Dakwah dengan berhikmah akan dapat lebih diterima dan memperoleh hasil yang maksimum, kerana ia melahirkan cinta dan bukannya kebencian. Tanpa menafikan perlunya kita bersikap tegas jika berlaku usaha memprovokasi atau memperlekeh Islam, kita mesti berusaha mengelakkan perselisihan serta pertengkaran.
Di Kepulauan Nusantara, Wali Songo masyhur sebagai 9 orang pendakwah ulung yang menyebarkan Islam di Tanah Jawa pada abad ke-14. Sebahagian daripada mereka berdakwah dengan menggunakan perantaraan wayang kulit, gamelan dan persilatan, bagi menyesuaikan apa yang ingin disampaikan dengan budaya setempat. Wali Songo telah memberikan teladan berharga, di mana meskipun mempunyai pengetahuan yang luas dan keimanan yang kuat, mereka tidak kekok untuk menyantuni serta berdialog bersama masyarakat yang bukan Islam.
Nilai toleransi, keadilan dan persaudaraan sejagat adalah prinsip yang dianjurkan oleh Islam. Islam bukan hanya menganjurkan umatnya berbuat baik sesama Islam tetapi juga antara bukan Islam. Orang bukan Islam mempunyai hak yang tertentu dan dilindungi selagi tidak memerangi Islam. Berdasarkan Surah al-Hujurat (Ayat 13), dinyatakan bahawa Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik (Surah al-Hujurat: 13). Sahifah Madinah adalah contoh perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama kepada bukan Muslim selagi memberi kesetiaan terhadap perjanjian tersebut. Islam adalah agama yang memartabatkan keadilan kepada semua, selain tidak menafikan hak sesuatu kaum mengikut undang-undang.
Nilai-nilai keislaman dan kemanusiaan perlu dizahirkan tanpa mengira agama dan bangsa. Kerja-kerja kebajikan yang dijalankan dengan ikhlas pastinya akan menjadi inspirasi dan contoh kepada orang lain untuk saling membantu antara sesama manusia. Malangnya, terdapat sesetengah pendakwah di luar sana yang bersemangat mengislamkan para saudara baru (mualaf) tanpa berusaha gigih untuk membantu mereka menghadapi rintangan setelah memeluk Islam. Sedangkan, perkara yang perlu diberikan penekanan adalah untuk menyusun strategi dan langkah seterusnya (follow up) iaitu selepas memeluk Islam. Ada mualaf yang sangat memerlukan bimbingan lanjutan serta bantuan kewangan akibat kos sara hidup yang membebankan. Ada yang disisihkan keluarga serta kenalan rapat, justeru mereka memerlukan sokongan yang kuat daripada semua.
Di negara kita, terdapat lebih 200,000 Orang Asli terdiri daripada tiga masyarakat iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang dipecahkan kepada 18 suku masyarakat. Hak mereka selaku pribumi ke atas tanah dan sumber asli mereka sangat perlu dipelihara serta dipulihkan. Bukan sekadar mengajak mereka menyertai Islam, kita perlu mempertingkatkan usaha bagi memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan (vaksinasi), mendapatkan pendidikan, selain elektrik dan internet untuk membangunkan masyarakat Orang Asli, terutama yang kedudukannya jauh di pedalaman. Usaha memartabatkan masyarakat itu perlu dilakukan secara menyeluruh khususnya tentang isu memartabatkan status pemilikan tanah Orang Asli. Kelestarian ekologi alam sekitar yang menjadi kediaman majoriti masyarakat Orang Asli juga perlu diberi perharian, di mana aktiviti pembalakan, perlombongan serta pembangunan di kawasan hutan perlu dipantau dengan serius jika tidka dihentikan, bagi melindungi komuniti tersebut.
Kerja-kerja dakwah perlu diperluaskan dan bukan hanya berlegar seputar ceramah dan tazkirah. Menyampaikan dakwah secara lisan itu baik, namun menzahirkan dakwah secara amal perbuatan juga sangat penting. Kita perlu keluar daripada kepompong kejumudan dan mengembangkan lagi dakwah menerusi usaha bagi mengembangkan ekonomi serta mengatasi isu kemiskinan serta kemunduran, tanpa mengira apa juga warna kulit golongan yang hendak dibantu. Inilah Islam sebenar yang ditampilkan menerusi tamsilan serta amal perbuatan yang baik, bukan hanya disampaikan menerusi ceramah yang berdegar-degar seumpama mahu membelah bumi.
Sebagaimana kaum Ansar membantu kaum Muhajirin dengan penuh rahmah, kita juga perlu menyemai hubungan harmoni dengan pihak yang hendak dibantu, tanpa ada jurang serta sempadan yang wujud. Sebagai contoh, agensi-agensi kemanusiaan dan dakwah di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) seperti Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia menekankan konsep bantuan susulan serta berterusan. Bantuan yang disampaikan sejak berdekad lalu merangkumi pelbagai lapisan masyarakat, dengan tekad mempamerkan keindahan sebenar Islam.
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam berdakwah, di mana pengalaman 23 tahun menyebarkan kebaikan di Mekah dan Madinah dengan cemerlang menjadi testimoni paling jelas. Sehingga ke hari ini, Islam terus tersebar ke serata dunia, kerana Baginda menekankan aspek dakwah yang mudah, sesuai menurut keadaan serta perkembangan semasa.
Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah SAW, “Permudahkan jangan susah-susahkan, beri berita gembira dan jangan takut-takutkan” (Sahih Bukhari). Saban hari, Rasulullah SAW menyuapi seorang pengemis Yahudi buta yang sering menghina beliau dengan penuh kasih sayang. Selepas kewafatan Baginda, Saidina Abu Bakar as-Siddiq menyuapi pula makanan kepada pengemis itu, namun disedari oleh Yahudi tersebut. Selepas dijelaskan bahawa Rasulullah SAW yang sering dicacinya sendiri adalah orang yang sering manyantuninya, pengemis itu kemudiannya berasa sedih dan hiba, lalu meminta Abu Bakar membantunya untuk memeluk Islam.
Justeru, tidak diragukan lagi bahawa pendekatan hikmah menjadikan dakwah Islam itu lebih mudah diterima. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi membentuk masyarakat yang mempunyai adab serta akal budi yang tinggi, untuk membina ketamadunan yang gemilang. Kepelbagaian adalah satu fitrah, ia tidak boleh diubah dengan memaksa mereka memeluk agama Islam.
Sebaliknya, keinginan seseorang untuk memeluk Islam adalah kerana kesedaran serta hidayah Allah SWT. Di sinilah peranan para pendakwah yang sebenarnya – untuk memberikan penerangan dan bukannya paksaan. Dakwah mesti membumi serta dibaluti rasa hormat, dan tidak bersifat ekslusif. Para pendakwah pula harus menghiasi dirinya dengan sikap santun dan sabar, bijaksana dan arif. Sebelum datang soal hukum dan tuntutan, berilah fokus kepada menegakkan hak serta menyantuni keadilan.