 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), telah menganjurkan dua program permantapan pengurusan organisasi di Negeri Selangor dan Johor baru-baru ini. Pada 28 Februari yang lalu, ABIM Negeri Selangor telah menganjurkan Kursus Kesetiausahaan 2010, di Shah Alam. Sepanjang kursus yang dikendalikan oleh Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim serta Setiausaha ABIM Selangor, Khairudin Abbas, para peserta yang terdiri daripada para setiausaha serta ahli-ahli jawatankuasa ABIM peringkat daerah di Selangor telah didedahkan dengan pelbagai aspek kemahiran berkaitan dengan pengurusan serta peningkatan kendiri sesebuah organisasi. Terdahulu pada 20 Februari 2010 di Wisma ABIM ,Bandar Baru Uda, Johor Bahru, ABIM Negeri Johor telah melaksanakan Bengkel ABIM siri pertama untuk tahun 2010. Program ini disertai 29 orang staf Agensi ABIM ABIM Johor, iaitu Sekolah Rendah Islam Johor Bahru (SRIJB), Taska Mustika Embun (TME), Skuad Prihatin ABIM Johor dan beberapa agensi lain.
Bengkel ini dikendalikan oleh Exco Penataran ABIM, Ustaz Ab Razak Bin Aripin , Timbalan Yang Dipertua ABIM Johor yang mana beliau menjelaskan sejarah penubuhan ABIM dengan mengaitkan rentetan sejarah Islam lampau hingga kini. Dalam slot kedua yang dikendalikan oleh Mohd Halimi Bin Kolan, Setiausaha Kewangan ABIM Johor, beliau menengahkan Tasawwur Gerakan dengan mengupas lebih lanjut tentang pandangan para sarjana berkenaan dakwah, menghuraikan ciri-ciri serta peranan pendakwah yang berfungsi.
|