Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Surah Al-Muzammil : Motivasi Dakwah Rasulullah S.A.W Untuk Para Dai'e Featured

Nov 19, 2018 Hit: 154 Written by 
Surah Al-Muzammil : Motivasi Dakwah Rasulullah S.A.W Untuk Para Dai'e

 

Motivasi Di Balik Seruan Ayat 1 Sehingga 5 Surah Al-Muzammil.

اللهم صلى على سيدنا محمد و على أله وصحبه وبارك وسلم

Selawat dan salam buat junjungan tercinta, penghulu para Anbiya dan sekalian para mujaddidin; baginda Ar Rasul Nabi Muhammad SAW

Mewarisi kelanjutan risalah para anbiya’, sebagai dai’e kita harus menginsafi bahawa agenda menjayakan misi Islah dan perubahan hendaklah memenuhi syarat-syaratnya. Kejayaan mengemudi gelombang Nahdah (pembaharuan) dan memartabatkan khayra ummah yang ingin kita gagaskan hendaklah berpangkal dengan kekuatan ruh al-Islamiy dalam jiwa para daié. 

Memang khayra ummah itulah martabat yang selayaknya ditempati oleh umat Islam seperti yang dinyatakan lewat firman Allah SWT;

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.

Sebagai pemegang gelar khayra ummah, umat Islam harus disedarkan dan digerakkan agar menepati martabat dan fungsinya sebagai umat terbaik yang diutus bagi sekalian umat manusia. Dalam konteks ayat ini, huraian Taha Jabir al-Alwani yang diungkapkannya sebagai ummat mukrajah mukrijah begitu relevan untuk difahami. Umat mukhrajah adalah umat yang ditampilkan dengan misi berbakti kepada masyarakat manusia (ukhrijat li al-nas).

Umat ini menjadi ummah mukhrajah kerana hasil usahanya ke arah mencapai syarat khayriyyatul ummah seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas iaitu melaksanakan amar ma‘ruf, mencegah kemungkaran, serta beriman kepada Allah SWT. Penegasan ini adalah selari dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Muhammad ‘Imarah dalam memahami konsep khayriyyatul ummah.

Menurut beliau, keunggulan umat ini ialah keunggulan bersyarat, bukan keunggulan yang diwarisi atau berasal daripada keturunan - khayriyyatul ummah shurūt muktasabah la ‘unsuriyyah mawrūthah. Umat mukhrijah pula adalah umat pembebas manusia dari segala bentuk belenggu musibah yang terliput dalam kata al-zulumat untuk dibawa ke tengah benderang cahaya kebenaran dan keadilan (litukhrija al-nās min al-zulumāt ila al-nūr).

الر ۚ كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji. (Surah Ibrahim: Ayat 1)

Dengan mengambil maknanya daripada pelbagai tafsiran para ulama’, al-Alwani merumuskan bahawa umat mukhrijah membawa maksud umat terbaik yang ditampilkan kepada seluruh manusia untuk memberikan khidmat kepada manusia (li khidmatin naas) dan manfaat kepada manusia (li naf’in naas). Justeru gerakan dakwah harus memainkan peranannya sebagai gerakan ummatik yang diutus untuk memberikan khidmat dan manusia keseluruhannya tanpa mengira warna kulit dan latar bangsa, meliputi ummah al-ijābah dan ummah al da‘wah, yang sedia Islam dan bukan Muslim keseluruhannya.

Ini selari dengan tafsiran Abdullah Yusuf ‘Ali yang merumuskan; “The logical conclusion to a Universal Religion is a non-sectarian, non-racial, non-doctrinal religion, which Islam claims to be. For Islam is just submission to the Will of Allah.” 

Ilmuwan Indonesia, Kuntowijoyo telah menjadikan ayat 110 Surah Ali Imran ini sebagai asas kepada gagasan ‘Ilmu Sosial Profetik’ - sebuah upaya menterjemahkan ajaran Islam dalam aktivisme membangun umat. Menurutnya, umat Islam tidak secara automatik menjadi umat terbaik. 

Selain berusaha memenuhi syarat-syaratnya, umat Islam mestilah bekerja di tengah-tengah manusia (ukhrijat li’l nas), bukan beruzlah mengasingkan diri dari bergelut dengan permasalahan umat.

Maka yang harus menjadi tumpuan aktivisme Islam ialah penjelmaan nilai-nilai Ilahiah yang terkandung di dalam amar ma’ruf nahi mungkar dalam masyarakat.  Justeru menurut Kuntowijoyo, komitmen utama Paradigma Ilmu Sosial Profetik sebagai sebuah gerakan intelektual dan aktivisme ialah Umat - yang meliputi masyarakat, komunitas, rakyat, kaum, bangsa.

Atas semangat itu marilah sama-sama kita menghayati sirah perjuangan Rasulullah S.A.W sebagai ibrah untuk melangkah ke hadapan (dalam jalan dakwah). Kobarkan  iltizam perjuangan yang membara, marilah kita mulakan langkah awal kita dengan tekad untuk membangkitkan dhamir dan ruh al-Islamiy dalam diri menerusi pesan Allah SWT yang terakam dalam Surah al-Muzammil

  يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (۱) قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا (٢) نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا (٣) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا (٤) إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا (٥)

Wahai orang yang berselimut! (1) Bangunlah (sembahyang Tahajjud) pada waktu malam, selain dari sedikit masa (untuk berehat). (2) Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu. (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Qur’an dengan Tartiil. (4) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah-perintah yang berat). (5) (Surah al-Muzammil, Ayat 1-5)

Sesungguhnya inilah jalan yang dilalui oleh junjungan baginda Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wasallam yang kita kasihi dalam mencari kekuatan bagi melaksanakan amanah dakwah yang cukup berat itu, menebarkan kalimah Tauhid membina peradaban manusiawi ke seluruh alam.

Sebagai renungan kita bersama, tulisan ini ingin menitipkan nukilan oleh Syed Qutb, pengarang Tasfir fi Zilal al-Qur’an ketika menghuraikan kesan mendalam seruan kebangkitan dalam Surah al-Muzammil terhadap kegigihan perjuangan baginda Rasulullah Sallalallahu ‘alayhi wasallam.

“Dengan panggilan itu Junjungan mula mengerti bahawa zaman “tidur” sudah berakhir, bahawa Junjungan sedang berhadapan dengan tugas besar dan perjuangan sengit yang panjang, bahawa telah menjelang zaman kebangkitan – zaman hempas-pulas, kerja keras terus-menerus yang tidak akan mengizinkannya untuk tidur lagi. Rasūlu’Llāh s.’a.w. telah menerima perintah “Qum! Bangun!” lantas Junjungan pun segera bangun, dan terus bangun untuk selama lebih dua puluh tahun – berjuang terus-menerus tanpa mengenal rehat. Junjungan bangun dan terus bangun dengan da’wahnya kepada Allah. Dengan gigih dipikulnya beban berat itu di atas bahunya tanpa keluhan, tanpa rintihan. Dengan setia didukungnya beban amanah terbesar di bumi Allāh ini – beban kemanusiaan seluruhnya, beban ‘aqīdah dan seutuhnya, beban jihād dan perjuangan di segala gelanggangnya.”

 

Disediakan oleh Mohamad Raimi Ab Rahim

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Last modified on Wednesday, 21 November 2018 06:52
Read 154 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

Video: Pengenalan Kepada
Kuliah bersiri ini berdasarkan kepada kitab Tadabbur al-Quran. Video ini adalah siri pertama ...
Sukarelawan Masa Hadapan
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2018 (International Volunteers Day) pada tanggal 5 Disember ...
ABIM Terima Anugerah
27hb November 2018 (Selasa) : Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
Sheikh Yusuf
Terdapat pandangan yang mengatakan saranan Abim Pusat ini seolah ingin membawa agenda ICERD melalui ...
ICERD: Mencari Titik
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...

ABIM Negeri

Video: Pengenalan Kepada
Kuliah bersiri ini berdasarkan kepada kitab Tadabbur al-Quran. Video ini adalah siri pertama ...
Sukarelawan Masa Hadapan
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2018 (International Volunteers Day) pada tanggal 5 Disember ...
ABIM Terima Anugerah
27hb November 2018 (Selasa) : Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
Sheikh Yusuf
Terdapat pandangan yang mengatakan saranan Abim Pusat ini seolah ingin membawa agenda ICERD melalui ...
ICERD: Mencari Titik
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...