ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Mendepani Gelombang Revolusi Industri Keempat:- Antara Cabaran & Prospek Featured

Dec 29, 2016 Hit: 902 Written by 
Mendepani Gelombang Revolusi Industri Keempat:- Antara Cabaran & Prospek

Nukilan Oleh:- Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden ABIM 2015 / 2017

There has never been a time of greater promise, or one of greater potential peril.”

(Klaus Schwab, Ketua Pegawai Eksekutif, Forum Ekonomi Dunia).

Revolusi Industri merupakan salah satu elemen terpenting yang merancakkan kemajuan dan mencorakkan landskap dunia moden. Fenomena yang bermula seawal abad ke-18 itu giat menampilkan kelangsungan inovasi penciptaan dan ketangkasan kapitalisme. Namun, ia bukan sahaja membawa impak sosioekonomi rentas benua seperti industrialisasi, urbanisasi dan budaya konsumerisme, malah telah mengakibatkan berleluasanya aktiviti penjajahan dan perhambaan di bawah naungan imperialisme-kolonialisme sebagai warisan terpenting sejarah awal revolusi tersebut.

Forum Ekonomi Dunia telah mengisyaratkan bahawa dunia hari ini berada di ambang Revolusi Industri Keempat, sekaligus merangka satu rancangan besar ataupun Grand Design pada peringkat global untuk memacu arus deras revolusi ini. Revolusi 1.0 menggunakan air dan wap unuk menghasilkan produksi, dan Revolusi 2.0 menggunakan kuasa elektrik bagi produksi massa, sementara revolusi 3.0 menggunakan kuasa elektrik dan teknologi maklumat bagi menghasilkan teknologi automasi.

Revolusi Perindustrian Keempat dikenali melalui sifatnya yang menggabungkan elemen teknologi sehingga menyebabkan kaburnya jurang antara lingkungan fizikal, digital dan biologi. Revolusi ini menandakan kemunculan “sistem fizikal siber” yang melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, dan mesin serta kaedah baharu teknologi. Ia menjadi sebahagian dari masyarakat dan tubuh manusia; suntingan genom, pembentukan kepintaran mesin baharu, bahan perintisan dan pendekatan terhadap tadbir urus yang bergantung pada kaedah kriptografi seperti blok rantaian (Block Chain).

Potensi ini diperkuatkan lagi dengan penemuan teknologi baharu dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan, robotik, ‘Internet of Things’, kenderaan elektrik, pencetakan tiga dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum. Potensi berbilion-bilion manusia yang dihubungkan dengan peranti mudah alih, kuasa pemprosesan, kapasiti penyimpanan dan akses terhadp ilmu pengetahuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, memberikan potensi yang tidak terbatas

Revolusi ini dilihat dapat mengatasi masalah kebergantungan terus kepada sumber tenaga berupa bahan mentah terutamanya petroleum dan gas asli yang kini dilanda krisis global. Namun di sebalik peluang dan manfaat besar perkembangan teknologi terbaru ini kepada kemajuan manusia, revolusi ini ini sepertimana yang diperingatkan oleh Erik Brynjolfson dan Andrew Mc Afee, mempunyai sisi-sisi negatifnya. Revolusi Industri 4.0 secara signifikan akan merubah masa depan dunia pekerjaan serta keseimbangan perolehan dan agihan pendapatan. 

 

Ketika kumpulan tertentu, pelabur, pemegang syer, inovator dan pekerja berkemahiran tinggi mendapat laba terbesar dari arus perubahan revolusioner ini, kelompok yang paling terjejas dari sudut sosioekonomi seperti kehilangan pekerjaan, pengangguran massa dan kemiskinan relatif ialah kelas pertengahan, pekerja berkemahiran rendah-sederhana serta golongan wanita. Walhasil, dampak terpenting gangguan perubahan (disruptive change) yang mengiringi ketangkasan revolusi ini ialah hakikat bahawa jurang ketidaksamaan (inequality) ekonomi sedia ada semakin meluas dan mendalam merentas benua, kelas dan gender.

Dalam dunia hari ini, dan masa depan terdekat, ketidaksamaan telah dikenal pasti sebagai trend global yang utama. Oxfam misalnya, melaporkan bahawa pada 18 Januari 2016, bahawa 64 orang jutawan terkaya di dunia memiliki jumlah aset kekayaan yang bersamaan dengan separuh populasi dunia yang lebih miskin! Sementelahan, Bank Dunia melaporkan bahawa 767 juta orang dari populasi dunia masih terus hidup dalam kebuluran dan kemiskinan dengan pendapatan kurang USD 1.90 sehari.

Petunjuk daripada kajian dan laporan mutakhir institusi-institusi antarabangsa yang mengukur kekayaan dan jurang ketidaksamaan ekonomi seperti Credit Suisse, Bank UBS Switzerland, Forbes dan Forum Ekonomi Dunia sendiri tambah meyakinkan kita terhadap keparahan krisis ketidaksamaan dalam tadbir urus ekonomi global. Hal yang sama turut dikemukakan sebelum ini oleh pakar ekonomi antarabangsa seperti Thomas Piketty dan Joseph Stiglitz.

Di Malaysia sendiri, naratif dan keleluasaan ketidaksamaan sosioekonomi tanah air telah dinyatakan dengan penuh yakin oleh Muhammed Abdul Khalid melalui karyanya The Colour of Inequality (2014). Ketika krisis ketidaksamaan dan kelompok Ekonomi 1% semakin parah dan mewabak, persoalan dasar dan cabaran utama yang menjadi keprihatinan kita ialah penghakisan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan dalam order ekonomi kapitalis yang dominan pada saat ini.

Situasi ekonomi tidak berperikemanusiaan (inhumane economy) dipandu oleh rasa tamak haloba (incessant greed), nilai, prinsip serta polisi yang hilang sifat manusiawinya. Situasi ekonomi tidak berperikemanusiaan (inhumane economy) dipandu oleh rasa tamak haloba (incessant greed), nilai prinsip serta polisi yang hilang sifat manusiawinya.

Keadilan sosial, pengagihan berkeadilan, pembasmian kemiskinan dan yang terpenting; dimensi akhlak jelas semakin tempang, teruntai dan terabai.Yang pasti, pemborosan, rasuah, ketirisan dan monopoli terus berleluasa seiring dengan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar.

Dalam kaitan inilah, wajar sekali kita mengamati kembali peringatan yang disebut oleh Anwar Ibrahim dalam Nahdah Asia bahawa matlamat kegiatan ekonomi tidak lain tidak bukan adalah pembangunan manusia itu sendiri, iaitu manusia mulia menurut pandangan tradisi besar Timur dan Barat, yang dalam Islam diungkapkan sebagai insan salih.

Last modified on Tuesday, 03 January 2017 10:20
Read 902 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

TQKA-17 Di Gua Musang
Alhamdulillah, telah berlangsung Tamrin Qiyadi Kebangsaan ABIM 2017 di Gua Musang, Kelantan pada ...
Budaya Membaca Harus
5hb September 2017 (Selasa): Alhamdulillah, Naib Presiden ABIM, Sdr. Mohd Khairul Anwar Ismail ...
Ekonomi Pesat Tumbuh,
KERAJAAN mengatakan ekonomi bertumbuh lebih daripada 5% untuk suku pertama 2017 dan situasi ini ...
ABIM Perak Komited
1hb Ogos 2017 (Selasa): Alhamdulillah, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz telah ...
ABIM & Komuniti
3hb Ogos 2017 (Khamis): Alhamdulillah, ABIM hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ...
Menelusuri Kisah Maryam
Maryam alaihassalam, adalah seorang perawan solehah yang diangkat pengkisahannya di dalam al-Quran. ...
ABIM Gerakkan Kempen
20 Julai 2017, Kuala Lumpur:- Alhamdulillah, hari ini ABIM meneruskan momentum Kempen ...
Solidariti Untukmu, Ya
Ayahanda Buya Hamka Pernah Berpesan " sebagai umat kalau kita tidak lagi boleh membela Islam lebih ...

ABIM Negeri

Program Pendidikan
Pada 10hb hingga 12hb Ogos 2017 telah diadakan Training Of Trainer DERMAGA di Perbadanan ...
Manifesto Sekolah Masa
12 Oktober 2017, Klang , Selangor Darul Ehsan:- ABIM Selangor telah meluncurkan buku penerbitan ...
Imam Dari Australia
Kursus Intensif Imam: Bermula sejak 18 Julai 2017 sehingga 3 Ogos 2017, Abim Negeri Sembilan telah ...
ABIM Sabah Setia
Pelancaran Sambutan 35 Tahun ABIM Sabah oleh Tim. Pengerusi Syura (WAS) Negeri Sabah, En . Sunoto ...
Street Dakwah Smile ABIM
10 Jun 2017 - Program Sinar Ramadan 1438H ABIM Pahang disemarakkan dengan penganjuran Program SMILE ...