ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Sejarah Taski Dan Pasti: Tiga Fakta Yang Perlu Kita Tahu. Featured

Jul 13, 2020 Hit: 114 Written by 
Sejarah Taski Dan Pasti: Tiga Fakta Yang Perlu Kita Tahu.

 

Oleh: Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim (Pengerusi Yayasan Takmir Pendidikan – YTP)

Saya terbaca satu artikel penulisan daripada seorang sejarawan PAS, yang juga pimpinan PAS Pusat dalam hantaran Facebooknya, berkait tentang PASTI di Malaysia pada 8 Julai 2020. 

Beliau juga ada menambah hantaran FB kemudiannya yang meneruskan fakta yang kurang tepat dan mengelirukan.

Dalam artikel berkenaan, beliau juga turut menyentuh sejarah PASTI yang juga dipetik beberapa kenyataan tentang TASKI ABIM. Malangnya, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak tepat, malah jauh daripada kebenaran sejarah, sedangkan tokoh-tokoh pengasas TASKI dan PASTI masih lagi ada untuk mendapat fakta yang lebih berotoriti.

Terdapat sejarah hitam yang kita tidak mahu ungkit atas faktor persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim, namun, memusingkan dan menipu sejarah adalah suatu kekesalan yang perlu dijawab. Dalam artikel ini, saya fikir, amat perlu dijelaskan tiga perkara persoalan di bawah untuk memperbetulkan maklumat yang telah disebarluaskan oleh beliau, dengan harapan, agar institusi pendidikan kita semua dapat berdiri secara bermaruah dan meneruskan bakti kepada umat, saling melengkapi dengan barakah dan kasih sayang Tuhan.

Ya, saya setuju, bahawa institusi pendidikan Islam bukan untuk bermusuh. Jadi, kita jujur dengan sejarah, dan perbaiki mana yang tak betul.

1. Benarkah wujud persefahaman di antara ABIM dengan PAS ketika 70-an dan 80-an tentang pelaksanaan tadika Islam di Malaysia?

Tidak benar. Tidak wujud sama sekali persefahaman baik secara hitam putih, mahupun secara mutual di antara ABIM dengan PAS berkaitan pelaksanaan institusi pendidikan prasekolah Islam atau tadika Islam. Inisiatif tadika Islam kali pertama disebut dan dijelmakan dalam memorandum ABIM kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 1974 atas kebimbangan masyarakat muslim tentang kebanjiran tadika asing yang beroperasi di sekolah misionari kristian dan di gereja.

ABIM memohon supaya pihak kerajaan menyelaras sukatan pelajaran yang diberikan kepada tadika di seluruh negara agar selaras dengan matlamat pendidikan negara. Memorandum ini diserahkan kepada YB Menteri Pendidikan pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad.

Presiden ABIM pada waktu itu adalah sdr. Anwar Ibrahim. Pada waktu itu, PAS adalah sebahagian daripada komponen kerajaan persekutuan dengan UMNO.

Tanpa menunggu tindakan kerajaan, ABIM terus memberikan solusi kepada umat Islam di Malaysia dengan memulakan model tadika Islam secara rintis pada 1975, dan seterusnya dikembangkan pada 1979 ke seluruh negara dengan jenama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Manakala, institusi pendidikan prasekolah Islam milik PAS, iaitu PASTI hanya diwujudkan pada 1988, manakala institusi prasekolah KPM hanya diwujudkan pada 1992. Seterusnya, kita melihat pelbagai institusi pendidikan prasekolah Islami muncul dalam pelbagai jenama.

2. Benarkah ‘ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi pendidikan prasekolah Islam’ oleh PAS?

Tidak benar. Berdasarkan memorandum pelajaran 1974 yang diserahkan ABIM kepada KPM, ABIM berasa bertanggungjawab untuk memberikan alternatif kepada pendidikan prasekolah yang sedia ada di Malaysia. Selain institusi prasekolah yang digerakkan oleh misionari kristian dan berorientasikan inggeris, kerajaan ada mengelolakan institusi yang dinamakan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS pada 1970.

Namun, tiada institusi pendidikan prasekolah yang bernuansakan pendidikan Islam dan bersepadu sehinggalah ABIM memulakannya pada 1975.

Maka, pada 1975, ABIM telah memulakan inisiatif tadika Islam secara rintis di Melaka, Selangor dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan di seluruh negara secara rasmi pada 1979. Ustaz Niamat Yusuf (Allahyarham), pengasas dan pencetus idea penubuhan TASKI berpendapat, “Saya yakin pendidikan sekular tidak akan sampai ke mana dan tidak dapat menyelesaikan masalah ummah”.

Sesungguhnya, kesedaran untuk menubuhkan institusi pendidikan prasekolah berteraskan Islam timbul sejak awal penubuhan ABIM lagi, iaitu pada 1971.

Justeru, lebih tepat jika dikatakan bahawa asas kewujudan ABIM sendiri adalah untuk terus mengadvokasikan cara hidup Islami dalam masyarakat melalui pelbagai sektor kehidupan, termasuk sektor pendidikan.

Maka, merealisasikan model institusi pendidikan alternatif berwajah Islamik merupakan asas tanggungjawab kewujudan ABIM sendiri. Bagi ABIM, bercakap soal pendidikan merupakan ‘our deepest conviction’ dalam melakukan perubahan pembaikan dalam masyarakat.

3. Bagaimana perkaitan penubuhan PASTI dengan TASKI?

Ini panjang sedikit ceritanya. Saya cuba ringkaskan berdasarkan maklumat dan data yang kita rujuk daripada pendiri TASKI dan pimpinan lepas, yang masih ada lagi. Maksudnya, data ini legit, telah disahkan dan sumber primer dan berotoriti.

Memang ABIM adalah pelopor pendidikan Prasekolah atas jenama TASKI. Sejak 1979, ramai ahli ABIM menubuhkan TASKI di banyak daerah seluruh negara. ABIM ditubuhkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) sejak 1971 dan keahlian terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar politik.

Secara umumnya, memang ada aktivis ABIM yang terlibat sebagai ahli dan aktivis di pelbagai parti politik khususnya di dalam UMNO dan PAS.

Untuk memahami latar pengkisahannya, pada 1974, ketika PAS bergabung dengan UMNO, ramai dalam kalangan ahli PAS berasa tidak berpuas hati dan telah bergiat sebagai aktivis ABIM. ABIM dianggap sebagai pertubuhan yang begitu lantang dalam menyuarakan pandangan Islamnya, yang mana gagal dilakukan PAS ketika dalam kerajaan. Malah, PAS pada ketika itu, lebih bersifat nasionalis berbanding Islamis.

ABIM mengambil tempat PAS sebagai kumpulan pendesak kepada kerajaan atas isu-isu melibatkan umat Islam. Dianggarkan sekitar lapan ribu ahli PAS menyertai ABIM sekitar tahun 1974. Walau bagaimanapun, tidaklah sampai boleh mendakwa sebahagian besar ahli ABIM menyokong PAS.

Pada ketika PAS mengalami peristiwa dikeluarkan daripada parti pemerintah pada 1977 ekoran pergolakan dalaman PAS sendiri, PAS amat memerlukan blood transfusion, iaitu pada era Presidennya Datuk Asri meletakkan jawatan.

ABIM membuat keputusan untuk menghantar tokoh pimpinan utama ABIM seperti Timbalan Presidennya, Fadzil Noor (Allahyarham), Abdul Hadi Awang (Yang DiPertua Terengganu), Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM) dan Nakhaie Ahmad (Naib Presiden) ke dalam PAS dan seterusnya telah mencetuskan semula pengaruh ulama dalam kepimpinan PAS pada 1978.

Dengan kemasukan ulama muda ABIM ini, fikrah perjuangan PAS berubah kepada perjuangan bernuansa gerakan Islam. Kebanyakan daripada mereka dan ahli PAS berkeyakinan bahawa Presiden ABIM, Anwar Ibrahim akan turut menyusul menyertai PAS.

Namun setelah Anwar Ibrahim memasuki UMNO pada 1982, maka ahli ABIM yang pro PAS dan ahli ABIM yang bekas ahli PAS pasca 1977, meninggalkan pula ABIM untuk menyertai PAS semula. Antara kesannya, kawasan yang mana pengaruh PAS sangat kuat, khususnya di negeri Terengganu dan kawasan luar bandar dan pedalaman, institusi TASKI yang digerakkan ahli ABIM yang juga ahli PAS secara beransur-ansur mula mengasosiasikan diri sebagai tadika Islam PAS sebagai tanda protes kepada keputusan ABIM, UMNO dan Anwar Ibrahim.

Proses perbincangan dan penerangan berlaku di lapangan. Namun, amat sukar untuk mendapatkan persefahaman dengan mereka yang kita faham emosi dan psiki sebagai ahli ABIM, pada masa sama juga pengusaha TASKI, yang mana juga bekas ahli PAS yang sertai ABIM ekoran peristiwa 1977, kemudiannya menyertai semula PAS disebabkan marah dengan keputusan muktamar ABIM, keputusan Anwar menyertai UMNO, dan ditambah pula dengan UMNO yang pada waktu itu dilabel sebagai ‘kafir’.

Pihak berkenaan sangat keras dengan menuduh ABIM menjadi macai Anwar dan UMNO sedangkan mereka juga maklum terdapat beza besar di antara pergerakan parti politik UMNO dan PAS, dengan pergerakan NGO seperti ABIM. Pada waktu itu, tindakan Anwar dikeji PAS dengan gelaran seperti 'masuk tong tahi', 'UMNO kafir' dan lain-lain lagi. Malah, ada fatwa yang amat terkenal yang dikenali sebagai ‘amanat Hj Hadi’ yang dipegang oleh PAS pada waktu itu.

Maka, pada 1985, Biro Pendidikan ABIM mengambil keputusan untuk mengeluarkan TASKI Terengganu daripada pengurusan TASKI kebangsaan, kecuali beberapa TASKI di bawah pengurusan Cikgu Harun.

Semua TASKI, termasuk di Terengganu, dari awal penubuhan lagi, adalah bersama-sama pengurusan TASKI kebangsaan, termasuk latihan guru, penggunaan buku teks dan kurikulum.

Namun, setelah 1985, TASKI tersebut diuruskan sendiri oleh Pemuda PAS, di bawah pimpinan Zakaria Dagang, namun mereka masih mengekalkan jenama TASKI , termasuk kurikulum dan buku teks yang sama.

Ini merupakan sejarah pahit dan gelap yang mahu kita lupakan tetapi tidak luput dari memori luka sepanjang penubuhan TASKI. Akhirnya, PAS menubuhkan secara rasmi institusi pendidikan prasekolah mereka dengan jenama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada 1988, yang mana Pengerusi pertama PASTI Malaysia, Abu Bakar Chik (Allahyarham) juga adalah Setiausaha ABIM Terengganu, pengetua Institut Berakan, Terengganu (yang juga institusi pendidikan ABIM) yang menyertai PAS pada 1981.

Read 114 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

ABIM Edar Pelitup Muka
      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat perihatin dengan penguatkuasaan ...
Pulau Pinang adalah
  Pulau Pinang adalah pintu gerbang ketamadunan Islam di Tanah Melayu! Itu adalah kesimpulan ...
Keistimewaan Hari-Hari
  Oleh: Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Saudara muslimku, kita akan bertemu dengan bulan ...
Sejarah Taski Dan Pasti:
  Oleh: Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim (Pengerusi Yayasan Takmir Pendidikan – YTP) ...
ABIM Terus Agih
      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan ribuan ...
ABIM Agih Kelengkapan
  26hb Mac 2020: Alhamdulillah, para petugas Sekretariat ABIM Pusat (SAP) dan Global ...

ABIM Negeri

ABIM Edar Pelitup Muka
      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat perihatin dengan penguatkuasaan ...
Pulau Pinang adalah
  Pulau Pinang adalah pintu gerbang ketamadunan Islam di Tanah Melayu! Itu adalah kesimpulan ...
Keistimewaan Hari-Hari
  Oleh: Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Saudara muslimku, kita akan bertemu dengan bulan ...
Reconversion of Hagia
Sejarah Taski Dan Pasti:
  Oleh: Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim (Pengerusi Yayasan Takmir Pendidikan – YTP) ...
ABIM Terus Agih
      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan ribuan ...
ABIM Agih Kelengkapan
  26hb Mac 2020: Alhamdulillah, para petugas Sekretariat ABIM Pusat (SAP) dan Global ...
Our website is protected by DMC Firewall!