|
||||
| Perkahwinan Budak 11 Tahun Melanggar Undang-undang Negara |
|
KUALA LUMPUR: Perkahwinan budak berusia 11 tahun yang berlaku di Kelantan cukup menyedihkan dan memalukan, sekali gus memberi kesan dalam membela serta memperjuangkan isu kanak-kanak, terutama memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna dan perlindungan secukupnya. Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, berkata walaupun perkahwinan itu sah mengikut syarak, budak berkenaan perlu diselamatkan kerana dia masih kecil dan mempunyai masa depan.
"Tindakan bapanya amat dikesali dan dia patut dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar undang-undang negara," katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau mengulas mengenai tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun yang juga ketua jemaah yang disertainya. Kes itu adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di negeri itu, selepas seorang budak berusia 10 tahun dikahwinkan keluarganya dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas, baru-baru ini. |




