WADAH / PKPIM (53)

Pusat Pendidikan Rohingya Anjurkan Hari Sukan Di Permatang Pauh

Merasmikan majlis Sukan Tahunan Kali Ke-7, Rohingya Education Centre Pulau Pinang. Majlis diadakan di Padang SK, Jalan Baru, Seberang Jaya..marilah sama2 usahakan untuk membantu pelarian mendapatkan hak yang sewajarnya..tahniah kepada WADAH yang istiqamah menguruskan kebajikan & pendidikan untuk Rohingya.

Read 270 times
Rate this item
(0 votes)
PMG Ubah Pelajar Pendiam Menjadi Pemimpin

"Isteri saya berkata,"eh anak murid ni dahulu tidak aktif pun di sekolah, tapi kini dia menjadi pemimpin mahasiswa di Universiti luar negara" Saya jawab, "inilah kerja Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Inilah hasil Perkampungan Menara Gading Kebangsaan, inilah hasil didikan usrah dan program intelektual insyaallah "  kongsi Dr Zulkifli Hasan, Pensyarah USIM kepada peserta Perkampungan Menara Gading (PMG) anjuran PKPIM. Dr Zulkifli berkata demikian ketika berkongsi pengalaman salah seorang peserta PMG yang kini menjadi salah seorang pemimpin pelajar (Malaysia) di United Kingdom. 

Senior PKPIM dan ABIM akan berpesan, jika kamu hadir ke forum dan program intelektual luar negara, kamu wajib tanya SOALAN. Kalau niat kamu sekadar hendak berseronok berjalan-jalan. Lupakan. Betulkan niat. Ketika zaman mahasiswa saya, saya rasa amat menyesal kerana tidak menggunakan masa sebaiknya dalam aktiviti kemasyarakatan juga program ilmiah kerana menurut pengalaman saya, sebaik sahaja selesai Final Exam, saya diberi tempoh hanya satu minggu sahaja untuk meneruskan kehidupan di alam kerjaya. Jadi masa bila untuk saya berkhidmat kepada masyarakat? " -En Syahrir Azfar,CEO Malaysian Lifeline for Syria

Read 372 times
Rate this item
(1 Vote)
Memperingati Wira Dari Gua; Pemuda-Pemuda Al-Kahfi Dalam Pencitraan Al-Qur'an:- Dato' Dr Siddiq Fadzil

27 Februari 2016, Kolej Dar Al-Hikmah:- Citra sejarah yang direkayasa tidak akan mampu menandingi kejujuran ilmiah! Begitulah antara kesimpulan penting yang diutarakan Dato' Dr Siddiq Fadzil ketika memimpin Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri Ke-76 yang mengangkat tema "Memperingati Wira Dari Gua;Pemuda-Pemuda Al-Kahfi Dalam Pencitraan Al-Qur'an'.

"Citra manusia dalam sejarah boleh berubah kerana ini tertakluk kepada penafsiran semula dari masa ke masa berasaskan perspektif dan sudut pandang yang berbeza dan berubah. Pencitraan palsu oleh media propaganda politik tidak akan mampu bertahan lama kerana dasarnya bukan fakta dan kebenaran. Apa yang selalu dipromosikan sebagai “sejarah” seringkali berupa versi bikinan pemerintah yang didasari motif kepentingan. Sejarah yang direkayasa seperti itulah yang selalu dipenuhi distorsi sehingga menciptakan fenomena tragik ramainya pahlawan yang tidak didendang. Tetapi akan sampai masanya, sejarah bikinan seperti itu tidak mampu berhadapan dengan sejarah tandingan yang berasaskan kejujuran ilmiah!'

Seramai 500 orang telah memenuhi dewan besar Kolej Dar Al Hikmah yang menyaksikan kisah pemuda Al-Kahfi disoroti menerusi aspek sejarah. Ini termasuk fakta bahawa kisah pemuda Kahfi ini kisah anak muda bangsawan, anak-anak elit yang punya segala kemewahan dan kecukupan dunia, berasa bosan dan protes dengan negara yang penuh kebejatan dan kerosakan. "Kisah kehilangan pemuda-pemuda yang protes ini seterusnya menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat! 

"...Pemuda-pemuda al-kahf itu menjadi buruan rejim kuku besi yang mulai merasa tergugat. Bagi kerajaan, mereka adalah “musuh” negara, “pengkhianat” bangsa, dan “perosak” agama. Jumlah mereka memang sangat kecil, hanya beberapa orang, tetapi keberanian mereka menolak agama dan budaya pihak berkuasa tetap menakutkan kerana mereka memiliki potensi besar membenihkan kesedaran rakyat. Justeru, mereka memiliki kekuatan iman, kekuatan fikrah, kekuatan daya tahan dan daya juang yang luar biasa." tambah Dato' Dr Siddiq Fadzil lagi sambil menegaskan "..Generasi yang hidup pada zaman pemerintahan baru inilah yang memiliki kesedaran sejarah tentang kehebatan pemuda-pemuda yang berani bersikap menolak tradisi bejat dan sesat untuk memilih iman dengan segala risikonya. Di mata generasi baru ini, pemuda-pemuda al-kahf bukan lagi orang-orang buruan, tetapi pahlawan yang sangat menginspirasikan. Demikianlah hakikatnya, citra manusia dalam sejarah boleh berubah.

Read 566 times
Rate this item
(0 votes)
DLP: Kami Tidak Tolak Bahasa Inggeris; Kenal Pasti Masalah Sebenar

Tidak berniat menghalang usaha mengukuhkan bahasa Inggeris, kami berpandangan DLP tidak akan sesekali menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris. DLP adalah program gagal PPSMI yang dihidupkan semula walaupun KPM telah memutuskan untuk memansuhkannya." "...kami menuntut KPM memberikan penjelasan tentang beberapa perkara berhubung pelaksanaan DLP:

1) Bagaimanakah status pemansuhan PPSMI apabila program DLP mirip PPSMI dilaksanakan? Adakah KPM khianat kepada janji memansuhkan PPSMI?

2) Tiga syarat ditetapkan untuk DLP boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah iaitu sumber yang mencukupi, kesediaan guru dan sokongan daripada ibu bapa. Kami mohon Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dan pasukannya telus dalam mendapatkan maklumbalas pelajar, guru dan ibu bapa dalam rangka lawatan beliau ke sekolah-sekolah. Laporan kajian khas tentang kesediaan guru juga patut dikeluarkan sebelum program ini dilaksanakan tetapi malangnya tiada. Apa penjelasan KPM?

3) Sekarang telahpun masuk pertengahan bulan Februari. Buku-buku teks versi DLP yang baharu masih juga belum diterima oleh sekolah-sekolah. Apakah penjelasan KPM berhubung isu ini?

4) 300 buah sekolah rintis telah dikenalpasti untuk memulakan program ini (termasuk High-Immersive Program - HIP). Menurut KPM, sekolah-sekolah ini dipilih kerana mempunyai pencapaian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada tahap terbaik. Mohon KPM takrifkan "tahap terbaik" itu, dan KPM perlu keluarkan data menunjukkan tahap pencapaian BM dan BI bagi 300 buah sekolah rintis tersebut. Benarkan guru dan pelajar sekolah-sekolah tersebut bersedia? 

Soalan ini pernah kami ajukan kepada KPM. Kali ini kami mohon jawapan. Sejauh mana campur tangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), PADU dan PEMANDU dalam agenda baharu DLP ini? Di manakah prinsip dan hak membuat keputusan oleh KPM dalam isu berkaitan pendidikan anak bangsa? KPM harus berani dan tahu bidang kuasa sendiri." .... Hakikat sebenar bantahan kami bukanlah aspek teknikaliti dan kesedian melaksanakan program, tetapi soal taraf Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan maruahnya di Bumi sendiri. ‪

Read 1027 times
Rate this item
(4 votes)

PMG 16 Dapat Sambutan Hangat

Feb 16, 2016
Hit: 356
Written by
PMG 16 Dapat Sambutan Hangat

SHAH ALAM, 15 FEB: Seramai 191 peserta menyertai Perkampungan Menara Gading Selangor kali ke 16 (PMGS’16) yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini. Penutupan PMGS’16 disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin. Shaharuddin berkata pelajar diharap dapat peka terhadap dunia masa kini yang kian mencabar selain dapat menggarap segala ilmu yang dicurahkan untuk diaplikasi sebaiknya ketika bergelar mahasiswa kelak.Program empat hari itu membabitkan slot menarik iaitu Le Tour De Campus, Eksposis, KonvensyenSiswa, forum, ceramah, motivasi dan juga sesi berkongsi pengalaman.

Read 356 times
Rate this item
(2 votes)
Anjung Rahmat Harus Jadi Refleksi Al-Islam Rahmatun Lil Alamin

Majlis yang telah berlangsung pada 24 Januari 2016, Ahad ini telah dihadiri oleh ahli Wadah-ABIM-PKPIM, para penyumbang PDTW, agensi-agensi, ketua kampung, nazir surau serta penduduk sekitar Desa Makmur, Sg. Merab. Bangunan Anjung Rahmat ini telah dirasmikan oleh Dato' Dr. Siddiq Fadzil selaku Ketua Istisyari Wadah diiringi Presiden Wadah, Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman, Pengerusi JK Pembangunan Wadah, Dr. Ab Halim Muhammad serta AJKP dan JK Pembangunan yang lain. Anjung Rahmat yang telah dibangunkan sejak April 2014 yang lalu, kini telah mula beroperasi dengan menjadi tempat bagi pelbagai aktiviti dan program seperti usrah, induksi, mesyuarat, bual bicara dan sebagainya. Kemudahan inap desa yang turut disediakan menjadi antara faktor Anjung menjadi pilihan pelbagai program yang memerlukan peserta bermalam. Bagi yang ingin menggunakan khidmat kemudahan dan inap desa Anjung Rahmat , boleh berurusan terus dengan saudara Khairul Fahmi Helmi Muhammad Al-Fateh / Haziq Halimi MrHaziq Mohd Halimi / 03-8920 2142 (Wadah Pusat) atau emel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Read 943 times
Rate this item
(0 votes)
SALWA Wadah Lancarkan Bangunan Sekretariat Baru

16 Januari 2016, Ipon:- Tahniah SALWA Negeri Perak atas perasmian sekretariat yang baru. Semoga dakwah terus subur di bumi Darul Ridzwan. Majlis Perasmian Sekretariat Salwa Wadah Negeri Perak telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr Nur Izura Uzir, Naib Presiden Wadah (Ketua Salwa) 10.00 pagi tadi di Ampang Ipoh.

 
Read 566 times
Rate this item
(0 votes)
Program Cahaya Iman Semarakkan Dakwah Di Terengganu

10 November 2015, Tok Jiring:- Kesatuan Pelajar Islam Terengganu (KEPITAR) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), cawangan Terengganu telah mengadakan satu program bersempena musim cuti persekolahan iaitu Program Cahaya Iman 2015 bertempat di Kompleks Dar Al-hikmah, Tok Jiring, Kuala Terengganu, Terengganu.

Program menekankan pembinaan jatidiri  di kalangan peserta berasaskan kepada pengukuhan serta penghayatan Tauhid. Pengukuhan dan penghayatan itu diterjemahkan menerusi beberapa modul yang dilaksanakan sepanjang program ini. Program ini telah dirasmikan oleh Naib Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Shamsuddin.

Alhamdulillah. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 60 orang. Ada di antara peserta yang datang dari jauh seperti Kuantan. Program ini merupakan rentetan usaha dakwah yang digerakkan oleh Kesatuan Pelajar Islam Terengganu (KEPITAR).     

Antara usaha dakwah yang turut digerakkan oleh KEPITAR sepanjang tahun 2015 ialah:- Nadwah Kepimpinan pada 5-7 Mac 2015 bertempat di Masjid Sultan Ismail, Chendering Kuala Terengganu. Terdahulu KEPITAR turut menganjurkan Kem Remaja Ibadah & Sahsiah bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Jerteh, Terengganu pada 6 & 7 Februari 2015. Program-program tersebut diabadikan menerusi video-video berikut:- 

Read 838 times
Rate this item
(0 votes)
Keruntuhan Integriti: Peranan Gerakan Islam: Dato' Dr Siddiq Fadzil

KERUNTUHAN INTEGRITI: PERANAN GERAKAN ISLAH (Memahami pesan islahi dalam surah Hud)

Mukadimah

Risalah para rasul sepanjang sejarah semuanya berpaksi pada tauhid (mengesakan Allah) dengan segala implikasinya. Kerana itu Dr. Taha Jabir al-Elwaniy dalam gagasan maqasid al-shari`ah-nya (al-maqasid al-`ulya al-hakimah) meletakkan tawhid sebagai objektif utama syari`at, di samping tazkiyah (penyucian jiwa manusia) dan `umran (pentamadunan bumi/alam). Maqasid al-shari`ah (objektif utama syari`at) pada hakikatnya adalah nilai-nilai universal yang terumus pada satu kata: maslahah dalam pengertian pemeliharaan dan pengembangan kepentingan dan manfaat umat keseluruhannya (masalih al-`ibad).

Untuk merealisasikan objektif maslahah, diperlukan penampilan manusia yang salih dan muslih (manusia yang baik dan mampu memperbaiki yang lain). Lawan bagi kata maslahah ialah mafsadah (kerosakan). Sejarah manusia banyak diwarnai perlawanan antara al-muslihun (pejuang maslahah/islahumat keseluruhannya) berhadapan dengan al-mufsidun (pelaku mafsadah/fasad)yang menindas dan mengeksploitasi massa rakyat semata-mata demi kepentingan diri.

Petikan ayat-ayat dari surah Hud memberikan pemerian tentang perlawanan Nabi Shu`ayb `a.s. terhadap gejala fasad dalam kehidupan masyarakat zamannya, khususnya al-fasad al-iqtisadiy (kerosakan di ranah ekonomi) akibat keruntuhan integriti moral warga Madyan, terutama para elit ekonominya.

Sifat materialistik, tamak, rakus dan mementingkan diri telah menjadikan mereka “binatang-binatang ekonomi” yang berleluasa mengeksploitasi rakyat kecil menerusi pelbagai bentuk penindasan, penipuan dan pengkhianatan urus-niaga. Agenda islah Nabi Shu`ayb `a.s. bertolak dari pembangunan `aqidah (tawhid) yang berlanjut pada penegakan nilai amanah dan keadilan dalam kehidupan sosial umat, khususnya dalam bidang ekonomi. Perjuangan islahi Nabi Shu`ayb `a.s. melawan kebejatan perilaku bisnes warga kota Madyan seharusnya dapat memugar semangat dan komitmen islahi, dan seterusnya mengilhami penggagasan sebuah model ekonomi berasaskan iman (faith-based), berteraskan nilai integriti (the economics of integrity).

Huraian Maksud Ayat-ayat Petikan ayat-ayat di atas merakamkan dialog nabi Shu`ayb `a.s. dengan kaumnya tentang islah keagamaan dan kemasyarakatan di tengah umat yang mengalami kesesatan `aqidah dan keruntuhan integriti moral. Formula islah yang ditawarkan dan diperjuangkan oleh nabi Allah tersebut berpaksi pada ajaran tawhid sebagai pandangan sarwa (worldview) yang menjadi asas cara hidup keseluruhannya - sistem nilai dan hukum-hakam dalam segala ranah kehidupan: agama, politik, ekonomi dan sosial.

Tawhid dalam pengertian yang setepat dan setulennya memang membawa implikasi dalam realiti kehidupan di segala bidang, termasuk kehidupan muamalat materi duniawi sehari-hari. Ayat 84 (...sembahlah Allah, tiada Tuhan bagimu selain Dia, ....) mengangkat prinsip tawhid yang dihubungkan langsung dengan nilai integriti - amanah dan keadilan - dalam transaksi bisnes dan segala urusan muamalat (...dan janganlah kamu mengurangi takaran dan timbangan, ...).

Madyan adalah kota bisnes yang terletak di tengah jalur perdagangan utara-selatan (Sham dan Hijaz). Kedudukan strategik tersebut memang menguntungkan warga kota Madyan, terutama dari segi ekonomi. Tetapi dari sisi lain, kedudukan tersebut juga telah membuka kesempatan kepada mereka untuk melakukan kesewenang-wenangan - menipu, menindas, memeras dan mengeksploitasi; malah merompak kafilah-kafilah perdagangan yang melintasi daerah tersebut.

Madyan benar-benar telah menjadi kota “syurga” penipu dan perompak yang kejam. Krisis integriti ternyata bukan hanya suatu isu masa lalu, dan bukan juga suatu gejala lokal, tetapi masih mewabak di mana-mana hingga ke hari ini. Penipuan tidak hanya dilakukan secara individu oleh pedagang-pedagang kelas ikan bilis, tetapi dilakukan juga oleh golongan profesional, dan lebih dahsyat lagi ia dilakukan oleh syarikat-syarikat gergasi multi-national corporations; malah banyak juga berlaku sejenis “rompakan terselubung” yang dilakukan oleh negara dan kuasa-kuasa dunia. Untuk menangani krisis integriti sekronik itu, yang diperlukan bukan sekadar kursus business ethics atau suatu akta pencegahan, tetapi suatu gerakan islah berasaskan `aqidah (iman) yang mampu membangkitkan rasa takut kepada hukuman Allah dan keinginan yang meluap-luap untuk mendapatkan keredhaan-Nya.

Hanya iman yang dapat mendisiplinkan dan mengembalikan integriti bangsa yang sudah sedemikian bejat dilanda fasad. Justeru, seperti yang diisyaratkan dalam ayat 84, hanya umat yang beriman yang menyedari erti puas dan redha dengan kemakmuran yang ada (... aku melihat kamu dalam kondisi yang stabil - makmur dan kecukupan...), dan hanya umat yang beriman yang menyedari bahaya hukuman Tuhan, duniawi-ukhrawi, akibat kecurangan dan kezaliman mereka (...tetapi aku khuatir kamu ditimpa siksaan pada hari kiamat). Hanya kekuatan rohaniah keagamaan yang dapat mengawal sifat tamak dan rakus.

Hanya integriti moral berasaskan iman yang dapat memberikan kekuatan mempertahankan prinsip amanah dan keadilan ketika berhadapan dengan pelbagai goda pesona keuntungan (haram), dan ketika berhadapan dengan realiti lingkungan budaya korupsi, apabila orang lain leluasa mengaut keuntungan secara tidak bermoral. Dan hanya iman yang dapat membangkitkan rasa malu melakukan hal-hal yang tidak selayaknya dilakukan oleh orang yang bermaruah.

Andainya warga Madyan itu beriman, tentunya mereka sudah merasa cukup bahagia dengan kemakmuran yang ada, tanpa keperluan melakukan penipuan dan kecurangan. Iman akan memberikan mereka keyakinan bahawa amanah dan keadilan tidak akan menjadikan mereka miskin. Sebaliknya, mereka akan menyedari bahawa budaya curang akan membawa bencana. Seorang penipu akhirnya akan mendapat giliran ditipu.

Demikianlah hakikatnya hukum yang beraku dalam budaya tipu-menipu. Keadaan ini akan menciptakan kehidupan yang tidak selamat. Setiap saat terdedah kepada kemungkinan ditipu. Ayat 85 mengulangi seruan nabi Shu`ayb `a.s. kepada penegakan nilai amanah dan keadilan. Tetapi kali ini tidak dalam bentuk larangan, sebaliknya dalam bentuk suruhan (Dan wahai kaumku, penuhilah takaran dan timbangan dengan adil...).

Gaya pengungkapan bentuk suruhan (memenuhi dan menyempurnakan takaran dan timbangan) mengesankan makna yang lebih positif dan lebih kuat. Kata awfu/ifa’ (memenuhi dan menyempurna) membawa erti bukan sekadar tidak mengurangi, tetapi lebih medorong kepada penambahan.

Gaya pengungkapan sedemikian terasa membawa semangat toleransi, simpati dan peduli. Pesan moral amanah dan keadilan dipertegas lagi dalam ungkapan seterusnya, tetapi cakupannya lebih menyeluruh - tidak hanya pada urusan takar-menakar dan timbang-menimbang barang dagangan, tetapi meliputi segala yang menjadi hak orang lain (...dan janganlah kamu kurangi hak orang lain...).

Pesan ini menuntut sikap jujur dan adil dalam semua urusan yang melibatkan takaran, ukuran, timbangan dan nilaian semua jenis hak - materi dan non-materi, jasmani dan rohani. Justeru, kata ashya’ (jamak kata shayi’) meliputi juga sesuatu yang bersifat abstrak, non-fizikal dan non-material (ghayr al-mahsusat).

Ini bererti tuntutan bersikap jujur dan adil dalam menilai seseorang - wataknya, kemampuannya, ketokohannya, sumbangannya, statusnya dan martabatnya. Kegagalan bersikap jujur dan adil dalam menilai seseorang adalah suatu kezaliman yang mencederai hati dan membenihkan ketegangan dalam kehidupan bermasyarakat.

Justeru, keadilan bererti setiap orang yang berhak mendapat haknya (giving every one his due). Nabi Shu`ayb `a.s. menyimpulkan pesan-pesan islahi-nya dengan larangan menyeluruh yang meliputi segala bentuk perlakuan fasad (...dan janganlah kamu melakukan kerosakan dibumi).

Yang harus ditentang dan dilawan bukan hanya kecurangan ekonomi, tetapi semua bentuk kecurangan - ekonomi, politik, sosial dan seterusnya. Kata mufsidin (pelaku kegiatan fasad) pada hujung ayat tersebut menyiratkan makna kesengajaan dan keleluasaan melakukan fasad. Merasa beruntung dengan melakukan fasad (penipuan dan kecurangan lainnya) adalah suatu perkiraan yang salah.

Keberuntungan yang hakiki adalah pendapatan yang halal dari urus-niaga yang jujur dan adil. Ayat 86 (Baki [yang halal] rezeki dari Allah yang ada padamu lebih baik bagimu...), menegaskan suatu hakikat penting bahawa keuntungan yang diperolehi dari bisnes yang beretika dan berintegriti adalah lebih baik, lebih selamat dan lebih membawa barakah dengan syarat didasari iman (...jika kamu betul-betul beriman,..). Tanpa iman, amal tidak bernilai.

Demikianlah kaitan antara iman (tawhid) dengan persoalan untung-rugi dan baik-buruk kehidupan kini dan nanti. Tetapi persoalan sama ada mereka beriman atau tidak adalah tanggungjawab diri peribadi mereka sendiri. Mereka sendirilah yang berhadapan secara langsung dengan Allah, menanggung segala risiko dari sikap dan perilaku yang mereka pilih, (...Dan aku bukan penjamin [penjaga] tingkah-lakumu). Ertinya, tanggungjawab rasul hanya menyampaikan, bukan memaksa. Ia tidak dibebani tanggungjawab mengawal dan menjaga segala perbuatan mereka, yang terbuka dan tersembunyi.

Melaksanakan kewajipan dan mencari yang halal harus lahir dari pedalaman hati (iman) yang tulus semata-mata kerana Allah, bukan kerana manusia. Demikianlah ayat 86 ini berhujung dengan meletakkan tanggungjawab (beriman dan beramal) di atas bahu setiap individu. Ayat 87 mengungkapkan tindak balas warga Madyan terhadap agenda islah nabi Shu`ayb `a.s. Kedua-dua inti seruan nabi Shu`ayb `a.s. (tawhid dan etika bisnes) ditolak, malah dipersenda. Seruan tawhid mereka tolak dengan kata-kata, “..adakah solatmu (agamamu) menyuruhmu supaya kami meninggalkan sesembahan nenek-moyang kami?...”.

Nabi Shu`ayb `a.s. memang terkenal dengan ketekunannya mengerjakan ibadat (solat), sesuai dengan `aqidah tawhid yang menuntut pengabdian seutuhnya kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa; dan sekali gus menolak shirk dalam segala bentuknya, termasuk penyembahan berhala. Pengertian tawhid seperti itulah yang tidak difahami oleh warga kota Madyan.

Ternyata mereka telah kehilangan daya fikir rasional dan kritis sehingga menjadi sedemikian setia mempertahankan kesesatan dan kebatilan tradisi pusaka nenek-moyang. Seruan etika bisnes (amanah dan keadilan) pula mereka tolak dengan berkata, “...atau melarang kami membelanjakan harta kami sesuka kami?...”. Mereka mempersoalkan apa hubungannya solat (amal keagamaan nabi Shu`ayb `a.s.) dengan praktik jual-beli di pasar?

Mereka tidak mengerti bahawa tawhid (mengesakan Allah) menuntut komitmen mengamalkan syari`at-Nya dalam segala bidang kehidupan, termasuk kehidupan muamalat bisnes dan kegiatan perekonomian lainnya. Kerana itu mereka menolak campur tangan agama dalam urusan kehidupan ekonomi. Membawa-bawa agama ke dalam kancah kehidupan bererti menyekat kebebasan berekonomi. Mereka mahu bebas mengendalikan harta-benda mereka untuk kepentingan diri mereka sendiri. Kerana menjaga vested interest mereka menolak syari`at yang menghendaki mereka membayar zakat dan menginfaqkan harta untuk kebajikan. Mereka tidak dapat menerima ajaran bahawa halal yang sedikit lebih baik daripada haram yang banyak.

Bagi mereka ajaran agama yang sedemikian itu bertentangan dengan dasar pertumbuhan ekonomi. Apa pun alasannya, yang jelas mereka adalah orang-orang yang tidak rasional, tertutup dan fanatik terhadap tradisi sesat; dan mereka juga adalah orang-orang yang rakus dan serakah sehingga tidak mempedulikan hukum halal-haram. Sanggahan mereka ternyata sangat dangkal, dan kerana tidak mampu berhujah dengan ilmu dan akal sihat, lalu mereka bertindak biadab, mengejek dan mempersendanabi utusan Allah, “...sebenarnya kamu orang yang penyantun dan arif.” Kata-kata tersebut sebenarnya bermaksud sebaliknya, bahawa Nabi Shu`ayb `a.s. itu orang bodoh, dangkal dan jahil.

Nabi Shu`ayb `a.s. menanggapi reaksi kaumnya dengan tenang, santun dan penuh yakin sebagai nabi yang mendapat petunjuk Ilahi, (...Wahai kaumku, tidakkah kamu tahu bahawa Allah telah memberi petunjuk kepadaku, dan Dia memberi rezeki yang baik kepadaku...). Demikianlah penampilan seorang nabi yang dikurniai petunjuk Ilahi, yakin dan percaya diri, hujahnya kuat, keterangannya jelas. Di hadapan khalayak kaumnya, Shu`ayb `a.s. memperlihatkan keteguhan sikapnya dan keyakinan dirinya sebagai seorang yang telah menerima anugerah nubuwwah dan hikmah serta rezeki yang halal secukupnya tanpa melakukan penipuan dan kecurangan.

Dengan mematuhi prinsip amanah dan keadilan dalam bermuamalat jual-beli, ia masih mendapat keuntungan (halal) secukupnya. Shu`ayb `a.s. adalah pendakwah dan juru islah yang mempraktikkan apa yang didakwahkannya (...Aku tidak membenarkan [diriku melakukan] yang aku larang kamu melakukannya...).

Ia bukan jenis pemimpin hipokrit yang “cakap tak serupa bikin”, berperi-peri melarang orang, tetapi dia sendiri melakukannya dalam sembunyi; pura-pura menyantun, diam-diam menyamun; pura-pura membela, tahu-tahu memperkosa. Setelah kaumnya memberikan reaksi sedemikian rupa itulah Shu`ayb `a.s. mendeklarasikan komitmen islahinya yang kemudian diabadikan sebagai misi para da`i dan pejuang islah sepanjang zaman, “...Aku hanya menghendaki pembaikan [islah] semampuku. Aku hanya mengharap pertolongan Allah. Kepada-Nya aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya pula aku kembali.”

Objektif gerakan islah adalah murni, semata-mata demi kebaikan umat keseluruhannya; meskipun ada pihak yang merasakan bahawa tawhid dan integriti moral bererti hilangnya kepentingan peribadi dan terlepasnya kesempatan mengaut mengaut keuntungan. Hakikatnya, yang hilang dan terlepas adalah pendapatan yang kotor dan jijik, untuk digantikan dengan pendapatan yang besih dan halal serta kehidupan sosial kemanusiaan yang harmonis, bahagia dalam semangat saling peduli, mesra tanpa dendam dan permusuhan. Shu`ayb `a.s. menyatakan komitmennya untuk memperjuangkan agenda islah dengan kekuatan dan keupayaan semaksimumnya. Kata “ma ‘stata`tu” dalam ayat tersebut membawa maksud kerja kuat hingga ke hujung batas keupayaan.

Tuhan akan menolong kerja kuat yang didasari ketulusan niat. Hanya kepada-Nya para pejuang (al-muslihun) berserah dan bergantung, kerana hanya Dia satu-satunya kekuatan penentu kejayaan. Dan akhirnya kepada-Nya jua semua harus kembali bersama amal perjuangan yang diniatkan hanya untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Islah adalah salah satu tema besar surah Hud. Persoalan islah disebut berulang kali di pelbagai tempat, termasuk di ayat 117, “Tuhanmu tidak akan membinasakan negeri tanpa sebab (secara zalim) selagi penduduknya berbuat kebaikan.”.

Ayat ini mengungkapkan sunnatu ‘Llah dalam penentuan untung nasib bangsa. Tuhanlah yang menentukan jatuh dan bangun sesuatu bangsa mengikut sunnah-Nya yang tidak pernah dan tidak akan pernah berubah. Kehancuran sesuatu bangsa selamanya bersebab, kerana Tuhan tidak menghukum secara zalim. Serosak mana pun keadaan keadaan sesuatu bangsa, mereka tidak akan dihancurkan selagi masih ada gerakan islah yang komited memperbaikinya.

Mengenai kata “zulmin” dalam ayat tersebut, Abdullah Yusuf Ali memberikan catatan, “There are different shades of interpretation for this verse. I follow Baidhawi in construing zulmin here as ‘a single wrong’. He thinks that the wrong referred to is shirk, or polytheism: God will not destroy for mere wrong belief if the conduct is right. I incline to interpret in more general terms ... He is too Merciful to destroy for a single wrong, if there is any hope of reclaiming the wrong-doers to repentance and amendment or right life. An alternative interpretation is: to destroy communities unjustly.”

Memang terdapat kalangan mufassirin yang memaknai kata “zulmin” dalam ayat tersebut sebagai syirik. Ertinya, biar sesuatu bangsa itu melakukan syirik bentuk apa pun, mereka tidak dihancurkan selama warganya masih melaksanakan prinsip dan nilai islah (amanah dan keadilan) dalam muamalat kehidupan sosial. Kehancuran bangsa akan berlaku apabila tatanan moral masyarakat ditonggang-langgangkan, lalu berleluasalah kezaliman dan penganiayaan tanpa pencegahan yang berkesan.

Dari ayat inilah terumusnya hukum sejarah: sesuatu bangsa boleh bertahan dengan kekafiran, tetapi tidak akan dapat bertahan dengan kezaliman, ان الامم تبقى مع الكفر، ولا تبقى مع الظلم Demikianlah kritikalnya peranan al-muslihun (para pejuang islah) dalam menentukan survival bangsa. Mereka tidak hanya melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan, tetapi juga menyelamatkan bangsa dari bencana kemurkaan-Nya.

Untuk melaksanakan misi islah, golongan al-muslihun harus berhadapan dengan golongan al-mufsidun (kelompok pelaku fasad/kerosakan) yang selalu tampil berselindung di balik retorik dan slogan islah. Ayat 11 dan 12 surah al-Baqarah mendedahkan tipu daya kaum al-mufsidun mengabui mata rakyat massa. Mereka membungkus fasad dalam kemasan islah, menyebar mafsadah yang diberi label maslahah.

Pengajaran Bagi Aktivis Islah Ayat 88 surah Hud di atas harus selamanya menjadi landasan komitmen perjuangan islahi mentauhidkan Allah, mengislahkan manusia, mengimarahkan bumi. Krisis integriti yang melanda seluruh lapisan umat ketika ini harus ditangani menerusi gerakan islah keagamaan dan kemasyarakatan yang menyeluruh. Gejala fasad yang meratai segenap sektor masyarakat ketika ini tidak kurang seriusnya berbanding kerosakan masyarakat zaman Ibn Taymiyyah (abad 7-8H), suasana serba fasad yang mendorong Shaykh al-Islam tersebut menulis kitab: السياسة الشرعية في اصلاح الراعى والرعية Judul kitab tersebut cukup jelas memberikan isyarat fasad yang melanda umat - penguasa dan rakyat. Yang memerintah dan yang diperintah sama rosaknya sehingga tidak ada pilihan selain mengislah kedua-duanya - al-ra`iy (pemerintah) dan al-ra`iyyah (rakyat).

Kedua-duanya sama-sama melakukan kezaliman seperti yang diungkapkannya: وكثيرا ما يقع الظلم من الولاة والرعية ،هؤلاء يا خذون ما لا يحل ،وهؤلاء يمنعون ما يجب ، ... Demikianlah sebahagian daripada kebobrokan yang menggejala dalam kehidupan umat, dahulu dan sekarang. Penguasa merompak harta rakyat, sementara rakyat mengelak dari kewajipan infaq. Dalam realiti hari ini, para da`i yang juru islah tidak harus membatasi daerah gerakannya hanya dalam kalangan rakyat massa, tetapi harus menjangkau ke daerah elit politik dan elit ekonomi. Demikian juga isu yang harus ditangani tidak harus dibataskan pada masalah-masalah individu, tetapi menjangkau ke daerah politik, ekonomi dan sosial yang lebih luas, dengan tahap kompetensi keilmuan yang lebih tinggi.

Justeru, gejala fasad yang melanda sudah sampai ke tahap yang cukup parah sehingga telah merosak trias-politika (pemisahan kuasa) yang menjadi teras tatanan kenegaraan kita. Kehidupan ekonomi rakyat telah semakin memprihatinkan akibat keruntuhan tatakelola yang baik, keruntuhan integriti, mewabaknya rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Gemblengan kekuatan dakwah dan islah sebenarnya dapat menjelmakan gerakan moral yang mampu menciptakan perubahan. Untuk menjadikan dakwah dan islah sebagai kekuatan perubahan, perlu ada usaha yang jujur dan serius untuk meningkatkan kompetensi para da`i, di samping usaha korektif memperbaiki sikap dan perilaku para aktivis dakwah dan islah.

Paparan kisah penampilan Nabi Shu`ayb `a.s. dalam surah Hud di atas seharusnya menyedarkan kita tentang bagaimana sebaiknya menyikapi umat, yang bagaimana sekalipun sikap mereka, hubungan persaudaraan harus tetap dipelihara. Kata “akhahum” (saudara mereka) pada ayat 84 perlu direnung dan dihayati. Demikian juga kata “ya qawmi” (wahai kaumku) yang diucapkan oleh Nabi Shu`ayb `a.s. ketika menyapa kaumnya yang jelas-jelas menolak seruannya, perlu diteladani dalam melayani umat sebangsa.Sesungguhnya dakwah dan islah adalah amanah suci Ilahi yang harus sentiasa dipelihara dari sebarang pencemaran. Ia bukan medan mencari populariti dan glamour peribadi, bukan pentas peragaan diri para selebriti, dan bukan juga gelanggang persaingan pengaruh antara mashayikh.

Read 817 times
Rate this item
(0 votes)
Tamrin Nisa 2015:- Mandiri Bila Sendiri, Perkasa Bila Bersama

22 November 2015:- Tamrin Nisa' PKPIM 2015 telah melabuhkan tirainya pada Ahad Lalu. Sessi Tamrin Nisa 2015 ini merupakan sinergi antara Hal Ehwal Wanita ABIM (HELWA) serta Hal Ehwal Siswi PKPIM (HEWI) untuk memelihara kelestarian perjuangan dari alam mahasiswi ke kancah aktivisme HELWA. Beberapa orang pimpinan HELWA ABIM telah tampil mengisi slot serta menjadi master trainer.

Sesi Penutup & Resolusi disampaikan Oleh Puan Norazura Kamarudin Sohami yang merupakan Exco (Kebajikan) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Beliau berpesan agar adik-adik hewi masa kini peka terhadap dunia masa kini yang kian mencabar , selain itu menggarap generasi muda di kampus agar bersama-sama HEWI di peringkat Kebangsaan mahupun kampus untuk memartabatkan agenda wanita islam di Malaysia.

Tamrin Nisa' Kebangsaan adalah anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dibawah Kelolahan Majlis HEWI Kebangsaan yang diterajui oleh Saudari Siti Fatimah Mohd Shahar selaku Naib Presiden (HEWI) PKPIM 15/16. Tamrin ini memupuk para aktivis terutamanya HEWI ( SISWI ) agar boleh menjadi bertanggungjawab mengurus hubungan yang lebih rapat dengan siswi di setiap badan gabungan dengan menekankan hal-hal kebajikan, pendidkan, ekonomi wanita dan politik kampus. Disediakan Oleh :- Hannan Rahim (Wartawan mediabim)

 

Tamrin Nisa' PKPIm 2015 telah melabuhkan tirainya pada Ahad Lalu , Sesi Penutup & Resolusi disampaikan Oleh Puan...

Posted by HELWA ABIM Malaysia on Tuesday, 24 November 2015
Read 486 times
Rate this item
(0 votes)
Page 2 of 4

Berita ABIM

Pembentangan RUU 355:
Angkatan BeIia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak ...
Peserta Young ABIM Camp
Alhamdulillah, Young ABIM Camp (YAC) kembali, dengan konsep santai. Bertemakan ‘Ibrah Seorang ...
Mengapa Pencerahan
Saya merujuk kepada kritikan sesetengah pihak yang mempertikai usaha baik golongan yang membawa ...
Wanita: Permaisuri
Menjadi wanita pada hari ini adalah lebih bertuah berbanding wanita pada zaman jahiliyah. Pada ...
Membugar Al-Fikr al
Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Antara premis penting ...
Setengah Abad Dewan
26hb Februari 2017 (Ahad): Alhamdulilah, bertempat di Kompleks Haji Pondok Gede, Jakarta, Rakernas ...
ABIM Sedia Bantu Atasi
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata peningkatan jumlah orang yang datang ...
Exco Penerangan ABIM
18hb Disember 2016 (Ahad): Alhamdulillah, bersesuaian dengan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang ...

ABIM Negeri

Pembentangan RUU 355:
Angkatan BeIia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak ...
Peserta Young ABIM Camp
Alhamdulillah, Young ABIM Camp (YAC) kembali, dengan konsep santai. Bertemakan ‘Ibrah Seorang ...
Mengapa Pencerahan
Saya merujuk kepada kritikan sesetengah pihak yang mempertikai usaha baik golongan yang membawa ...
Wanita: Permaisuri
Menjadi wanita pada hari ini adalah lebih bertuah berbanding wanita pada zaman jahiliyah. Pada ...
Membugar Al-Fikr al
Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Antara premis penting ...
Setengah Abad Dewan
26hb Februari 2017 (Ahad): Alhamdulilah, bertempat di Kompleks Haji Pondok Gede, Jakarta, Rakernas ...
ABIM Sedia Bantu Atasi
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata peningkatan jumlah orang yang datang ...
Exco Penerangan ABIM
18hb Disember 2016 (Ahad): Alhamdulillah, bersesuaian dengan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang ...