PDF Print E-mail
Bahasa Melayu Asas Pembinaan Tamadun Bangsa: Sorotan Sejarah
Oleh: Prof Dr Awang Sariyan

Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan dan penyuburan tamadun bangsa Melayu telah berlangsung sejak awal pertumbuhan tamadun bangsa itu sendiri. Gelombang pertama bangkitnya tamadun Melayu ialah dalam zaman yang dikenal sebagai zaman Melayu kuno, iaitu zaman munculnya kerajaan-kerajaan Melayu tua seperti Campa, Langkasuka dan Sriwijaya. Kerajaan Melayu lama yang dianggap oleh para sejarawan sebagai mercu tanda kebangkitan tamadun Melayu awal ialah kerajaan Sriwijaya yang bertahan dari abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi.

Sebagai kuasa kelautan yang wilayah takluknya meliputi negeri-negeri di Selat Melaka hingga selatan Thailand, dan bahkan mempunyai hubungan hingga sejauh Sri Lanka, Sriwijaya menjadi kerajaan yang menjelmakan citra utama tamadun Melayu, iaitu sistem pemerintahan yang utuh, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian ilmu. Menurut catatan I-Cing, iaitu pendeta Buddha yang singgah di Fo-syih, ibu negara Sriwijaya di Palembang dan tinggal di situ selama enam bulan dalam tahun 671, terdapat pusat pengajian agama Buddha dalam bahasa Melayu kuno.
Dalam zaman Sriwijaya jugalah berlangsungnya interaksi antara tamadun apabila tamadun India banyak mewarnai aspek-aspek ketamadunan Melayu pada zaman pra-Islam. Bahasa Melayu pada zaman itu yang dikenal sebagai bahasa Melayu kuno menerima sekian banyak kosa kata serta unsur tatabahasa bahasa Sanskrit, sebagaimana yang terlihat pada batu-batu bersurat yang ditemukan dalam zaman tersebut. Bahasa Melayu pada zaman itu telah memainkan peranan dalam tiga aspek penting tamadun, iaitu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian agama.

Gelombang tahap kedua perkembangan tamadun Melayu ditandai oleh kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu dalam bentuk sistem kesultanan. Kesultanan Melayu Melaka yang muncul pada awal abad ke-15 dapat dianggap menjadi pembuka babak sejarah baharu tamadun bangsa Melayu. Kemunculannya banyak membawa perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia Tenggara dan juga menjadi penyambung kewujudan empayar di alam Melayu, sesudah runtuhnya empayar Sriwijaya (Muhd. Yusof bin Ibrahim, 1996: 21).

Pada zaman Kesultanan Melayu itulah bahasa Melayu yang kita warisi hingga kini baru benar-benar memperoleh bentuknya yang mantap. Bahasa Melayu dalam zaman kuno demikian asing dan sukar difahami disebabkan pengaruh yang kuat daripada bahasa Sanskrit, baik dalam bidang kosa katanya mahupun dalam bidang tatabahasanya. Perhatikan sahaja contoh bahasa Melayu kuno yang terdapat pada batu bersurat Kedukan Bukit, iaitu salah satu batu bersurat pada abad ke-7 seperti yang berikut ini, yang nyata amat jauh bentuknya daripada bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu kini:

Swastu Shri
Shakawarsatita 605 ekadashi
Shuklapaksa wulan Waishakha dapunta
Siyang naik disambu mengalap siddhayatra
Di Saptami Shuklapaksa Wulan
Jyestha dapunta hiyang marlapas dari Minanga Tamvan
Mamawa jang bala dua laksa
Dangan…dua ratus
Tsyara disambau dangan jalan
Saribu tlu ratus sapuluh
Dua banyaknya. Datang
Di Matajap
Sukhatshitta.
Di pantshami shuklapaksa Wulan
…laghu mudik datang
marwuat maua…Syriwijaya
jayasiddharyatra subhiksa.

Bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu, yang disebut juga zaman klasik, merupakan bahasa yang hingga kini dapat dikenal bentuknya dan dapat difahami, meskipun mempunyai gaya yang berlainan daripada bahasa Melayu kini. Sebahagian besar kosa kata bahasa Melayu klasik masih tetap difahami dan terdapat dalam kamus. Tatabahasanya masih merupakan acuan bahasa yang sama dengan tatabahasa bahasa Melayu kini, sehingga dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu zaman baharu berakar daripada bahasa Melayu zaman klasik yang mekar dalam zaman Kesultanan Melayu. Bandingkanlah bahasa Melayu kuno pra-Islam itu tadi dengan bahasa Melayu sesudah Islam sebagaimana yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu (1303) yang tampak rapat dengan bentuk bahasa Melayu yang digunakan kini:

A
1.    Rasul Allah dengan yang orang…(bagi) mereka
2.    Ada pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan agama Islam.
3.    Dengan benar bicara darma merkesa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
4.    Di benuaku ini (penentu) agama Rasul Allah salallahu `alaihi wassalam raja
5.    Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
6.    behumi. Penentua itu fardhu pada sekalian raja mandalika Islam.
7.    Menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
8.    Bicara berbajiki benua penentua itu maka titah Raja Paduka.
9.    Tuhan mendudukkan tamwa ini di benua Terengganu di pertama ada
10.    Jumaat di bulan Rajab pada tahun Syartan di sasanakala.
11.    Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua.

B
1.    le iarga du benua jauh…kan…ul
2.    (Datang) berikan keempat darma barang orang berpihutang
3.    Jangan mengambil ke…ambil bilangkan emas.
4.    Kelima darma barang orang…merdeka.
5.    Jangan mengambil tugal buat tamsanya.
6.    Jika ia ambil hilangkan emas, Keenam darma barang
7.    Orang berbuat balacara laki-laki perempuan setitah
8.    Dewata Mulia Raya jika merdeka bujan palu
9.    Seratus rautan. Jika merdeka beristeri
10.    Atawwa perempuan bersuami ditanam binggan
11.    Pinggang dihembalang dengan batu matikan
12.    Jika inkar balacara hembalang jika anak mandalika.

C
1.    Bujan dandanya sepuluh tengah (tiga) jika ia…
2.    Menteri bujan dandanya tujuh tahil sepaha
3.    tengah tiga. Jika tetua bujan dandanya lima tahil…
4.    Tujuh tahil sepaha masuk bendara. Jika orang…
5.    merdeka. Ketujuh darma barang perempuan hendak…
6.    Tida dapat bersuami jika berbuat balacara

D
1.    …tida benar dandanya setahu sepaha
2.    …Sri Paduka Tuhan siapa tida…dandanya
3.    …kesepuluh darma jika anakku atawwa ku atawwa cucuku atawwa keluargaku atawwa anak
4.    …tamwa ini segala isi tamra ini barang siapa tida menurut tamra ini laknat Dewata Mulia Raya
5.    …dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini

(Othman Yatim, 2007: 46-52)

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972 dll.) menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam, terutama dengan pengenalan akan “...peristilahan dasar yang membayangkan faham-faham dasar yang menayangkan pandangan alam serta kehidupan yang dialami….” (al-Attas, 2001: 99). Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan sarwa Islam dalam aspek sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat. Demikian juga Islam telah memberikan acuan baharu kepada wacana bahasa Melayu dengan pengenalan akan pelbagai bentuk wacana yang sebelumnya tidak ada dalam tamadun Melayu, seperti wacana ketatanegaraan (seperti dalam Tajul Salatin), wacana undang-undang (seperti Hukum Kanun Melaka), wacana penserajahan atau historiografi (seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Raja Pasai) dan pelbagai bentuk susastera prosa dan puisi.

Bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu benar-benar menjadi tonggak tamadun kerana digunakan dalam segenap lapangan kehidupan - pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, ilmu dan pendidikan. Kehebatan bahasa Melayu pada abad ke-16 dirakamkan oleh sarjana Belanda Francois Valentijn sebagai yang berikut:

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.” (Nik Safiah Karim et al. 2003: 14)

Sumbangan besar yang lain yang diberikan oleh Islam ialah pengenalan tulisan Jawi yang didasarkan pada aksara Arab. Dalam zaman Kesultanan Melayulah untuk kali pertama bahasa Melayu mempunyai tulisan yang benar-benar meluas penggunaannya dalam pelbagai bidang kehidupan sehingga muncul tradisi bahasa Melayu persuratan yang menjadi asas bahasa Melayu baku. Dalam zaman kuno, meskipun ada tulisan Palava, Kawi, Rencong dan sebagainya, tidak terdapat bukti sejarah tentang keluasan fungsi dan penggunaannya di tengah-tengah masyarakat. Tiada tinggalan karya sebagaimana yang kita warisi daripada zaman Kesultanan Melayu. Besarnya peranan tulisan Jawi terungkap dalam penamaan bangsa Melayu yang dikenal sebagai bangsa Jawi. Bangsa Melayu yang dimaksudkan itu pula merangkum semua kumpulan etnik yang mendiami Kepulauan Melayu, tidak kira Jawa, Sunda, Aceh, Mandailing, Rawa, Minangkabau, Bugis, Bawean, Banjar dan yang lain-lain. Demikianlah faham kebangsaan Melayu yang luas yang telah wujud sejak lama dan dalam menghadapi zaman kini dan zaman mendatang, tidaklah harus dilupakan konsep Melayu dengan pengertian yang luas itu.
 

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.