|
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim, menegaskan bahawa bantahan yang berlaku di kalangan umat Islam terhadap penggunaan kalimah Allah oleh Catholic Herald,tidak bermakna mereka tidak menghormati sistem perundangan yang ada di negara ini. Sebaliknya menurut beliau, siri-siri demonstrasi serta bantahan yang berlaku ini merupakan manifestasi dari kekecewaan akibat daripada keputusan tersebut yang secara langsung menyentuh sensitiviti mereka.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai Perhimpunan Perpaduan Ummah, yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dalam perhimpunan yang diadakan selepas Jumaat itu, Mohamad Raimi juga telah membacakan Deklarasi Kampung Baru yang menuntut semua pihak menjaga keharmonian di antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Dalam pada itu, beliau juga turut mengecam serangan yang dibuat ke atas beberapa buah gereja di seluruh negara. Beliau juga menggesa sebarang tindakan provokasi seperti ini dapat dielakkan untuk menjaga keharmonian di antara kaum di negara ini.
|