ABIM Pusat

ABIM Akan Anjur Simposium Hari Malaysia 2014

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan menganjurkan Simposium Hari Malaysia 2014, Di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Negeri Sabah. Simposium ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk mengetengahkan besar ke arah memperkukuhkan pembinaan Bangsa Malaysia. Simposium ini akan mengetengahkan para panelis yang berwibawa seperti Dato' Dr Siddiq Fadzil, Prof Madya Dr Saharuddin Badaruddin, Tuan Haji Sainuri Yahmin, Puan Fadhlina Sidek, dan Saudara Kevin TP Lim. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan dijangka akan mengetuai pengumuman Resolusi Simposium Hari Malaysia 2014. Berikut adalah tentatif serta butiran simposium: 

Aturcara Simposium Hari Malaysia 2014

13 September 2014 bersamaan 18 Zulkaedah 1435H

7:30 - 8:30 pagi / am Pendaftaran

8:30 – 9:30 pagi / am Majlis Perasmian Simposium Hari Malaysia 2014

Bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran

Ucapan Aluan Pengerusi Majlis Ucapan Aluan oleh Y. Bhg. Sdr. Jaafar Mahmud (Yang Dipertua ABIM Sabah)

Ucapan Perasmian Simposium Hari Malaysia bersempena Muktamar kali ke 43 ABIM Oleh / by : YB Datuk Haji Tawfik Datuk Haji Abu Bakar Titingan (Menteri Belia dan Sukan Sabah)

9:45 - 10:45 pagi / am Ucaptama Pembinaan Bangsa Malaysia: Konsep, Cabaran dan Kesungguhan Oleh / by : Dato’ Dr Siddiq Fadhil (Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia-WADAH)

10:50 – 11:30 pagi / am Slot 1: Pembinaan Bangsa Malaysia: Peranan Generasi Muda Oleh / by : Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin (UiTM)

11:30 – 12:30 t/hari / pm Forum Panelis: 1) Tn Hj Sainuri Yahmin (Pengerusi Majlis Gabungan NGO Islam Sabah) 2) Puan Fadhlina Sidek (Naib Presiden HELWA ABIM) 3) Sdr. Kevin TP Lim (Presiden MBS)

12:30 – 1:00 t/hari / pm Resolusi & Majlis Penutup Oleh / by : Y. Bhg. Sdra Amidi Abdul Manan (Presiden ABIM) 

Read 1401 times
Rate this item
(0 votes)

Al-Fatihah Buat Ustaz Hashim Yahya

Aug 27, 2014
Hit: 3269
Written by
Al-Fatihah Buat Ustaz Hashim Yahya

27 Ogos 2014:- Al-Fadhil Ustaz Hashim Yahya (Mantan Mufti Wilayah Persekutuan & Manta pimpinan Abim Wilayah Persekutuan) telah kembali ke rahmatullah pada hari ini (Rabu, 27 Ogos 2014). Allahyarham Ustaz juga adalah Suami kepada Ustazah Aminah Zakaria (Mantan Ketua Helwa ABIM), merupakan ulama' yang prolifik sepanjang terbabit dalam pelbagai kegiatan dakwah. Ketegasan beliau dalam mengetengahkan beberapa isu kritikal telah mengundang rasa hormat di kalangan sahabat-sahabat seperjuangan dan anak-anak muridnya. Jejaknya kini diteruskan oleh Dr Ashraf Hashim, salah seorang pakar rujuk syariah dan kewangan Islam. Jenazah telah selamat dikebumikan di Shah Alam pada jam 5.30 petang.

Read 3269 times
Rate this item
(1 Vote)
Kenangan Terindah Bersama Allahyarham Abu Qassim Nor Azmi

Redup mata itu sudah ku renung sejak di Petaling Jaya beberapa tahun lalu. Seingatku tahun 2004 ketika turun malam tautan mesra pengenalan Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS), kuterlihat susuk tubuh Abu menghadiri dengan penuh minat. Aku tak ingat apa yang ku sebutkan pada malam itu tapi yang penting aku ajak mereka berbakti di Negeri Sembilan melalui PPINS dan aku amat ingat dengan renungan anak muda ini. Beliau kemudiannya menerima akad perjuangan ini.

Beliau berminat mengasah bakat beliau dalam kepimpinan dan siyasah sehingga bergandingan dengan saudara Faisal Abdul Aziz memimpin pergerakan pelajar Islam berpengaruh di Malaysia iaitu PKPIM. Ketika di UIA Kuantan sekali sekala beliau menjemput ku berkunjung ke sana menyampaikan latihan dan ceramah. Kusedari sejak itu beliau mempunyai satu masalah yang sama seperti yang kualami, namun biarlah ia menjadi kenangan manis dan rahsia antara ku dan dia. Bakat Abu terserlah sehingga beliau sering kukagumi dengan pidato yang sentiasa bertenaga beliau dan sering tampil bergaya serta kasual.

Dengan gabungan kekuatan pidato, rupa dan penampilan yang kemas menjadikan beliau memiliki pakej impian sebagai pemimpin masa kini. Belia seperti kata-kata Dato' Saifuddin Abdullah merupakan pemimpin masa kini dan masa hadapan. ABIM merupakan gerakan Islam yang paling sedikit pengikut berbanding gerakan Islam yang lain yang ada di Malaysia namun ia amat sinonim melahirkan pemimpin-pemimpin masyarakat yang bertebaran di serata sektor alam.

Aku percaya pada bilangan yang sedikit untuk membuat perubahan sebagaimana keyakinan Dr. Mahmud Rushdan, pimpinan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran Islami (IIIT) yang kutemui di Irbid, Jordan. Dengan membina hanya beberapa karakter anak muda sudah cukup menggegar pentas-pentas penting masyarakat. Abu antara yang diizinkan oleh Allah tergolong dalam bilangan kecil anak muda yang pernah menerima sedikit sentuhan daripadaku.

Beberapa ketika ketika memimpin Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBBNS), aku membawa dan mendedahkan Abu dalam dunia pergerakan belia. Aku masih jelas ketika itu membawa Abu dan Azli (Setiausaha ABIM Rembau) bersama ketika merasmikan Mesyuarat Agung 4B Kawasan Jempol dan Abu sempat memohon izin berbicara dengan petah lagaknya bagaikan sebahagian perwakilan yang sah sedangkan beliau hanyalah pemerhati.

Namun kepetahannya itu dikagumi dan ketika umur itu beliau sudah berani berbicara dengan penuh keyakinan yang mana aku sendiri tidak seberani itu untuk dilakukan di usia yang sama. Sebab itu anak muda dikagumi dengan semangat dan kepemudaannya!. Sheikh Abdullah al-Haddad, Sohib an-Naso'ih ad-Diniyyah wal Wasoya al-Imaniyyah turut menyebut bahawa Allah seolah-olah mengkagumi anak muda yang tidak rosak minda dan akhlaknya.

Ketika Abu muncul semula dalam radar perjuanganku, aku menarik beliau untuk bermula di akar umbi dengan menyertai kepimpinan ABIM di Rembau di mana aku bertindak selaku Naib Yang Dipertua di belakang Yang Dipertua al-Fadhil Ustaz Norazamir Alias(Timbalan Mufti Negeri Sembilan). Kehadiran beliau serba sedikit menajamkan jentera serangan ABIM Rembau yang dibarisi ramai pemain-pemain veteren berpengalaman. Beliau memang berasal dari Rembau.

Selepas memimpin ABIM Pusat selaku Exco, kemuncak karier alumni asuhan SMKA Pedas ini apabila dilantik menjadi Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) dan banyak menyerlahkan potensi beliau ke pentas antarabangsa sehingga sejauh Australia dan Myanmar.Beliau amat bertuah kerana Exco MBM yang berumur di bawah 30 tahun sering dihantar mewakili negara dalam persidangan belia seantero dunia, dan Abu baru sahaja menginjak ke usia 28 tahun.

Kelekaan dan keheninganku membelek buku di kedai buku Popular Nilai jam 8.55 malam dipecahkan dengan kejutan daripada zaujah dengan berita kematian beliau dilanggar lori di Gambang depan Universiti Malaysia Pahang (UMP). 10 Jun yang lalu, ku berada betul betul di perhentian bas yang meragut nyawa Abu ketika turun bas untuk menghadiri ‘talk’ untuk pelajar baru Pusat Asasi UIA di Gambang. Sebagai sebahagian kelemahan manusia, aku tidak menyangka 67 hari selepas itu bakal berlaku di situ satu peristiwa menyayat hati yang melibatkan juniorku di UIA. Sungguh ia sebuah kehilangan untuk umat yang sukar digilap semula.

Aku yakin obor perjuangan Nabi ini akan diteruskan dan berterusan didokong oleh panji-panji anak muda. Akan lahir lebih ramai anak muda seperti Nu’man Muqarrin yang bersemangat menyebut kepada Khalifah Umar al-Khattab selepas dipanggil mengadap, “Jika untuk mengumpulkan cukai, aku menolak. Namun jika untuk jihad fisabilillah, saya bersedia!”. Legasi mu kami teruskan! Al-Fatihah buat adinda Abu Qassim, penyejuk mata ayahbonda. Sadrina, kamu harus bangga bersuamikan pejuang!

Catatan: Jufitri Joha Naib Presiden (Pembangunan Belia Dan Intelektual ABIM).

Read 3027 times
Rate this item
(3 votes)

ABIM Kunjungi Presiden PAS

Aug 11, 2014
Hit: 1888
Written by
ABIM Kunjungi Presiden PAS

8 Ogos 2014, Marang, Terengganu: Presiden ABIM, Amidi Abd Manan, telah menziarahi Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di rumahnya di Rusila, Marang. Ziarah ini diadakan untuk bertanyakan perkembangan kesihatan beliau yang sedang menjalani rawatan jantung. Tuan Guru Haji Abdul Hadi merupakan Mantan Yang Di Pertua ABIM Terengganu sekitar 1970-an.

Read 1888 times
Rate this item
(0 votes)
Jangan Sampai Pidato Jadi Kudis dan Kurap

Barangkali memang kriteria pemimpin mesti mempunyai kebolehan bercakap dan berpidato. Namun demikian, bukan semua pemimpin mampu berpidato dengan baik. Ada yang hanya mampu berpidato musim-musiman iaitu ketika musim pilihanraya sahaja. Selepas itu pidatonya semakin garau, bingit dan akhirnya lesu-bisu.

Ada yang mampu berpidato dalam nada memaki hamun dan menghalau –halau, tidak kurang juga yang mampu berpidato dengan baik, lunak dan menjadi pencetus revolusi. Kata bijak pandai, “If a man wishes to become a great orator, he must first become a student of the great orators who have become before him”. Orator dan pemidato yang baik mesti mempunyai 3 komponen utama di dalam pengucapan atau pidatonya iaitu: stail (gaya), pengisian (substance) dan impak.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa memang terdapat pemidato-pemidato di kalangan pemimpin dunia yang mampu berpidato dengan gaya, substance dan impak. Nama-nama seperti Theodore Roosevelt, Winston Churchill, John F Kennedy, Ronald Reagan, Sukarno, Hamka dan Dr Burhanuddin Al Helmy membarisi barisan pemidato unggul dalam kelas tersendiri. Tidak semua pidato pemimpin ini akhirnya akan meyakinkan rakyat apatah lagi ia pidato dengan senandung lagu yang sama. Jika tidak berkempen dengan aib dan fitnah, ia pastilah taburan janji manis yang semakin memualkan.

Maka teringatlah saya kepada sajak oleh seorang sasterawan terkenal Indonesia, Pak Mustofa Bisri di dalam puisinya, “Jangan Berpidato” [Bisri: 1993]

Jangan Berpidato!

Kata-katamu yang paling bijak

Hanyalah bedak murah yang tak sanggup lagi

Menutupi koreng-borok-kurap-kudis-panu-mu

Peradaban koreng! Hak asasi borok!

Perdamaian kurap! Demokrasi kudis!

Humanisasi panu! Berlagaklah adi siapa peduli

Bangunanmu tinggal cantik di luar

Tinggal menunggu saat ambyar

Puisi ini mengacu kepada kenyataan bahawa penguasa pada saat berpidato seringkali menjanjikan sesuatu. Pada kenyataannya, kata-kata yang dijanjikan tersebut hanya berfungsi seperti bedak iaitu untuk menutupi kekurangan-kekurangan yang ada. Oleh kerana itu, sebaiknya pemimpin tidak berpidato, hal in diekspresikan melalui kalimat “Jangan Berpidato”. Pak Mustafa Bisri juga menggunakan perkataan koreng, borok, kurap, kudis dan panu yang merupakan jenis-jenis penyakit kulit.

Manakala “Peradaban, hak asasi, perdamaian, demokrasi dan humanisasi” merupakan aspek-aspek yang sering dijanjikan dalam pidato penguasa. Aspek-aspek tersebut sebenarnya merupakan aspek-aspek yang manis untuk didengar tetapi kemudian sekaligus menjadi menjijikkan dan memuakkan seperti penyakit kulit. Hal ini disebabkan kata-kata tersebut hanya manis di mulut sahaja tetapi tidak ada perwujudannya.

Pembicaraan yang hanya manis di mulut sahaja menyebabkan sebuah krisis kepercayaan terhadap penguasa, sehingga pidato dan bicara sang penguasa tersebut langsung tidak lagi dipedulikan rakyat. Krisis kepercayaan yang wujud ini akan menyebabkan kemegahan sebuah Negara menjadi luntur dan lambat laun akan runtuh. Maka di saat itu, pidato berapi dan berasap mana pun tidak akan dapat lagi membeli hati dan keyakinan rakyat.

Sayugia ingin saya berpesan bahawa, pidato manis tidak dapat menutup isu rasuah dan moral yang korup. Kempen yang berapi tidak dapat menukarkan persengketaan kaum yang sedang rapuh menjadi harmoni sekiranya setiap hari kempen ini diapi-apikan dengan sentimen perkauman yang mencucuh prasangka. Kata-kata pemimpin tidak boleh bernada rajuk dan mungkir.

Asal merajuk, mulalah rakyat di bawah ini dihalau dan diperkecilkan. Malah kemungkiran janji ini adalah yang paling menakjubkan! Janji hari ini harga tidak naik kerana untung, belum sempat sampai besok, harga dinaikkan kerana sudah ketentuan dan tidak dapat dielakkan. Begitu juga janji untuk melaksanakan agenda demokrasi yang lebih demokratik, menjunjung Perlembagaan Persekutuan untuk menjaga hak dan kepentingan, kemungkiran juga berlaku apabila pemimpin mengamalkan hak asasi terpilih dan gagal mendamaikan kepelbagaian rakyat yang mesti disantuni dan disikapi dengan bijak.

Kegagalan memahami bahasa rakyat dan keperitan hidup rakyat marhaen juga suatu kemungkiran yang sukar dimaafkan. Ucapan, pidato dan bicara pemimpin ini ibarat candu yang didambakan oleh para pendengarnya. Tetapi jika ia hanya pidato basa-basi, tiada siapa yang mahu mendengarnya. Generasi muda juga semakin cerdik dan enggan diperbodohkan. Pidato oleh pembesar yang membaca teks hasil perahan otak orang lain menjadikan pemimpin itu tidak bermaya dan hanya mampu menjadi pembaca teks yang baik. Sampai bila pemimpin akan berpidato tanpa idealisme dan menganggap rakyat akan menerima tanpa kritikan dan berfikir?

Berpidatolah dengan menggunakan bahasa yang difahami rakyat, beraku janjilah dengan janji yang diakhiri dengan Insya Allah, jagalah pertuturan agar bahasa yang digunakan tidak melukakan rakyat, berbahasalah dengan bahasa yang melunakkan dan mendidik rakyat. Sebagaimana kisah Nabi Sulaiman yang sudi mendengar dan mengerti bahasa rakyat semut dan penderitaan rakyat semut. Selamat berpidato kepada semua wakil yang diankat oleh rakyat, tetapi jangan sampai pidato kalian menjadi kudis, panau dan kurap di mata rakyat!

Disediakan Oleh: Fadhlina Siddiq

Read 1546 times
Rate this item
(0 votes)

Semarakkan Agenda World Without Israel

Aug 05, 2014
Hit: 1759
Written by
Semarakkan Agenda World Without Israel

Serangan operasi “Pillar of Defense” selama 8 hari rejim Zionis ke atas Gaza penghujung 2012 berakhir dengan gencatan senjata yang ditaja oleh Presiden Mesir Dr. Morsi. Ini merupakan kemenangan moral kepada rakyat Palestin khususnya Gaza kerana Israel tidak akan bersetuju untuk melakukan gencatan senjata melainkan secara tidak langsung mengakui pihak Hamas mempunyai kekuatan tersendiri.

Penganalis politik antarabangsa seperti Ahmad Azam Abdul Rahman, Pesuruhjaya Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) turut menyifatkan peristiwa Mesir menaja gencatan senjata menunjukkan satu lanskap potitik baru telah muncul di Asia Barat khususnya selepas peristiwa thaurah sya’ab atau kebangkitan rakyat.

Serangan biadap ini berlaku ketika munculnya fajar Muharram seolah-olah rejim Zionis ingin menguji keimanan dan kesabaran umat Islam dan pecinta keamanan di seluruh dunia. Serangan Israel mempunyai beberapa sebab selain menguji kesabaran umat Islam; menguji senjata kimia baru; dan pilihanraya Israel yang semakin hampir, ia bertujuan memerangkap Obama yang baru sahaja memenangi kerusi Presiden Amerika untuk penggal kedua (2012) supaya terus-menerus memberikan perhatian utama dan dokongan kepada rejim Zionis itu.

Walaupun semua Presiden Amerika pro Israel namun darjah kekuatan sokongan berbeza khususnya di antara Obama dan Romney. Romney merupakan kawan lama Netanyahu, Perdana Menteri Israel. Sudah tentu Israel khususnya Netanyahu amat berharap rakannya yang amat pro Israel itu menang dalam Pilihanraya Presiden Amerika baru-baru ini sekaligus mengukuhkan cengkaman sokongan Amerika terhadap agenda Zionis di Asia Barat.

Obama sebaliknya menang khususnya undi Yahudi Amerika walaupun dilaporkan menyebut membenci Netanyahu sebagai si pembohong. Generasi muda Yahudi Amerika menurut Dr. Kevin Barret, pengkritik polisi ‘War on Terror’ Amerika, “…no longer fashionable among young American Jews to care about Israel”. 

Generasi muda Amerika khususnya generasi muda Yahudi sudah menghantar mesej yang jelas kepada dunia dengan menjadi faktor utama kepada kemenangan Obama di samping pengundi wanita, golongan middle class dan etnik Hispanic. Menurut Ahmad Azam Abdul Rahman lagi, lebih merungsingkan rejim Zionis, apabila kebanyakkan calon yang pro Zionis di Amerika dalam pilihanraya Kongres Amerika bersempena Pilihanraya Presiden Amerika baru-baru ini tewas.

Ini juga merupakan satu mesej yang jelas daripada keseluruhan rakyat Amerika bahawa mereka sudah muak dengan agenda Zionis yang banyak memporakperandakan dunia khususnya di Asia Barat. Tambah memeritkan Zionis lagi, masyarakat dunia sudah meluat dengan mereka dengan pelbagai usaha agresif unjuk rasa seperti Freedom Flotila, Viva Palestine, March to Jerusalem, Deir Yassin Remembered dan terbaru sokongan pengiktirafan 138 negara ke atas Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota di PBB.

Satu perkembangan menarik pada 2012 yang lalu melalui analisis orang ternama Yahudi seperti Henry Kissinger dan 16 agensi intelijen Amerika dalam laporan “Preparing for a Post-Israel Middle East” bersetuju bahawa masa depan dunia adalah tanpa kewujudan Israel atau lebih tepat menurut Kissinger yang dipetik The New York Post secara verbatim, “In 10 years, there will be no more Israel”.

Analisis perisikan Amerika itu antara lain menyebut bahawa Parti Pemerintah Likud Israel yang ekstrem itu semakin menjadi jadi menyokong pembiakan petempatan haram Yahudi di atas tanah yang dicuri pada tahun 1967. Dunia tidak boleh menerima kerja haram ini. Selain itu, Israel tidak mampu lagi membendung kebangkitan pejuang pro Palestin pasca Arab Spring dan kebangkitan Islam.

Dengan kejatuhan para diktator di Asia Barat pada ketika itu, menyebabkan kebangkitan kerajaan Arab yang lebih Islamik, demokratik, dan kurang mesra Israel. Analisis tersebut menambah bahawa Kerajaan Amerika tidak lagi mempunyai sumber untuk berterusan mendokong Israel bahkan mengesyorkan supaya Amerika harus fokus kepada agenda nasional mereka dan memutuskan talian hayat dengan Israel.

Analisis yang sudah tidak lagi menyebelahi Israel ini adalah kerana 3 sebab menurut Dr Kevin Barret. Pertama adalah kerana rakyat Amerika yang prihatin hubungan luar negara Amerika termasuk Kissinger dan perisikan Amerika ini sendiri sudah semakin muak dengan sikap berterusan keras kepala dan degil khususnya dalam hubungan isu Israel-Palestin.

Kedua, Lobi Israel yang banyak mendominasi ‘public discourse’ di Amerika khsususnya dalam melindungi kepentingan Israel. Profesor John L. Esposito, pemuka Ilmu daripada Georgetown University ketika menyampaikan syarahan di Malaysia pada Ogos 2008 menyebut..”…a strong lobby group for example AIPAC (American Israeli Public Affairs Committee), will not to see other lobbies step out in front and be strong”.

Mungkin dominasi sebegini meningkatkan lagi kebencian dan kemuakan di samping lobi-lobi mereka yang mengheret Amerika ke kancah perang Afghanistan, Iraq dan terbaru cuba mengheret Amerika untuk menyerang Iran bagi memastikan sekuriti Israel terjamin. Ketiga, seperti yang disebut penulis di atas adalah faktor generasi muda Yahudi yang sudah tidak lagi melihat entiti dan survival Israel sebagai isu yang penting dan mendasari kehidupan mereka.

Faktor tambahan lain adalah pendedahan tragedi 911 bahawa ianya diorkestrakan oleh Israel dan bukan seperti tuduhan ke atas al-Qaeda. Ini didedahkan sendiri oleh pemerhati tertinggi individu half jewish seperti Alan Sabrosky, Pengarah Pengajian Strategik di US Army War College yang yakin seratus peratus bahawa Israel dan pendokongnya yang melakukan operasi 911. 

Sudah terang lagi bersuluh, dunia sudah jelas menunjukkan protes terhadap bencana yang dibawa oleh Israel, sudah tepat masanya wacana World without Israel atau lebih tepat World without Zionist dibincang, disebar, dimobilisasi dan direalisasikan agar punca utama permasalahan kepada ketidakamanan dunia bakal ditamatkan segera.

 

Disediakan Oleh Jufitri Joha (Naib Presiden ABIM). Sumber: Majalah Al-Islam Januari 2013.

Read 1759 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Dewan Dakwah Perkukuh Dakwah Serantau

4 Ogos 2014, Kajang:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), telah menerima kunjungan daripada Bapak Ade Salamun, CEO LAZIS Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII). Bapak Ade Salamun telah disambut oleh Presiden ABIM, Amidi Abd Manan serta beberapa orang pimpinan ABIM. Tujuan ziarah untuk mengeratkan hubungan antara 2 NGO Islam besar Asia Tenggara iaitu ABIM dan DDII. Antara bentuk kerjasama yang telah dijalinkan ABIM-DDII ialah program Wakaf Qur'an serta pembangunan pendakwah terutama sekali di sekitar kepulauan serta pedalaman Indonesia. Beberapa ruang kerjasama antara kedua pihak turut dirancang dan bakal diketengahkan dalam masa terdekat.

Read 1224 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

Pendidikan Asas Lindungi
  22hb September 2020 (Selasa): Alhamdulillah, Naib Presiden ABIM (HELWA), Sdri. Fatin Nur ...
Kedamaian Asas Masa
 Laporan Ringkas Oleh : Thai Ming Yeow, Felo Penyelidik, Majlis Belia Malaysia (MBM) 28 ...
ABIM Adalah Gerakan Aksi
  16 September, Sentul:- Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal ...
ABIM Sabah Kemukakan
  18 September 2020, Kota Kinabalu:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah ...
ABIM Gerakkan Tabung
3 hb September 2020 (Khamis): Alhamdulillah, telah diadakan sesi sidang media khas anjuran ABIM dan ...
Malaysia Untuk Generasi
  Tanggal 31 Ogos 2020 amat signifikan buat rakyat dalam meraikan hari kebangsaan tanah air. ...
Tahniah Tan Sri Dato'
  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, ...
Lima Dekad Penubuhan
  Lima Dekad Penubuhan ABIM Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memasuki dekad yang ...

ABIM Negeri

Pendidikan Asas Lindungi
  22hb September 2020 (Selasa): Alhamdulillah, Naib Presiden ABIM (HELWA), Sdri. Fatin Nur ...
Kedamaian Asas Masa
 Laporan Ringkas Oleh : Thai Ming Yeow, Felo Penyelidik, Majlis Belia Malaysia (MBM) 28 ...
ABIM Adalah Gerakan Aksi
  16 September, Sentul:- Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal ...
ABIM Sabah Kemukakan
  18 September 2020, Kota Kinabalu:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah ...
ABIM Gerakkan Tabung
3 hb September 2020 (Khamis): Alhamdulillah, telah diadakan sesi sidang media khas anjuran ABIM dan ...
Malaysia Untuk Generasi
  Tanggal 31 Ogos 2020 amat signifikan buat rakyat dalam meraikan hari kebangsaan tanah air. ...
Tahniah Tan Sri Dato'
  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, ...
Lima Dekad Penubuhan
  Lima Dekad Penubuhan ABIM Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memasuki dekad yang ...
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd