Print this page

Agensi ABIM

Published in Agensi ABIM

Di Kem Muhibah, Pelajar Pelbagai Kaum Saling Berkenalan Featured

Dec 16, 2019 Hit: 126 Written by 
Di Kem Muhibah, Pelajar Pelbagai Kaum Saling Berkenalan

Sumber:- Malaysia Kini

Seramai 76 pelajar dari latar belakang pendidikan berbeza, berkumpul di kem yang diadakan dengan tujuan mengatasi rasa kecurigaan kaum.

Program tiga hari itu, dinamakan Kem Muhibah, diadakan di Sekolah Rendah dan Menengah Islam Abim Sungai Ramal di Bangi, Selangor, dan anjuran bersama Dong Zong dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Peserta adalah pelajar sekolah menengah dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun.

Seramai 26 peserta dari dari sekolah agama, 23 dari sekolah persendirian Cina dan 15 lagi merupakan pelajar sekolah menengah vokasional.

Tidak ketinggalan sembilan pelajar dari sekolah menengah kebangsaan dan seorang dari sekolah antarabangsa.

Ada di kalangan peserta yang mengakui tidak pernah mempunyai rakan dari kaum atau agama yang berbeza kerana latar pendidikan atau persekitaran mereka. Mereka yang memiliki rakan dari kaum atau agama berbeza pula berkata jarang berhubung ekoran sempadan budaya.

Bagaimanapun, di akhir kem itu, setelah menjalani sejumlah modul, peserta meraih pemahaman dan pengetahuan yang lebih baik berkenaan agama dan kaum yang berbeza.

Hanis Naqeebah Hasri, 15, dari Sekolah Agama Menengah (SAM) Hulu Langat berkata dia tidak pernah memiliki kawan Cina atau India sehinggalah menyertai kem itu.

Menurut Hanis, semua jirannya adalah orang Melayu.

“Mak saya pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ahli Abim. Dia jumpa hantaran Abim di Facebook (berkenaan kem) dan menyuruh saya ikut serta,” katanya.

"Pada awalnya kekok bila berinteraksi dengan mereka, saya risau sebab takut mereka fikir saya macam menyibuk dan tidak faham saya.

"Saya mudah berkawan cuma di masa awal sukar sedikit (untuk berkawan) terutama dari agama dan kaum lain," katanya lagi.

Hanis juga mengakui apa yang diperkatakan orang tentang kaum lain sebelum ini membimbangkannya.

Bagaimanapun dia mendapati pelajar Cina dan India yang ditemuinya berfikiran terbuka dan mereka bertukar akaun sosial media untuk terus berhubung selepas ini.

“Kami banyak bersembang pasal budaya, agama dan kaum. Ini tuang untuk faham budaya dan etnik lain," katanya lagi.

'Mereka sama seperti kita'

Sementara itu, Aden Tan, pelajar berusia 17 tahun dari sekolah Menengah Hin Hua berkata dia membaca berkenaan kaum dan agama lain menerusi media atas talian.

Tan yang akan menduduki Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tahun depan merasakan Malaysia mungkin bukan negara ideal bagi graduan UEC meneruskan kerjaya mereka.

"Tetapi sejak (kerajaan) berjanji (untuk iktiraf) UEC, saya masih menaruh harapan," katanya.

Tan mengaku bahawa dia mempunyai tanggapan stereotaip terhadap kaum lain.

“Selepas mengikuti kem ini, saya rasa mereka sama seperti kita, Mereka usaha keras seperti kamu dan ada yang usaha lebih keras. Di kem ini pelajar perempuan (Melayu) 15 tahun yang baru sahaja menduduki SPM,” katanya.

Katanya, diskriminasi antara kaum tidak boleh berlaku dan pembahagian berdasarkan kaum hanya memburukkan masalah perpecahan.

“Saya rasa perlu untuk kita rapatkan (jurang) melalui komunikasi untuk atasi rasa curiga. Barulah (perpaduan semua kaum) dapat jadi realiti,” katanya lagi.

Katanya lagi, walaupun dia tidak dapat mengubah persekitaran pembelajaran dan tempat tinggalnya - di sekolah dan dalam komuniti majoriti Cina - dia boleh mengambil inisiatif untuk menyertai lebih banyak program pelbagai kaum seperti kem itu.

Dia juga berkata teruja untuk belajar bahasa Tamil dan Arab di kem itu.

S Yohan, pelajar sekolah vokasional Yayasan Myskills berusia 14 tahun, juga teruja untuk mendapat kawan baru di kem itu.

“Saya boleh cakap Mandarin sebab saya belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Seremban,” katanya.

Yohan dapat bertemu kawan Cina baru yang bertutur dengannya dalam bahasa Mandarin.

Menurutnya, dia jarang membaca berita dan hantaran media sosial serta tidak pernah berdepan sebarang diskriminasi kaum dan agama sebelum ini.

Di kem tiga hari itu, peserta didedahkan dengan konsep kepelbagaian serta bagaimana untuk berbincang berkenaan perkara itu dalam kumpulan, terutama dalam menangani konflik berkaitan dengan agama dan etnik.

Exco Selangor Ng Sze Han yang menghadiri majlis penutup Kem Muhibah semalam, berkata kem seumpama itu dapat membantu mengatasi perasaan salingtidak percaya dan curiga di kalangan rakyat terhadap kaum berbeza.

“Mengambil isu Jawi sebagai contoh, ada dua pandangan berbeza. Orang Melayu rasa tidak ada salahnya untuk masyarakat lain belajar tentang tulisan Jawi manakala orang bukan Melayu melihat ini sebagai proses Islamisasi, "kata Ng.

Katanya, perasaan saling curiga antara kaum merupakan halangan besar untuk 'Malaysia Baru'.

Beliau membidas kalangan ahli politik yang membangkitkan masalah kaum dan menggesa rakyat Malaysia untuk menolak politik seperti itu.

Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata program pelbagai kaum seperti Kem Muhibah ini merupakan kunci bagi rakyat Malaysia untuk lebih memahami kerisauan golongan lain sebelum sesuatu dasar dirangka.

“Kita harus terbuka menerima pelbagai pandangan daripada pelbagai pihak, dan kerunsingan mereka. Paling penting, bagaimana kita capai kesepakatan,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Dong Zong Low Chee Chong berkata program seperti Kem Muhibah perlu diperbanyakkan pada masa akan datang.

“Kita tidak harus cuma bercakap berkenaan ini, kita perlu lakukan lagi,” katanya.

Faisal dan Low bersependapat bahawa mereka perlu terus menganjurkan kem sebegini pada tahun hadapan.

Last modified on Monday, 16 December 2019 08:14
Read 126 times
Rate this item
(0 votes)
DMC Firewall is a Joomla Security extension!