada itu, Hunter turut menyerahkan sebuah pasu dihiasi daun ‘fern’ dan bunga raya dan menyatakan ia adalah simbolik New Zealand menjaga rakyat Malaysia yang terkesan akibat insiden kejam itu. “Daun ‘fern’ adalah simbol kebangsaan negara kami dan kami tahu bunga raya adalah bunga kebangsaan Malaysia. Kami juga tahu ada beberapa rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu. “Daun yang mengelilingi bunga raya ini direka secara simboliknya untuk memberitahu daun-daun ini melindungi rakyat Malaysia di sana dalam keadaan yang sangat sedih sekarang. “Jadi, ini adalah untuk anda,” katanya sebelum menyerahkan bunga sebagai simbolik tersebut kepada salah seorang wakil NGO berkenaan. Beberapa NGO pelbagai agama bertemu dengan wakil kerajaan New Zealand, di sini, petang tadi bagi menyerahkan memorandum dan menyatakan sokongan kepada negara Oceania tersebut.

Read 586 times
Rate this item
(0 votes)
Masyarakat Madani & Malaysia Baharu: Apa Perspektif ABIM?

“Masyarakat Madani yang kita bayangkan diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Masyarakat di mana pertumbuhan institusi kemasyarakatan – lembaga yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara – dipupuk dan bukannya dicantas, di mana kecemerlangan serta cita rasa harus pula menggantikan kelaihan dan kepicisan. Justeru itu, kita perlu menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai keperimanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada. Lantaran itu, prinsip musyawarah dan demokrasi didukung, ia tidak pula disogokkan dan dipaksakan, terutama menurut acuan dan pengalaman Barat.”

(Anwar Ibrahim, 1997)

Pemerkasaan institusi kerakyatan, reformasi institusi, perdebatan polisi dan wacana di ruang awam yang sememangnya menjadi antara medan gerak kerja masyarakat madani haruslah sentiasa berpaksikan prinsip, nilai, etika dan moral yang bukan sahaja universal, bahkan harus adil dan seimbang dengan turut mengambil kira faktor agama, budaya dan sensitiviti kemasyarakatan yang relatif sifatnya.

Arakian bukan hanya kerajaan atau konglomerat pasaran yang tertakluk dan dipertanggungjawabkan dalam segala tindak tanduknya kepada masyarakat, pergerakan civil society sebagai suara yang mewakili pelbagai kelompok rakyat terbanyak harus dengan penuh sedar bertanggungjawab dan memainkan peranan yang positif dalam agenda menjunjung nilai, moral, akhlak dan etika.

Gerakan masyarakat madani, atas nama kesejagatan dan kemodenan tidak harus membiarkan dirinya terjebak dan terperangkap dalam faham dan pejuangan yang berasaskan kenisbian nilai moral dan akhlak yang jelas bertentangan dengan ajaran agama, tatabudaya dan norma seperti aktiviti Lesbian Gay Bisexual dan Transgender (LGBT).

Dalam konteks ABIM, kita tidak rela membiarkan Malaysia era baharu berubah menjadi masyarakat permisif yang merelakan kebejatan menerobos sempadan agama dan menjungkirbalikkan norma masyarakat berwenangan tanpa kawalan.

Pada masa yang sama, kita menolak sama sekali pendekatan yang radikal, ganas dan diskriminatif dalam menangani gejala yang telah mewabak dan membarah ke seantero dunia ini.

Di sinilah dakwah dan hikmah kebijaksanaan dituntut, bukan sahaja dari pihak pemerintah yang mendepani isu ini, tetapi juga oleh gerakan dakwah dan kemasyarakatan seperti ABIM yang terlibat langsung berdepan dengan sasaran segmen dakwah sebegini.

Sesungguhnya kewajipan kita para dai’e lebih banyak dari masa yang kita punyai – al-wajibat akthar min al-awqat. Ruang dakwah yang terbuka lebih luas menuntut peranan dan tanggungjawab yang lebih berat buat ABIM untuk dikerjakan.

Atas kesedaran terhadap amanah inilah, maka ABIM bertekad untuk memainkan peranan yang lebih instrusmental dan aktif dalam mencorakkan agenda, orientasi dan masa depan pergerakan masyarakat madani di era Malaysia Baharu.

 

Read 699 times
Rate this item
(0 votes)
Kesaksamaan Fikiran dan Keseimbangan Peranan, Untuk Malaysia Yang Lebih Bahagia

Perutusan Hari Wanita Antarabangsa 8 Mac 2019

Oleh Nor Azura Kamarudin Sohami Naib Presiden HELWA ABIM 

HELWA ABIM dengan sukacitanya mengucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2019 kepada seluruh wanita di Malaysia. Tarikh 8 Mac saban tahun diraikan segenap wanita seluruh pelusuk dunia bagi mengangkat pengiktirafan bagi setiap kejayaan wanita dan menghargai peranan dan pengorbanannya dalam pelbagai bidang. Tema sambutan International Womens Day pada tahun 2019 dinamakan ‘Balance for Better’ (Seimbang untuk Lebih Sejahtera) dan United Nation pula menetapkan slogan ‘Think equal, build smart, innovate for change’ (Fikir secara saksama, bina dengan bijaksana, inovasi untuk perubahan).

Istilah kesaksamaan membawa pengertian seimbang, setimpal, setara, sebanding dan sama rata. Kesamaan, keserataan dan keseimbangan ini mencakupi makna yang dihasratkan agar ia diniatkan dan menjadi ruang fikir yang setara antara wanita dan lelaki agar tugas membangunkan generasi dan membina peradaban, membentuk keluarga dan masyarakat sejahtera tidak bergantung kepada satu-satu gender semata-mata; sebaliknya bersifat saling melengkapi (complementary) dan melibatkan tanggungjawab bersama (shared responsibility) antara lelaki dan wanita agar ia menatijahkan hasil yang lebih positif dan memberansangkan dalam era artificial intelligence mula mengadaptasi peranan manusia dalam segenap ruang kehidupan.

Wanita Cerdas, Memimpin Budaya Ilmu dan Mengukuhkan Tradisi Intelektual

Merujuk indeks jurang gender Malaysia 2017, skor sub-indeks pendidikan 1.040 menunjukkan tiada jurang antara lelaki dan wanita, malah pencapaian wanita telah melebihi lelaki. Namun begitu, wujud 1.0 mata peratus perbezaan bagi kadar literasi antara lelaki dan wanita. Hal ini menunjukkan, peluang bagi wanita Malaysia dalam sektor pendidikan terbuka luas dan ini jelas dilihat pada statistik bilangan pelajar wanita, guru dan pensyarah wanita. Malah bilangan kehadiran peserta wanita dalam pelbagai program ilmu sama ada yang bersifat antarabangsa mahupun tempatan, iaitu di daerah dan kampung juga tinggi. Namun begitu, perbezaan kadar literasi antara wanita dan lelaki menunjukkan keperluan meningkatkan program literasi bagi wanita khususnya kepada masyarakat pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, serta orang asal (asli).

Era Malaysia Baharu harusnya meletakkan tanda aras baharu; sudah sampai masanya wanita perlu memimpin amalan budaya ilmu dan terus mengukuhkan tradisi intelektual dengan memperluaskan bahan bacaan bernilai tinggi, meraikan diskusi bersifat ilmiah dan mencabar minda, wacana yang membuka ruang analitikal, pena’akulan dan refleksi yang lebih efektif dan punya conscience yang tinggi. Wanita dalam keluarga khususnya ibu mahupun suri rumahtangga, dan kanak-kanak perempuan harus dibuka dan diberi peluang literasi dan ekspresi yang sewajarnya. Di sini wujud peranan penting lelaki, bapa dan suami yang memberi kepercayaan, ruang dan peluang kepada wanita dalam keluarga agar berpatisipasi aktif dalam program-program literasi dan keilmuan yang membina jiwa dan minda. Dalam masa yang sama, kaum lelaki juga harus punya kesedaran dan keinginan tinggi untuk meningkatkan tahap keilmuan peribadi seiring dengan ahli keluarga dalam mewujudkan keluarga dan negara yang sejahtera. Kejayaan misi membentuk perubahan kualiti institusi kekeluargaan dan kesejahteraan negara sangat bergantung kepada perubahan kesedaran daya fikir serta sikap lelaki dan wanita khususnya dalam ruang lingkup pendidikan dan keilmuan. Prinsip utamanya ia harus bersifat saling melengkapi (complementary) dan dua kunci utama kejayaaan pelaksanaanya ialah tindakan kolektif dan perkongsian tanggungjawab antara kedua pihak wanita dan lelaki.

Wanita Aktif, Peningkatan Kesihatan Mental dan Pengukuhan Sistem Sokongan.

Read 734 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

Wanita & Naluri
Ada ketika rasa tidak berdaya bila teringat saudara-saudara yang sedang diuji di luar sana. Kosong. ...
ABIM Kecam Mansuh Status
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India baru-baru ...
Aidil Adha: Tingkatkan
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak ...
Tahniah! Maahad Al-Ummah
Alhamdulillah, anggota pasukan sofbol atau bola lisut SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, Perak telah ...
Keanggunan Sikap dan
Imej diri adalah refleksi keseluruhan diri, pesona luar dan dalam seseorang individu. Ia merangkumi ...
Pemimpin Perlu Amalkan
20 Julai 2019 , KOTA KINABALU - Seramai 64 orang pemimpin pelajar Maktab Sabah telah mengikuti ...
ABIM Sokong Desakan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut gesaan kerajaan Malaysia menerusi kenyataan Yang ...
Fakta Dan Kajian
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada hasrat YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ...

ABIM Negeri

Wanita & Naluri
Ada ketika rasa tidak berdaya bila teringat saudara-saudara yang sedang diuji di luar sana. Kosong. ...
ABIM Kecam Mansuh Status
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India baru-baru ...
Aidil Adha: Tingkatkan
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak ...
Tahniah! Maahad Al-Ummah
Alhamdulillah, anggota pasukan sofbol atau bola lisut SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, Perak telah ...
Keanggunan Sikap dan
Imej diri adalah refleksi keseluruhan diri, pesona luar dan dalam seseorang individu. Ia merangkumi ...
Pemimpin Perlu Amalkan
20 Julai 2019 , KOTA KINABALU - Seramai 64 orang pemimpin pelajar Maktab Sabah telah mengikuti ...
ABIM Sokong Desakan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut gesaan kerajaan Malaysia menerusi kenyataan Yang ...
Fakta Dan Kajian
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada hasrat YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ...
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd