ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Hormati Sensitiviti : Hentikan Provokasi; Tangani Polemik Politik Identiti Di Malaysia. Featured

Dec 03, 2019 Hit: 87 Written by 
Hormati Sensitiviti : Hentikan Provokasi; Tangani Polemik Politik Identiti Di Malaysia.

POLITIK MARUAH

Setahun yang lalu, kita telah mengungkapkan fenomena mewabaknya politik identiti ke seantero dunia. Politik identiti didasari oleh sifat dan tuntutan dalaman setiap insan yang mendambakan pengiktirafan terhadap identiti dan maruah diri dalam masyarakat, membentuk kelompok kecil mereka sendiri berdasarkan naratif pengalaman peribadi sebagai mangsa yang kecewa kepada diskriminasi sistem dan norma budaya masyarakat (Fukuyama, 2018). Paling penting, politik identiti sangat terkait dengan nilai maruah (dignity) diri, bangsa atau kelompok yang amat sarat dengan luapan emosi dan limpahan amarah.

Ece Temerkuran mengungkapkan gejala ini dengan tepat lewat bukunya How to Lose a Country: The Seven Steps from Democracy to Dictatorship                                                                                  

“…They demanded justice and dignity. They demanded that the world realize that a counter-movement is necessary to reverse the global course of events. They showed us that retreats is not the only response to the global loss of hope....”

Ibarat harimau luka, sentimen sebagai mangsa kolektif yang telah dirobek maruahnya ini dikongsi dan diusung secara berjamaah demi menuntut hak dan pengiktirafan sebagai golongan yang dinafikan, dipinggirkan dan dianaktirikan. Kegagalan mendapatkan pengiktirafan identiti, atau penafian terhadap hak berasaskan identiti yang menurut kaca mata mereka selayaknya diterima seringkali mengakibatkan keresahan dan tindak balas yang pelbagai – dari perhimpunan aman sehinggalah membawa kepada perhimpunan jalanan seperti yang kita saksikan berlaku di Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Iraq serta Mesir.

WABAK POLITIK IDENTITI DI MALAYSIA

Negara kita mempunyai latar belakang kemajmukan yang panjang, unik dan tersendiri. Sepertimana yang pernah dihuraikan antara lain oleh Malek Bennabi dan Ali Mazrui, Malaysia berada di rantau Alam Melayu Islam yang seharusnya tampil sebagai jambatan antara peradaban dan suri tauladan terbaik dalam menampilkan Islam dalam hubungannya dengan masyarakat majmuk. Sayangnya fenomena kemajmukan ini sering dimanipulasikan kelompok-kelompok tertentu yang cuba mengheret keunikan identiti ini menjurus ke arah aliran perkauman serta chauvinis yang sempit. 

Walaupun ada yang menanggapi persoalan ini tidak lebih daripada agenda kelompok-kelompok kecil yang dikatakan tidak mempunyai pengaruh meluas ke atas rakyat di akar umbi; sukar untuk kita menafikan hakikat bahawa fabrik sosio-politik dan sosio-ekonomi negara masih berasaskan fragmentasi kelompok perkauman yang kuat.

Pada hemat kami, ini adalah sebahagian trend politik berasaskan identiti dan populism yang jelas semakin mewabak di seluruh dunia. Berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku dalam isu-isu semasa dan sedang menyemarak di Malaysia, ABIM mendapati naratif berasaskan perkauman dan agama terus kekal dimainkan dengan begitu rancak sekali.

Selain menggambarkan bahawa wujudnya ancaman-ancaman yang mencemaskan terhadap hak dan kedaulatan kaum majoriti umat Melayu Islam, politik identiti juga telah menampilkan naratif ‘warga kelas kedua’ dari sekian banyak pecahan kelompok minoriti yang merasakan hak dan identiti mereka dinafikan. Persoalannya; dalam era Malaysia Baharu mengapakah sentimen-sentimen seperti ini masih wujud?

Dapatan yang dikemukakan Ilham Centre serta Penang Institute yang secara asasnya menggambarkan walaupun responden dalam kalangan komuniti Melayu Muslim secara umumnya bersikap terbuka terhadap idea-idea yang bersifat progresif, namun dalam masa yang sama juga responden dalam kalangan komuniti Melayu Muslim tersebut juga dikesani bersikap konservatif terhadap perkara-perkara berkaitan dengan agama. Indikasi yang sama juga dikongsi oleh Merdeka Centre yang turut antara lain mengatakan sentimen ini turut timbul walaupun dalam kalangan responden sama menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia.

Berdasarkan kepada dapatan ini, kita menegaskan bahawa ruang keterbukaan yang ada dalam era Malaysia Baharu perlu dimanfaatkan secara berhikmah. Untuk menanggapi sentimen dalam kelompok Melayu Islam, ABIM menyarankan aplikasi Fiqh Taghyir ataupun Fiqh Perubahan termasuklah perubahan secara tadarruj yakni bertahap harus diambilkira agar setiap usaha untuk melaksanakan reformasi tidak mengundang sebarang mafsadah berupa polemik yang hanya melelahkan dan merugikan. ABIM suka mengingatkan agar pihak berkuasa mengenal pasti keutamaan semasa merangka serta melaksanakan apa-apa dasar khususnya yang akan menyentuh sentimen kelompok Melayu Islam sebagai kelompok majoriti di negara ini.

Kewaspadaan terhadap sentimen politik identiti tidak seharusnya terhad pada kelompok Melayu Islam semata-mata. Setiap aksi pasti menghasilkan reaksi. Kita juga ingin melahirkan kebimbangan kita terhadap eksploitasi isu perkauman yang cuba dimainkan sekelompok kecil pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menuai sokongan daripada kelompok serta etnik lain di negara ini. Sebahagian daripada keresahan yang wujud baik di kalangan kelompok majoriti mahupun minoriti sebenarnya merupakan sebab dan akibat kepada tindakan dan provokasi dari pihak yang berseberangan.

Keghairahan berpolitik menerusi jalur identiti bakal menjadi detik hitam dalam era Malaysia Baharu. Seharusnya perhatian serta segenap usaha ditumpukan secara kolektif untuk mengatasi permasalahan sosio-ekonomi merangkumi komuniti Melayu, Cina, India, serta etnik-etnik lain termasuk golongan bumiputera di Sabah serta Sarawak. Politik berasaskan fragmentasi identiti serta perkauman tertentu mampu melemahkan sebarang potensi yang ada ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Kesetiaan setiap rakyat dan warga negara tanah air ini haruslah dibuktikan bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga tindakan dan curahan pengorbanan dan partiotisme terhadap negara berdaulat ini. Sebarang cakap-cakap berkaitan gerakan pemisahan dan sokongan terhadap anasir propaganda asing haruslah dihentikan serta merta demi keutuhan perpaduan dan keharmonian kaum. Sebagai menghormati sensitiviti kita bersama, hentikanlah tindakan dan aksi provokasi yang menyakiti sahabat sewarganegara kita dari etnik dan kaum yang lain.

Dipetik daripada Ucapan Dasar "Membina Bangsa Malaysia, Mengangkat Maruah Umat", 2019.

Disediakan oleh Jawatankuasa Penerangan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 2019-2021.

 

Last modified on Tuesday, 03 December 2019 10:04
Read 87 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

Malaysia Baharu
Sudah lebih setahun berlalu semenjak tercetusnya detik keramat 9 Mei 2018 yang merobah tampuk ...
 *Meneladani Nabi
   *MENELADANI NABI MUHAMMAD ṢALLALLĀHU ‘ALAYHI WA SALLAM SEBAGAI TERAS MEREALISASIKAN ...

ABIM Negeri

Malaysia Baharu
Sudah lebih setahun berlalu semenjak tercetusnya detik keramat 9 Mei 2018 yang merobah tampuk ...
Apresiasi Naib Presiden
Hormati Sensitiviti :
Solidariti Rakyat
ABIM Kecam Keganasan
Masyarakat Antarabangsa
 *Meneladani Nabi
   *MENELADANI NABI MUHAMMAD ṢALLALLĀHU ‘ALAYHI WA SALLAM SEBAGAI TERAS MEREALISASIKAN ...
Our website is protected by DMC Firewall!