Dialog antara agama masih merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan polemik-polemik yang berlaku semenjak kebelakangan ini. Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di akhbar Berita Harian pada hari ini, Setiausaha Agung ABIM, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim,mengatakan ''Sejak kebelakangan ini, negara kita sudah menyaksikan timbulnya beberapa isu yang menguji keutuhan hubungan antara masyarakat berbilang kaum, serta menganuti kepercayaan berbeza di antara satu sama lain''.
Akan tetapi menurut beliau, walaupun menyedari keperluan untuk menangani isu ini secara tuntas serta menyeluruh, namun segala penyelesaian tidak seharusnya diterjemahkan dalam bentuk institusi seperti Suruhanjaya Antara Agama (IFC), yang pernah mencetuskan kontroversi beberapa tahun lalu.
Oleh : Akmal Hisham
Pada 27 (Rabu) Januari 2010, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan perlawanan persahabatan futsal di Sports Planet Ampang. Pasukan yang turut hadir adalah Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS). Tujuan utama futsal ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi perhubungan silaturrahim antara organisasi disamping menjaga kesihatan dikalangan ahli-ahli.Pada perlawanan tersebut, ABIM telah berjaya mengalahkan PKPIM sebanyak (9 - 4). Manakala perlawanan seterusnya dengan PEPIAS, ABIM berjaya menjaringkan 7 gol berbalas 3 gol (7 -3). Pemain yang mewakili ABIM adalah Mohd Raimi Ab. Rahim (SUA ABIM), Akmal Hisham (Exco Pembangunan Sosial), Mohd Firdaus Hamsin (Staf ABIM Pusat), Mohamad Nasir Ismail (Staf ABIM Pusat), Saiful Islam (Staf WADAH Pusat) dan Mohd Faridh (Pelajar Praktikal ABIM Pusat). Manakala Rashdan Abu Hasan (Staf ABIM Pusat) telah bertindak sebagai pengadil bagi kesemua perlawanan.
Muhamad Razak Idris
RAMAI di kalangan pemimpin dan pemikir masyarakat mahukan supaya dianjur dialog antara agama sebagai satu jalan penyelesaian bagi menjamin keharmonian beragama di negara kita. Seruan ini adalah antara satu bentuk jalan pelerai bagi menangani sebarang pertembungan di dalam persoalan agama seperti tergambar menerusi debat isu penggunaan kalimah Allah baru-baru ini. Dialog antara agama dilihat sebagai satu tuntutan utama pada masa kini kerana kepentingannya yang tersendiri. Di samping bertujuan sebagai jalan pelerai terhadap sebarang bentuk pertembungan, tujuan besar lain daripada kegiatan dialog ialah bagi menggembleng seluruh kekuatan yang berunsurkan keagamaan di dalam satu bentuk pergerakan yang seiring dan terarah.Kenapakah proses penggemblengan kekuatan masyarakat beragama ini diperlukan pada hari ini? Ada dua pandangan penting terhadap persoalan ini. Pertama ialah sebahagian masyarakat dunia sudah mula menyedari bahawa agama antara satu unsur yang amat berpengaruh di dalam kehidupan manusia. Oleh itu, unsur penting ini perlu diurus dan dikendalikan secara bijaksana supaya ia mampu menyumbang secara positif kepada perkembangan tamadun manusia. Pandangan kedua ialah kerana tuntutan kepada suatu pembinaan satu perkumpulan masyarakat beragama yang kuat bagi mendepani cabaran aliran atau pergerakan yang bersifat antiagama di dalam masyarakat dunia. Aliran ini juga sedang berkembang pesat kini.Inilah antara dua faktor yang menjadikan dialog antara agama amat penting pada hari ini. Kepentingan dialog ini bertambah jelas sekiranya kita telusuri perkembangan dunia kini sejak ia beralih ke zaman keterbukaan atau juga dikenali sebagai globalisasi. Peralihan dunia menyebabkan masyarakat terdedah kepada pelbagai bentuk ajaran bersifat keagamaan yang dianuti sebahagian besar masyarakat dunia. Hampir kebanyakan masyarakat dunia mempunyai corak anutan agamanya yang tersendiri. Agama ini mengandungi pelbagai aliran kefahaman dari sudut pegangan atau doktrin kepercayaan serta peraturan hidup yang kita istilah dalam bahasa kita sebagai tatasusila atau peradaban. Ia meliputi aspek moral, etika dan kebudayaan hidup yang luas.
Oleh Jufitri Joha
Tawhid Centre Perancis yang diasaskan pada tahun 1992 merupakan Pusat Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam di Perancis. Pusat Islam Paris ini terletak di kawasan Saint Denis iaitu kira-kira 3 kilometer dari pusat bandaraya Paris. Jumlah umat Islam di sini adalah teramai berbanding bandar-bandar lain dalam negara di bawah pemerintahan sekular Nicolas Sarkozy ini. Pada awalnya Pusat Islam ini hanya berfungsi sebagai sebuah pejabat kecil yang berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat dan dakwah Islam serta tempat mendirikan solat Jumaat.Namun kerana kemakmuran dan kemeriahan fungsinya akhirnya Pusat Islam ini telah melebarkan kapasitinya dengan menganjurkan pelbagai kegiatan-kegiatan keagamaan bagi membina kekuatan kerohanian dan keilmuan umat Islam Perancis khususnya di Paris. Kemakmuran Pusat Islam ini semakin terserlah apabila setakat hari ini jemaah solat Jumaat mencapai 1,700 orang. Selain itu, seramai 200 kanak-kanak menghadiri kelas al-Quran dan asas fardu ain dan purata dua atau tiga tokoh agama akan mengisi kuliah bulanan.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan takziah kepada Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Zaidi Aziz, di atas kembalinya ibunya yang dikasihi, Allahyarham Puan Maimunah Ali, pada pukul 4.36 pagi tadi. Menurut makluman yang diperolehi oleh pihak Berita ABIM,jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Perak. Mewakili seluruh warga penggerak ABIM, kami mendoakan semoga roh Allahyarham sentiasa dirahmati oleh Allah S.W.T.