Print this page

ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Bangsa Malaysia & Asas-Asas Kenegaraan : Islam Dan Bahasa Melayu Menerusi Lensa Perlembagaan Persekutuan. Featured

Nov 05, 2019 Hit: 447 Written by 
Bangsa Malaysia & Asas-Asas Kenegaraan : Islam Dan Bahasa Melayu Menerusi Lensa Perlembagaan Persekutuan.

Keterbukaan yang dirintis dalam era Malaysia Baharu perlu diisi untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keterbukaan ini memerlukan keberanian dan kesediaan kita untuk membincangkan perkara-perkara sensitif yang membabitkan asas-asas kenegaraan kita. Kita menegaskan setiap isu berkaitan dengan asas-asas kenegaraan perlu difahami dengan merujuk pada setiap perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan contohnya, seharusnya mengingatkan kita, Islam meletakkan suatu dasar dan panduan Syariat yang terbaik untuk umatnya. Antara maslahat utamanya ialah demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan umat Islam dan manusia seluruhnya melalui persaudaraan dan kasih sayang. Haruslah diingat bahawa untuk hidup dalam keadaan harmoni, ia menuntut warganya saling kenal-mengenali, meraikan perbezaan pendapat dan mengelakkan sentimen perkauman yang boleh membawa kepada perpecahan.                                                                                                                                                                                                                                         

Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta ejen pemersatu masyarakat tidak boleh dikesampingkan. Justeru, ABIM menggesa agar peranan serta usaha memartabatkannya perlu dipergiat serta diperluas bagi mencapai tujuan murni tersebut. Bahasa itu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wahana pengikat sosial, merentas tembok kaum, geografi dan status penduduk.

Kehadirannya sebagai bahasa kesatuan dan pemersatuan sudah berumur lebih tua daripada negara Malaysia itu sendiri. Tanpa perlu mengesampingkan keperluan menguasai bahasa lain, jika seluruh rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai bangsa Malaysia.                                  

Kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang diutarakan dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya menjadikan kita sebagai kelompok eksklusif yang rasis terhadap orang lain. Kedudukan tersebut seharusnya menyedarkan kita bahawa Islam telah mendidik kita untuk menghormati orang lain dengan menjadi bangsa bermaruah.

Islam mendidik kita untuk bangkit menjadi bangsa bermaruah yang sanggup merobah diri dan memiliki daya juang dan kompetensi yang sangat tinggi. Dengan semangat zaman di mana pelbagai ruang telah terbuka menerusi media sosial, umat Islam tidak perlu menghina, meremeh, memperlekeh, mengaibkan ataupun menjatuhkan maruah orang ataupun kaum lain untuk menonjolkan kekuatan diri.

Islam telah membimbing kita dengan akhlak, moral serta etika yang tinggi dan menolak gutter politics sebagai asas kepada pemerintahan manusiawi dengan kefahaman mendalam terhadap konsep ihsan.                                                                                                                                                       
Dalam buku Islam and Good Governance: A Philosophy of Ihsan, Prof. Dr. Muqtedar Khan (2018) telah menyarankan penghayatan ihsan tidaklah hanya terhad di peringkat individu seperti kefahaman kebiasaan antara seseorang individu dengan Allah. Tetapi penghayatan konsep ihsan berlaku secara kolektif meliputi pelbagai peringkat kehidupan termasuk dalam aspek tata kelola serta urus tadbir politik dan ekonomi, yang merupakan dua elemen asas yang memayungi kesejahteraan rakyat.

Bahkan menerusi ajaran Islam, umatnya dipandu dengan penghayatan terhadap konsep karamah insaniah (kemuliaan insan) ataupun human dignity, seharusnya menerajui pembentukan bangsa Malaysia yang bebas daripada kebobrokan amarah perkauman dan chauvinistik yang sempit!

Dipetik daripada Ucapan Dasar ABIM: Membina Bangsa Malaysia, Mengangkat Martabat Umat. 

 

Last modified on Tuesday, 03 December 2019 04:17
Read 447 times
Rate this item
(0 votes)

Latest from editor-media

DMC Firewall is a Joomla Security extension!