|
Oleh Muhamad Razak Idris
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Banyak tanda berkaitan dengan era peralihan zaman yang kita tempuhi hari ini. Antara tanda yang paling menonjol ialah kelahiran sebuah masyarakat terbuka. Kelahirannya banyak disumbangkan kepesatan dunia pemberitaan kesan pertumbuhan teknologi maklumat dan arus globalisasi. Kepesatan dunia pemberitaan hari ini memberi satu cabaran baru kepada kita sebagai rakyat terbanyak. Dalam sebuah masyarakat terbuka, sumber pemberitaan tersebar begitu luas dan pantas sekali. Penyebarannya kini bukan lagi dimonopoli institusi media yang bersifat formal atau dikenali sebagai 'media arus perdana'.
Penyebarannya sudah disumbangkan dengan amat berpengaruh institusi tidak formal yang dinamakan sebagai 'media baru'. Kemunculan media baru sebagai satu wahana atau saluran penyebaran berita adalah natijah kepesatan pertumbuhan teknologi maklumat. Pada masa kini, sumber berita bukan saja boleh diperoleh menerusi bahan cetak dan saluran elektronik, malah menerusi saluran 'atas talian' atau online.
Saluran baru ini merujuk kepada penyebaran berita menerusi saluran komputer dengan menggunakan teknologi internet. Individu atau kumpulan boleh menyebarkan sesuatu berita dengan mendaftarkan satu laman di internet. Berita dan maklumat yang tersiar boleh dikongsi oleh sesiapa saja dan disebar secara atas talian dengan pantas dan mudah. Sebagai rakyat yang berpandangan positif, kita perlu menyambut baik pertumbuhan pesat dunia pemberitaan ini. Kita kini mempunyai banyak pilihan dari segi sumber maklumat mengenai sesuatu perkara.
Kita memerlukan maklumat secara cepat daripada pelbagai sumber bagi membolehkan kita membuat keputusan penting dalam banyak urusan kehidupan. Kita boleh ketinggalan sekiranya mengambil sikap lewa dengan perkembangan maklumat baru yang berkembang di persekitaran kita. Pertumbuhan dunia pemberitaan ini juga sekiranya ditanggapi secara positif akan menjadikan kita masyarakat yang berpandangan kritis. Ia bermaksud, maklumat yang kita peroleh dari pelbagai sumber pemberitaan membolehkan kita membuat penilaian dan perbandingan. Proses ini mustahak kerana ia akan menyumbang kepada kelahiran masyarakat yang matang. Namun, pertumbuhan ini juga akan memberikan kita satu cabaran baru. Keupayaan kita membina pandangan kritis dan matang dalam kehidupan masyarakat bergantung kepada kemampuan untuk kita memilih sumber maklumat yang paling berwibawa. Cabaran ini perlu ditangani secara bijaksana oleh seluruh rakyat. Setiap sumber pemberitaan yang sampai kepada kita mempunyai latar belakang tersendiri. Dalam erti kata lain, sumber berita yang kita peroleh daripada apa juga saluran berita dibentuk pengaruh dan perkembangan sejarah dan sosiobudaya dalam persekitaran tersendiri. Malah, sesetengah sumber berita yang tersebar dibentuk bagi mencapai tujuan tertentu yang tidak boleh dipastikan. Contoh yang boleh digunakan bagi menjelaskan cabaran baru yang perlu kita hadapi ialah dalam memilih berita atau maklumat mengenai agama Islam dan masyarakatnya yang tersebar menerusi pelbagai sumber.
Sebagai rakyat, kita harus menyedari iaitu kedapatan sebahagian sumber berita berkenaan perkara ini ditulis bersandarkan kepada latar belakang pemikiran dan sejarah selepas peristiwa pengeboman dua menara bangunan di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Latar peristiwa ini banyak mempengaruhi corak tulisan mengenai agama Islam dan masyarakatnya oleh banyak sumber berita sejak akhir-akhir ini. Selepas peristiwa ini, struktur persepsi sebahagian masyarakat dunia terhadap agama Islam dan masyarakatnya berubah. Agama Islam dipandang sebagai pegangan yang berbahaya dan masyarakatnya pula mula ditakuti. Kesannya ialah, kemunculan satu fenomena budaya dan sejarah yang kini dikenali sebagai 'Islamophobia' atau perasaan takut dan gerun terhadap realiti Islam yang berkembang. Fenomena Islamophobia yang berkembang terutama di kalangan masyarakat di Barat menyumbang kepada perkembangan pandangan yang negatif mengenai Islam dan masyarakatnya. Oleh kerana itu, sebagai rakyat, kita perlu lebih teliti apabila menerima dan memperoleh sesuatu sumber berita. Tidak semua berita yang terdedah kepada kita mempunyai tahap kewibawaan sama. Latar belakang budaya dan sejarah semasa banyak mempengaruhi tahap kewibawaan sesebuah berita.
Situasi sama boleh berlaku bukan saja dalam persoalan berkaitan agama, malah dalam aspek sosial, ekonomi dan politik setempat. Beberapa petunjuk di bawah boleh membantu kita di dalam memilih sumber berita paling berwibawa:
Pertama, setiap berita memenuhi syarat asas keilmiahannya seperti penulis dan sumber rujukan boleh dipercayai. Asas ini akan memastikan nilai kebenaran dan kewibawaan sumber berita itu terpelihara. Kedua, sumber berita yang diperoleh ditulis berpandukan etika pemberitaan yang tinggi. Asas pemberitaan bertujuan untuk mendidik dan memberi maklumat secara objektif mengenai sesuatu perkara. Corak pemberitaan bukan didorong oleh sikap yang memihak atau prejudis. Ketiga, kandungan sesuatu pemberitaan tidak mengandungi perkara yang boleh menjatuhkan kemuliaan orang lain. Ini adalah prinsip akhlak dalam pemberitaan. Ia tidak harus mengandungi bahan cercaan dan keaiban. Sekiranya sesuatu berita secara jelas melanggar prinsip asas akhlak ini, maka secara langsung, ia bukan lagi sumber berwibawa. Oleh itu, ia harus ditolak dan kita tidak boleh menjadikannya sebagai pegangan, apatah lagi menyebarkannya kepada orang lain. |