WADAH / PKPIM (51)

LASKAR Latih Penggerak Sosial Di Kalangan Generasi Muda

19hb Februari 2017 (Ahad): Alhamdulillah pada 17-19 Februari 2017 yang lepas, telah berlangsung Latihan Asas Aktivis Masyarakat anjuran bersama PKPIM, ABIM dan juga Active-Fast Centre!.Program dijalankan pada 17-19 Feb 2017 (Jumaat - Ahad). Program ini menggalakkan para peserta terus menyertai aktiviti bermasyarakat, selain mendedahkan bagaimana cara berinteraksi dengan masyarakat yang sebenarnya.Para peserta turut dijelaskan berkenaan kaedah melakukan sosial mapping, selain menyumbang sesuatu kepada masyarakat.Seramai 23 orang ahli PKPIM seluruh negara telah berkumpul untuk didedahkan dan dilatih perihal isu-isu sosial berkisar dalam masyarakat Malaysia sekarang ini.

Read 13 times
Rate this item
(0 votes)
REC Anjur Program Kepimpinan Untuk Pelajar Rohingya

19 Februari 2017, Ahad, Kuantan:- Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman telah merasmikan Majlis penutup Kem Kepimpinan Pelajar REC Kuantan. Kem telah berlangsung selama hampir 3 hari, khusus buat Pengawas serta Ketua-ketua Kelas. Guru-guru telah mengendalikannya dengan bantuan fasilitator ABIM Serta PKPIM Kuantan. REC Kuantan adalah salah satu daripada rangkaian institusi pendidikan khusus yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak Rohingya yang berada di negara ini.  REC turut dibangunkan di  Pulau Pinang serta Klang (Selangor Darul Ehsan).

Read 14 times
Rate this item
(0 votes)
REC Bangunkan Masyarakat Rohingya Dengan Pendidikan

17 November 2016, Klang:- Rohingya Education Centre (REC) Klang telah mengadakan majlis ihtifal untuk menghargai kesungguhan serta dedikasi pelajar-pelajar Rohingya yang belajar di REC. REC merupakan inisiatif yang digerakkan Future Global Network, UNHCR, serta Global Peace Mission, untuk membangunkan masyarakat Rohingya di negara ini menerusi pendidikan. Penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman Majlis yang diadakan pada 17 November 2016 ini bertempat di Dewan Seminar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Tahniah kepada semua pelajar dan guru serta terima kasih kepada hadirin yang memeriahkan majlis ini.

Read 219 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Harus Menjadi Gerakan Hari Ini & Esok!:- Dato' Dr Siddiq Fadzil

Sambutan ulang tahun mungkin dapat dimaknai sebagai membuka khazanah kekayaan. Bagi sebuah gerakan keumatan seperti ABIM, segala peristiwa rebah-bangun 45 tahun di pentas sejarah adalah kekayaan pengalaman yang tidak ternilai. Justeru, pengalaman masa lalu - pahitnya dan manisnya - adalah kekayaan `ibrah dan hikmah, bekal perjalanan mencipta kejayaan masa depan. Demikianlah, andainya sambutan ini didasari al-wa`y al-tarikhiy atau kesedaran yang mendalam tentang erti sejarah.

Kenangan masa lalu bukan sekadar bahan nostalgia yang mengasyikkan, tetapi sebagai panduan mencipta visi dan menentukan destinasi. Tanpa kesedaran, dahulu kita di mana, kita tidak akan tahu, nanti kita akan ke mana, how can you know where you are going, if you don’t know where you have been. Sejarah ABIM bukan sekadar catatan peristiwa routine harian, pejam-celik selama 45 tahun. Sejarah ABIM adalah sejarah kepeloporan dan kepahlawanan.

Menjuarai kebangkitan Islam, yang merupakan babak terpenting sejarah umat sepanjang abad 20, jelas bukan sekadar kegiatan pidato-pidatoan di Speaker’s Corner, tetapi suatu perjuangan serius, sakit perit merentas ranjau, cedera luka menerjang karang. Hanya generasi “anak jantan” yang sanggup mengharunginya.

 

 

Sempena ulang tahun ke-45 ini, kita rakamkan penghargaan setinggi-tingginya dan do`a setulus-tulusnya semoga Allah berkenan menerima amal bakti pahlawan-pahlawan kita, yang berjuang dan berkorban tanpa mengharap sanjungan. Penghargaan dan do`a istimewa untuk wira umat dan pahlawan rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas pimpinannya yang mencerahkan, pengorbanannya yang mengagumkan, daya juang dan daya lawannya yang menginspirasikan. Kepeloporan Anwar Ibrahim dalam sejarah kebangkitan Islam adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan dengan fitnah dan propaganda murah.

Mereka yang cuba memadam sejarah kerana nafsu ingin menonjolkan diri sebagai juara adalah “pahlawan-pahlawan” kesiangan. Akui sahajalah bahawa mereka sudah terlambat, ditinggalkan oleh babak zaman yang telah berlalu. Usaha memperkecil orang besar adalah sia-sia, sebagaimana sia-sianya membesar-besarkan orang yang sebenarnya kecil. Kualiti kepimpinan Anwar Ibrahim menyerlah dan menonjol sejak zaman kesiswaannya dengan kemampuannya membina generasi baru, anak-anak muda yang komited (al-jil al-multazim).

Mereka mengekspresikan diri sebagai: elemen yang sedar dari masyarakatnya, the conscience of the majority, juru bicara umat dan agen perubahan. Demikianlah antara kata-kata inspirasional yang diartikulasikan oleh Anwar Ibrahim dengan sangat mengesankan, lalu dihayati secara kolektif oleh rakan-rakan seangkatannya.

Kata-kata tersebut bukan sekadar cliché, dan bukan juga mantra, tetapi sesungguhnya ia adalah suara hati dan jeritan nurani yang meledak dari pedalaman batin anak bangsa yang diresahkan oleh kebobrokan suasana zaman dan lingkungan. Seperti yang disebut dengan jujur oleh John Funston, sarjana yang menelusuri sejarah pertumbuhan dan perkembangan gerakan dakwah di Malaysia pada paruh kedua abad 20, bahawa, “The movement was started by university students led by Anwar Ibrahim, who later became Deputy Prime Minister.” ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 menjadi wadah strategik gerakan dakwah dan kebangkitan Islam yang merubah lanskap keislaman masyarakat Melayu.

Dengan pantas dan tangkas Anwar Ibrahim membina ABIM sebagai gerakan keislaman-kepemudaan yang besar, kuat dan berwibawa. Teras kekuatannya tidak lain adalah idealisme perjuangannya, integriti moralnya, budaya ilmunya, kepedulian sosialnya dan jaringan globalnya. Memang ABIM mempunyai jaringan di peringkat antarabangsa, dan banyak mempelajari pemikiran dan pengalaman sarjana-sarjana dunia dan tokoh-tokoh gerakan Islam luar negara, tetapi proses pengayaan keintelektualan tersebut dilakukan dengan sikap kritis, selektif dan kreatif.

ABIM bukan tajaan kuasa luar, dan kerana itu ia tidak pernah menjadi replika siapa-siapa, sebaliknya tampil dengan jati diri yang mandiri dan tersendiri. Sebagai gerakan yang lahir dan membesar di “rumah sendiri” (Malaysia), ABIM selamanya mengakar kuat pada realiti kemalaysiaan - sejarah dan budayanya, mengenal lembah dan lurah bumi yang dipijak, mengenal awan dan mega langit yang dijunjung. ABIM tampil pada era menggejalanya the death of idealism, zaman “edan” - gila-gilaan merebut kesempatan di tengah kesempitan, memperkaya diri dan kroni di tengah kesengsaraan rakyat miskin.

Gejala keserakahan sedemikian itulah yang melahirkan ungkapan sinis “yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana”. Demikianlah terungkapnya kata-kata yang menyiratkan kesedaran tentang jurang kaya-miskin yang terus-menerus bertambah luas. Di tengah gejala kesenjangan sosial yang semakin menyolok itulah ABIM bangkit sebagai kekuatan baru pemugar idealisme keadilan sosial, dengan mempromosikan cita-cita al-`adalat al-ijtima`iyyat fi al-Islam (keadilan sosial dalam Islam), mencabar hegemoni pemikiran kapitalistik, dan sekaligus memudarkan pengaruh pemikiran sosialis-marxis.

Idealisme keislaman adalah ciri utama yang mendefinisikan jati diri ke-ABIM-an, idealisme yang tumbuh segar dari al-Qur’an dan al-Sunnah, dua sumber asasi yang sejak awal menjadi paksi tradisi belajar bersama yang disebut usrah. ABIM memang idealis dalam pengertian komited terhadap perjuangan cita-cita murni dan unggul, tetapi ia juga realis dalam pengertian berfikir dan bertindak berasaskan kenyataan data faktual. Kerana itu pulalah, ABIM selamanya konsisten dan tegar mempertahankan prinsip, tetapi luwes dalam taktik dan strategi pendekatannya.

 

Read 227 times
Rate this item
(0 votes)
Warga Wadah-ABIM-SISMA Sabah Tekad Terus Progresif Penuhi Visi Ummatik

27hb Ogos 2016 (Sabtu): Alhamdulillah, Ijtima’ Harakiy ke-3, WADAH-ABIM-SISMA Negeri Sabah, telah dianjurkan dengan cemerlang di Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Likas, Kota Kinabalu. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Pusat diwakili oleh Presiden, Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman, manakala ABIM Pusat diwakili oleh Exco, Saudara Zairudin Hashim. ABIM Sabah mengekalkan Yang Dipertuanya, iaitu Saudara Jaafar Mahmud dalam barisan terbaru pimpinan ABIM Sabah sesi 2016/2017. Tuan Haji Azam menekankan berkenaan perlunya Usrah serta Tamrin diperkasakan, bagi membentuk jiwa gerakan Islam yang lebih jitu. Beliau juga menyeru kepada semua pimpinan serta ahli untuk bangkit bersama semangat serta kekuatan; untuk menjadi Ummat yang dinamik dan progresif. Terdahulu, pada sebelah pagi, Program “Wacana Fiqh Malaysia: Prinsip dan Dinamisme dalam Masyarakat Plural” telah dianjurkan di lokasi yang sama. Wacana ini mengupas berkenaan perlunya Fiqh Islam menyumbang kepada wawasan nasional – pembentukan bangsa Malaysia. Wacana ini merupakan anjuran bersama WADAH Sabah, ABIM Sabah, JAKIM serta CONCERN (Gabungan NGO Islam Sabah). Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah!

Read 206 times
Rate this item
(0 votes)
Pemimpin NGO Dunia Islam Adakan Pertemuan Dengan Reccep Tayyip Erdogan

21 Ogos 2016, Istanbul:- Presiden WADAH, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, bersama-sama pemimpin 65 pertubuhan-pertubuhan NGO Dunia Islam telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan. Tuan Haji Ahmad Azam juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung, Kesatuan NGO-NGO Dunia Islam (UNIW) yang beribu pejabat di Istanbul, Turki, menyertai delegasi yang diketuai Setiausaha Agung UNIW, Ali Kurt, dalam pertemuan yang turut diadakan untuk menzahirkan solidariti buat negara Turki pasca percubaan Kudeta pada 15 Julai lalu.

Berikut adalah nukilan oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman susulan daripada pertemuan tersebut.

"......Turki bertambah Islamik Selepas Kudeta? Begitu perasaanku setelah baru sebulan Turki dilanda krisis dalaman FETO dengan bantuan Barat dalam kes Percubaan Kudeta pada 15 Julai 2016 yang lalu. Dianggap sebagai percubaan Kudeta yang paling ganas dan kejam dalam sejarah Turki, sehingga Presiden Erdogan terpaksa mengisytiharkan Undang-Undang Darurat selama 3 bulan, perasaan bimbang ada juga tika menjejakkan kaki ke Bumi Turki pada 17 Ogos yang lalu.

Namun bila tiba di Lapangan Terbang Ataturk jam 4:00 pagi, kebimbangan tersebut hilang. Kulihat Istanbul yang biasa ku kunjungi saban tahun tampak macam biasa. Seolah-olah tiada Undang-Undang Darurat, tiada Kudeta berdarah yang telah berlaku. Lapangan terbang berfungsi macam biasa. Kawalan keselamatan pun tiada pulak yang ketat. Tidak kelihatan tentera atau polis bersenjata ke hulu-hilir mengawal keselamatan. Memang hebat orang Turki ini.

Letupan bom hampir saban hari di Istanbul, Ankara, Van dan banyak bandar di Timur Turki, namun mereka menghadapinya dengan tabah. Percubaan Kudeta FETO adalah kemuncak perancangan yang cukup hebat dari dalam dan luar untuk menghancurkan Turki. Tiga serangan berlaku serentak hingga sekarang iaitu serangan bom Parti Pekerja Kurdistan atau PKK, serangan berani mati DAESH, dan yang paling tragik serangan FETO.

Namun Turki dibawah kepemimpinan Erdogan nampak terus tabah dengan dokongan rakyat yang semakin kental terhadapnya. Apakah rahsia disebalik ketabahan ini semua ? Apa yang pasti, ku lihat Turki semakin Islamik. Pemuda-pemudi semakin ramai berkunjung ke Masjid atau Cami ( baca Jami').

Masjid baru mula tumbuh dimana-mana. Laungan azan yang berkumandang diseluruh Turki pada 15 Julai mengajak rakyat turun kejalan raya menyelamatkan negara mungkin memberi kesan rohani yang mendalam kepada rakyat Turki. Ramai yang sanggup mengorbankan nyawa berbaring di hadapan kereta kebal bagi menghalangnya dari meneruskan Kudeta. Keberanian ini hanya mungkin datang dari kekuatan dalaman atau kerohanian yang mantap.

Mengikut Said Yavuz, Pemimpin Hayrat Vakfi bertanggungjawab dibidang hubungan antarabangsa merumuskan , " Saya pernah melalui Kudeta pada tahun 80an. Tika Tentera merampas kuasa, semua rakyat ketakutan dan berdiam diri didalam rumah masing-masing. Tapi kali ini amat berlainan, rakyat tidak langsung takut. Seolah-olah ALlah telah mencabut segala ketakutan diri dan digantikan dengan keberanian yang luar biasa." Inilah tafsiran yang paling menasabah baginya.

Ada juga menafsirkan berjuta rakyat Syria, Palestin, Somalia, Mesir,Rohingya yang pernah dan sedang mendapat pembelaan Erdohan berdoa agar Turki selamat dari malapetaka Kudeta. Bukankah doa orang kena zalim itu mustajab. Ada juga yang menafsirkan Hadith Nabi yang bermaksud " ALlah akan menolong hamba-Nya selagi mana hamba tersebut menolong saudaranya yang memerlukan".

Erdogan banyak membantu umat Islam yang tertindas diseluruh dunia. Inilah agaknya pertolongan ALlah yang dijanjikan. Apabila ditanyakan orang Turki, dari wanita dan lelaki, tua dan muda, pemandu teksi, tukang baiki kasut,atau siapa saja yang ditemui. Tanyakan apa pendapat kamu mengenai Erdogan?

Hampir kesemuanya akan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Mudah-mudahan perasaan dan tafsiran ku ini iaitu " Turki tambah Islamik pasca Kudeta" benar-benar suatu kenyataan. Aku yakin, Insya ALlah....."

Read 323 times
Rate this item
(0 votes)
Bagaimana Umat Islam Harus Bersikap Dengan Presiden Reccep Tayyib Erdogan?

Bagaimana umat Islam harus bersikap dengan Presiden Recep Tayyib Erdogan buat masa ini. Pertama, Husnu Zhann atau bersangka baik dengan beliau dulu. Jangan terlalu gopoh dan ingin nampak lebih tahu sedangkan sumber kamu hanya dari Internet dan Media. Media dunia ( Baca Barat) sedang menyerang beliau dengan menggambarkan Erdogan sebagai seorang diktator, hendak kembali menjadi Sultan Uthmaniyyah yang ditakuti mereka, bakal membawa Turki ke zaman gelap, boros dan segala-galanya jelek dan menjijikkan.

Coup d'etat 15 Julai 2016 adalah untuk membunuh Erdogan. Ini sudah terang, apalagi nak bersuluh! Mengapa Erdogan nak dibunuh? Kerana nak kembali kepada Islam. Kerana ekonomi Turki semakin mencabar kekuatan ekonomi Barat. Kerana menyuburkan semangat Ummatik, Biz Bir Ümmetiz, Kita Satu Umat. Pelarian Syria dilindungi, Rohingya dibela, Palestin dibantu, Somalia dibangun antara contoh.

Kerana Turki dibawah Erdogan mempunyai visi untuk kembali menjadi kuasa Islam yang kuat yang tak mudah dibuli dan dihina. Jadi, kalau anda nak kritikal pun biarlah berpada-pada. Jangan sampai menimbulkan kebencian kepada Erdogan sebagaimana yang diingini oleh musuhnya. Memang Erdogan punya kelemahan di sana sini. Beliau membesar di KasimPaşa, pinggiran Istanbul yang sosok penduduknya terkenal sebagai kaki gaduh. Keberanian inilah yang mewarnai kepemimpinan Erdogan. Erdogan bukan maksum.

Tapi carilah kalau ada pemimpin dunia Islam yang berani macam dia. Punya visi macam dia. Membangunkan negara macam dia. Membantu umat Islam tertindas macam dia. Cuba namakan seorang pemimpin kalau ada! Aku doakan Erdogan terus diberi hidayah dan kekuatan oleh ALlah SWT. Inilah sepatutnya orang Islam bersikap dengan Erdogan yang sedang bergelut menyelamatkan Turki dari dihancurkan dari dalam dan dari luar. Aku isytiharkan hari ini 'Aku fanatik dengan Erdogan.' Ini antara intipati yang aku bicarakan semalam di UNISEL.

Laungan Ummati, BIZ BIR ÜMMETIZ, KITA SATU UMAT, WE ARE ONE UMMAH, WAHDAH! WAHDAH! ISLAMIYYAH !

Read 386 times
Rate this item
(0 votes)
Allahyarham Ustaz Abdul Aziz Che Ibrahim Aktif Mengisi Pelbagai Lapangan Dakwah

Allahyarham Ustaz Abdul Aziz Che Ibrahim telah kembali ke rahmatullah pada 11 Julai yang lalu serta telah dikebumikan di Kelantan. Latar belakang pendidikan awal Allahyarham ; beliau adalah lulusan Univ Al Azhar dlm bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab pd tahun 1981 dan Dip Pendudikan Bahasa Arab dari Univ Al Ain, Mesir. Ketika di Mesir beliau telah terlibat dlm jemaah Ikhwan Muslimun di bawah pimpinan Ust Omar Tilmisani, Ust Mustafa Mashur dll. Bapanya juga seorang pengasas dan mudir pondok Ahmadiah pd tahun 1950.

Beliau banyak berguru di Mesir, Makkah, Malaysia dan Indonesia. Antara guru beliau ialah Tuan Haji Mohd Nor Ibrahim, bekas Mufti Kelantan, TG Nik Aziz NikMat, Bekas MB Kelantan, Sheikh Yusof al Qardawi, Sheikh Muhamad Al Ghazali. Antara ulamak-ulamak yg mempengaruhi beliau untuk menyumbang kepada dakwah Islam, menurut pengakuannya ialah Al Maududi dari Pakistan, Sheikh Abul Hasan Al Nadawi, Prof Dr Nohd Nasir, HAMKA, Dr Said Ramadan, Said Hawa dan ramai lagi.

Beliau berkahwin dengan Ustazah Che Minah Che Muhammad ketika masih belajar di Mesir pada tahun 1971 dan di kurniakan enam anak, lima lelaki dan seorang perempuan. Ketika pulang di Malaysia beliau bertugas di RTM dan aktif dalam ABIM sebagai naqib dan YDP ABIM Wilayah Persekutuan. Di sebalik tabir, beliau banyak menerbitkan program soal jawab agama di RTM dan pendakwah bebas. ABIM telah kehilangan seorang murabbi yg berilmu, lembut dlm pendekatan dakwahnya dan beristiqomah dlm komitmen dakwahnta dan amat bersederhana kehidupannya. Semoga Allah SWT mencucuri Rahmat keatas rohnya. Ameen.

Read 274 times
Rate this item
(0 votes)
Ibadah Puasa Bebaskan Insan Dari Belenggu Penghambaan Sesama Manusia:- Ahmad Azam Abdul Rahman

Madrasah Ramadan adalah anugerah ALlah SWT yang terbaik bagi memperbaharui dan meningkatkan hubungan kehambaan dengan ALlah SWT dan mengukuhkan kebaktian dan kasih sayang sesama insan. Era pasca Khilafah Uthmaniyyah yang telah kita lalui hampir satu abad yang lalu diwarnai dengan malapetaka yang bertimpa ke atas umat. Penyakit kejahilan semakin berleluasa, jurang kemiskinan semakin melebar dan perpecahan sesama umat sudah hampir menuju kesempurnaan. Generasi baru pula akibat zaman penjajahan yang berlarutan telah menderita penyakit yang dinamakan oleh seorang pemikir Islam abad 20an, Malek Benabi sebagai 'colonisibilite' iaitu sifat merelakan diri diperhambakan dan berbangga pula dengan status perhambaan tersebut tanpa mahu berusaha untuk memerdekakan diri dan bangsa dengan melakukan perubahan. Menyedari akan hakikat inilah, Maqasid puasa di bulan Ramadan adalah pembebasan dari belenggu hawa nafsu agar sifat kehambaan kembali tuntas hanya kepada ALlah SWT, dan bukannya kepada makhluk ciptaan-Nya, dan kembali berperanan sebagai Khalifah-Nya di mukabumi ini, dan bukannya diperhambakan oleh Sang Penjajah. Mudah-mudahan dalam menyambut kehangatan dan kegembiraan Syawal kali ini, semangat Ummatik dalam pengertian perjuangan membebaskan umat dari belenggu kejahilan, kemiskinan dan perpecahan tadi bakal menyubur ke arah perubahan yang hakiki. Selamat Menyambut Syawal yang mulia. Minal 'Aidin wal Faizin. Ahmad Azam Ab Rahman Presiden Wadah Percerdasan Umat Malaysia

Read 309 times
Rate this item
(0 votes)
Tiada Maqasid Syariah Jika Tiada Maqasid Al-Quran:- Prof. Dato' Dr Siddiq Fadzil

Al-Qur’an diturunkan pada malam Lailatul Qadr, yang kebaikannya menyamai ‘seribu bulan’. Mengikut perbahasan ulama, istilah ‘seribu bulan’ itu bermaksud ‘banyak’, bukan terbatas hanya pada ‘seribu’. Ini menggunakan kaedah. Al-Qur’an membawa mesej transformatif () yang mengkagumkan. Ia dapat mentransformasi suatu masyarakat jahiliah menjadi masyarakat terbaik - Khayra Ummah.

Model masyarakat khayra ummah adalah teladan para Sahabah Rasulullah s.a.w. yang diungkapkan oleh Sayyid Qutb dalam bukunya ma’lim fi al toriq (Petunjuk di Sepanjang Jalan) sebagai al jil ul quraniy il fariid (Generasi al Qur’an yang Unik). Keunggulan generasi Sahabah r.a., sehingga ada ulama mengatakan jika tiada Al-Quran sebagai mukjizat, kewujudan para Sahabah itu sendiri adalah suatu ‘mukjizat’ membuktikan kerasulan Rasulullah s.a.w. ().

Maqasid Penurunan Al-Quran Ini adalah asas kepada Maqasid al Shari’ah. Tiada Maqasid al Shari’ah jika tiada Maqasid Al-Qur’an. Ini pernah diulas oleh banyak pemikir termasuk Al-Ghazali (Jawaher Al-Quran), Rashid Redha (Al-Wahyu Muhammadi), Tahir Ibn ‘Ashur (Tafsir At-Tahreer wat Tanweer), dan Yusuf al Qaradhawi.

Ulama merumuskan bahawa Maqasid al Qur’an bermaksud: “Matlamat-matlamat penurunan bagi mengaktualisasi maslahah manusia atau kebajikan manusia” atau “Islahul Insan”. Manusia perlu diislah kerana mereka adalah pentadbir alam. Al Qur'an diturunkan untuk memperbaiki manusia supaya manusia dapat menguruskan alam dan seisinya sebaik mungkin. Manusia yang terislah akan berbakti kepada keseluruhan manusia tanpa mengira bangsa, agama, atau warna kulit.

Manusia yang telah diislahkan adalah manusia yang berkhidmat kepada manusia seluruhnya disamping mengabdi kepada Allah. Maqasid penciptaan manusia adalah beribadat kepada Allah dan berkhidmat kepada manusia. Misi manusia yang terislah: Beribadah kepada Allah, Islah kepada Makhluk () Surah Ali-Imran ayat 110 menyatakan secara jelas bahawa umat Islam adalah umat terbaik untuk berbakti kepada manusia seluruhnya.

Istilah ‘Khayra Ummah’ seperti ditafsirkan oleh ulama, adalah bermaksud “Sebaik-baik manusia untuk manusia” (). Ini sesuai dengan mesej dan tema Islam sebagai “Rahmat Sekalian Alam”. Ini bermakna manusia perlu merasa selamat berada di kalangan masyarakat Islam. Inilah watak manusia yang telah diislah oleh al-Qur'an.

Maka adalah tidak wajar bagi umat Islam memonopoli atau membolot kebaikan hanya untuk diri mereka sahaja. Misi khayra ummah yang tulen adalah misi kemanusiaan sejagat. Mesej kita adalah misi universal yang merentasi bangsa dan agama. Al marhum Sheikh Taha Jabir Ulwani (rh) mengatakan: Khayra Ummah adalah mereka yang ditampilkan, “dikeluarkan (daripada manusia) untuk mengeluarkan (daripada keburukan, kesesatan, kegelapan) kepada benderang cahaya”. Misi Islah daripada al Qur’an ada beberapa tema:

o Islah Aqidah: Perkara ini yang paling penting dan utama kerana ia akan membentuk pemikiran Tauhidik dan merdeka. Dhikr yang paling awla ialah – la ilaha illallah (tiada tuhan selain Allah - memiliki implikasi besar, pembebasan manusia, hamba kepada Allah bukan kepada apapun selainNya)

o Islah Akhlak Sejarah Tujuan pengkisahan sejarah adalah periwayatan misi para rasul - mengingatkan tentang hari-hari Allah. Sejarah adalah wahana untuk Islah yang sebenar. Maka, untuk berubah, manusia perlu belajar daripada sejarah. Al-Quran memaparkan pelbagai kisah sebagai sejarah yang perlu dipelajari. Peristiwa sejarah diungkapkan sebagai jalan untuk mengislahkan manusia apabila manusia mengambil pengajaran atau ibrah daripada sejarah. Antaranya:

o Kisah Dzulqarnayn melaksana strategi memberdaya kaum manusia yang lemah. Raja yang kuat ini meminta bantuan kaum berkenaan dengan berkata “Bantulah aku dgn kekuatanmu’’, membawa maksud “Kamu tidak lemah, kamu kuat”.

o Kisah Musa a.s. yang melakukan Islah Siyasi dan memberdaya kaum Bani Israel. Penceritaan Nabi Musa dan Bani Isra’il - membina jiwa merdeka Bani Isra’il dengan di bawa mereka keluar bebas daripada penindasan di Mesir.

o Kisah Nabi Sulaiman a.s. dan Ratu Balqis: Nabi Sulaiman a.s. mendengar pandangan Burung Hud-Hud, walaupun baginda adalah raja dan pemimpin yang agung. Burung Hud-Hud yang kecil berani memberikan pendapat, walaupun dia hanyalah seekor burung belatuk. Oleh itu rakyat kecil janganlah diremehkan dan orang besar tidak tahu semua perkara. Ratu Balqis, walaupun seorang wanita, mampu mentadbir dengan baik dan mengamalkan syura bermesyuarat berunding dengan pembesar-pembesarnya, terserlah hikmah di dalam pentadbiran Ratu Balqis. Oleh itu, jangan memperkecil keupayaan seorang wanita untuk memimpin dengan bijaksana sepertimana kisah Ratu Balqis. Kesimpulannya - Jika sejarah gagal difahami, maka kita tidak mampu untuk melangkah ke hadapan. “How can you know where you are going, if you don’t know where you have been”.

..

Read 464 times
Rate this item
(0 votes)
  •  Start 
  •  1 
  •  End 
Page 1 of 4

Berita ABIM

ABIM Sedia Bantu Atasi
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata peningkatan jumlah orang yang datang ...
Exco Penerangan ABIM
18hb Disember 2016 (Ahad): Alhamdulillah, bersesuaian dengan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang ...
Penerangan Cakna Syria
7hb Januari 2017 (Sabtu): Alhamdulillah, semalam Presiden ABIM, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim ...
Aktivis Prota Menyamar
"Bukan dilarang membuat cita-cita yang baru tetapi berfikirlah dengan wajar, yang akan datang itu ...
Mendepani Gelombang
Nukilan Oleh:- Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM 2015 / 2017 There has never been a time of ...
Sukarelawan Muda ABIM
5hb Disember 2016 (Isnin): Alhamdulillah, sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2016 yang disambut ...
Masyarakat Melayu Cocos
5hb Disember 2016 (Isnin): Alhamdulillah, hari ini Sekretariat ABIM Pusat menerima kunjungan hormat ...
Sempena Piala AFF Suzuki
24hb November 2016 (Khamis): Alhamdulillah, telah dijalankan Pelancaran Kempen ...

ABIM Negeri

ABIM Sedia Bantu Atasi
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata peningkatan jumlah orang yang datang ...
Exco Penerangan ABIM
18hb Disember 2016 (Ahad): Alhamdulillah, bersesuaian dengan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang ...
Penerangan Cakna Syria
7hb Januari 2017 (Sabtu): Alhamdulillah, semalam Presiden ABIM, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim ...
Aktivis Prota Menyamar
"Bukan dilarang membuat cita-cita yang baru tetapi berfikirlah dengan wajar, yang akan datang itu ...
Mendepani Gelombang
Nukilan Oleh:- Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM 2015 / 2017 There has never been a time of ...
Sukarelawan Muda ABIM
5hb Disember 2016 (Isnin): Alhamdulillah, sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2016 yang disambut ...
Masyarakat Melayu Cocos
5hb Disember 2016 (Isnin): Alhamdulillah, hari ini Sekretariat ABIM Pusat menerima kunjungan hormat ...
Sempena Piala AFF Suzuki
24hb November 2016 (Khamis): Alhamdulillah, telah dijalankan Pelancaran Kempen ...